Empat Perintah yang Tuntas untuk Sekalian Orang Beriman

Lama sekali rasanya tidak bertapak dan menjejakkan kaki di sini. Saat kerinduan itu telah mula dilunaskan, suatu perasaan yang amat sukar untuk diungkapkan itu seakan-akan berkeinginan benar untuk meledak semahu-mahunya. Alhamdulillah, syukur ya Allah!

Tanggal Ahad 4 Oktober 2020 yang indah nian, suatu rakaman sejarah sekali lagi ditempa. Hamba bersama beberapa orang teman seperjuangan telah diizinkan oleh Allah ﷻ untuk tiba lagi di Baitul Qurro’ Wal Fuqoha’, pondok barakah yang sangat dicintai suasana tarbiah dan keilmuannya.

Pada asalnya, kehadiran kami ke sini hanyalah mahu bertentang mata dengan al-Fāḍil Tuan Guru Zulkifli Ismail ḥafiẓahuLlāh ta‘ālā, Mudir Pondok Baitul Qurro’ Wal Fuqoha’.

Tujuannya adalah bagi menunjukkan manuskrip lengkap karya yang sedang sahabat-sahabat tatap ini kepada Tuan Guru, seterusnya memohon kata pengantar beliau untuk dititipkan sekali dalam naskhah ini sebagai tausiyah khusus buat para pembaca.

Namun begitu, berbetulan pula pada pagi hujung minggu yang dilimpahi kedamaian itu, kuliah duha pengajian kitab ‘Tafsir Nūr al-Iḥsān’ turut serta dijalankan dan disampaikan sendiri oleh Tuan Guru.

Maka, kami pun terlebih dahulu menyertai majlis ilmu tersebut dan sungguh-sungguh mengutip lontaran mutiara kalam oleh Tuan Guru yang penuh hikmah – seolah-olah mengenang kembali zaman kami berdaurah dahulu kala di sana sebelum zaman pandemik virus korona (COVID-19) menjelma.


Sūrah al-Baqarah dan Āli ‘Imrān. Kedua-dua surah ini menceritakan secara terperinci segala cabaran yang mesti dihadapi oleh golongan yang beriman, termasuk cabaran daripada orang munafik serta golongan Yahudi dan Nasrani.

Namun begitu, adakah segala ujian yang dilalui ini hanya percuma atau sia-sia sahaja? Semestinya tidak! Bahkan, Allah ﷻ yang Maha Menepati Janji pasti akan membalas dengan kejayaan di dunia dan di akhirat apabila setiap tantangan yang mendatang itu dapat diharungi dengan sehabis baik.

Syaratnya ialah, hendaklah mematuhi empat perintah Allah yang tuntas dalam ayat terakhir Sūrah Āli ‘Imrān (ayat ke-200) yang sebenarnya, turut menjadi kesimpulan terhadap kedua-dua surah yang maha panjang ini:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kalian (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kalian lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan), serta bertakwalah kalian kepada Allah, supaya kalian berjaya (mencapai kemenangan).”

1. ٱصۡبِرُواْ (bersabar)

Sabar itu ada tiga jenis:

  • Sabar dalam menghadapi musibah.
  • Sabar dalam menjalani ketaatan.
  • Sabar dalam meninggalkan kemaksiatan.

Tidak mudah sebenarnya hendak bersabar ini, lebih-lebih lagi bersabar dalam hendak menjauhkan diri daripada maksiat yang seolah-olah kita sudah merasai ‘kemanisannya’.

Maksiat dalam hati hanya dapat dicabut dengan ubat khusus, iaitu ketakutan yang amat dahsyat kepada Allah. Bagaimana ingin mendapatkan ketakutan ini?

Tidak lain dan tidak bukan, jalannya adalah dengan ilmu. Bukankah asas kita menuntut ilmu atau mengaji adalah supaya kita dapat menyelamatkan diri kita daripada azab Allah serta melahirkan jiwa hamba?

2. صَابِرُواْ (saling bertahan sabar)

Dalam usaha kita untuk mendukung dan mendaulatkan syariat Islam, pasti ada sekelompok manusia yang tidak senang dengan kegiatan kita dan akan menentang usaha dakwah kita.

Maka, pada masa itu, kita hendaklah saling bertahan sabar ibarat kita menahan nafas di dalam air. Boleh bayang bukan macam mana kita perlu menarik nafas dalam-dalam terlebih dahulu sebelum hendak menyelam ke dalam air agar kita dapat bertahan di bawahnya dalam suatu tempoh masa yang lama?

Di samping itu, kita semestinya tidak akan kuat andai membawa tugas dakwah berseorangan. Maka, di sinilah keperluan berjemaah untuk kita saling membantu, membahu, dan mengukuh antara satu sama lain dalam pesan-pesan kesabaran.

3. رَابِطُواْ (bersiap siaga dan bersedia)

Di sini, kita kena senantiasa peka terhadap segala perkara di sekeliling yang bisa mencambahkan benih-benih kemungkaran. Tidak boleh ada sifat seumpama “tak apalah”, “biarlah”, dan lain-lain.

Persediaan di sini bukan sekadar persiapan dari sudut kelengkapan semata-mata, bahkan yang lebih utama pada masa akhir zaman ini ialah, semestinya persiapan pemikiran bagi menangkis segala fahaman dan ideologi yang menyeleweng daripada didikan Dīn al-Islām yang hakiki.

4. ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ (bertakwa kepada Allah)

Pada akhirnya, takwa jualah paksi segala-galanya. Ketiga-tiga perintah yang disebut di atas itu tadi bolehlah disimpulkan sebagai wasilah untuk kita mencapai ghāyah (matlamat akhir) hidup kita, iaitu takwa.

Supaya dengan itu, kita berhasil memperoleh natijah al-falāḥ (kejayaan) di dunia dan di akhirat, Insya-Allah.

Wallahualam.


Catatan:

Nukilan di atas merupakan salah satu topik penulisan yang telah dimuatkan dalam naskhah ‘Baitul Qurro’ Wal Fuqoha’: Madrasah Tarbiah Generasi Muda Islam‘ terbitan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) sempena 20 tahun perjalanan daurah di Pondok Baitul Qurro’ Wal Fuqoha’, Sungai Udang, Melaka.

Untuk bacaan lanjut, ayuh tempah naskhah ini sekarang dengan mengetik di sini!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.