Rutin Orang Kaya Berjaya yang Tidak Ramai Orang Tahu

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) secara rasminya berkuat kuasa hari ini (10 Jun 2020).

Pelbagai perasaan dapat kita alami sendiri atau menjadi saksi terhadap orang lain; gembira, terharu, teruja, bangga, bahkan mungkin ada sedikit duka. Bercampur-baur.

Dah boleh rentas negeri.
Dah boleh melancong dalam negara.
Dah boleh buka lebih banyak lagi sektor ekonomi.

Seolah-olah, kesemua rasa itu dibancuh sebati menjadi satu menu minuman baharu. Okey, tiba-tiba rasa nak teguk air.

Betapa pengorbanan para pemimpin, barisan hadapan (frontliners), dan seluruh rakyat Malaysia akhirnya kini mulai memancarkan sinar.

Tahniah dan terima kasih semua! #KitaJagaKita benar-benar terpapar jelas mesejnya! *Selitkan emoji girang di sini*

Jujur, fasa PKP dan PKP Bersyarat (PKPB) yang panjang selama lebih dua bulan berturut-turut yang lalu telah memberi saya suatu tempoh masa yang amat mengesankan.

Ditambah pula dengan sebulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri ibarat benar-benar mencarik adat dengan sepenuhnya jasad berada di dalam kediaman. Kalian rasa?

Betapa tempoh masa yang ada itu telah saya usahakan sebaik mungkin untuk kembali bermuhasabah, introspeksi diri, memerhatikan seupayanya gelagat wargamaya (netizens), serta cuba keluar dari zon selesa untuk belajar beberapa perkara baharu.

Fuh, banyak ya amat kalau mahu dinukilkan satu persatu!

(Rindu pula rasa nak PKP lagi, ye dok? Huhu).

Namun teman-teman, ada seperkara yang paling menarik perhatian saya saat konsisten mengintai dan menghendap (stalk) beberapa orang profil pempengaruh (influencers) tertentu dalam akaun media sosial mereka.

Sebahagian besar pempengaruh ini juga terdiri daripada kalangan mereka yang kaya lagi berada, disertai dengan banyak pula pengikut (followers)nya.

Kenapa ya boleh jadi sebegitu?

Selidik punya selidik, dan setelah digabungjalinkan dengan pembacaan melalui beberapa rencana yang saya ketemu dalam Internet, akhirnya saya dapat membuat suatu rumusan.

Mereka ada empat (4) persamaan yang melatari corak dan gaya kehidupan mereka sehingga menatijahkan mereka sebagai seorang yang kaya dan–Insya-Allah, juga bertakwa (bagi Muslim).

Nak tahu apa dia?

1️⃣ Orang kaya senantiasa berpagi-pagi.

Apa maksud berpagi-pagi di sini? Ya, orang kaya itu rajin bangun pada waktu dinihari dan langsung meneruskan kerja mereka selepas terbitnya sang mentari (baca: Tidak sambung tidur).

Bagusnya kalau kita hidupkan waktu pagi ini, selain bisa menjadi lebih proaktif lagi produktif, kita juga berupaya memperoleh doa yang istimewa daripada Rasulullah SAW sendiri:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِيْ فِيْ بُكُوْرِهَا

“Wahai Tuhan, berkatilah untuk umatku pada awal waktu pagi.”

Fuh, bukan kaleng-kaleng! Tidak mahukah kita termasuk dalam golongan mereka yang didoakan oleh baginda SAW?

Oh ya, siapa sini peminat jenama Apple dan Starbucks?

Pernah dengar tak cerita bahawa Tim Cook dan Howard Schultz–masing-masing merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi syarikat Apple dan Starbucks–mereka bangkit dari tidur seawal jam 4.30 pagi?

[Baca sini]

Wah, itu tahap bangun pagi orang-orang kaya daripada kalangan ‘obi’ (orang belum Islam)!

Bagaimana dengan kita selaku Muslim yang sesungguhnya sudah lama dituntut untuk bangun awal, mengerjakan solat malam, dan beribadat sebelum fajar menyingsing?

Kemudian, digalakkan pula untuk mengisi waktu pasca-Subuh dengan zikir dan solat sunat Duha?

Tepuk dada, tanya iman!

2️⃣ Orang kaya tidak lokek untuk sentiasa bersedekah, memberi, dan berkongsi.

Terlalu banyak sudah kisah dan kelebihan yang kita dengar mengenai kelebihan sedekah ini.

Bukan sekadar fadilat yang bakal kita perolehi di akhirat nanti, bahkan di dunia pun, Allah dan Rasul-Nya sudah menjamin bahawa rezeki si pemberi sedekah akan senantiasa bertambah.

Saya petik satu sabda Rasulullah SAW:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ، وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْداً بِعَفْوٍ إِلاَّ عِزّاً، وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلاَّ رَفَعَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ

“Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberikan maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaannya, dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.”

[Baca: Ada yang Lebih Baik]

Peringatan mesra! Sedekah di sini usah disempitkan maknanya kepada hanya sedekah melalui harta, ya.

Bahkan, saya teringat mafhum kalam al-Fadil Ustaz Dr. Ahmad Faisal Abdul Hamid, Pensyarah di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) dalam satu perkongsian pada bulan Ramadan lepas:

“Apa-apa jua kebaikan yang boleh kita kongsikan dan berikan kepada orang lain, maka hal tersebut juga boleh dinilai sebagai sedekah.”

Kita ada harta dan wang ringgit? Maka, bersedekahlah dengan harta dan wang ringgit kita.

Kita boleh menulis? Maka, tulislah apa jua perkataan dan karangan yang berhasil mendatangkan bermanfaat.

Kita boleh bersyarah? Maka, sampaikanlah atau pidatokanlah ucapan kita dengan sebaik-baik penyampaian.

Kita ada tenaga dan tubuh badan yang sihat? Maka, ringankanlah badan untuk membantu dan memberikan khidmat pertolongan kepada mereka yang memerlukan.

Pendek kata panjang cerita, tiada alasan untuk kita langsung tidak boleh memberi!

3️⃣ Orang kaya ketagih benar membaca buku-buku yang berisi.

Ada suatu fakta menarik berkenaan hal ini.

Menurut Tom Corley, pengarang buku ‘Rich Habits: The Daily Success Habits of Wealthy Individuals’, kajian beliau mendapati bahawa kunci utama yang membezakan antara mereka yang berpendapatan tinggi dengan yang berpendapatan rendah adalah dari sudut tujuan dan pemilihan bahan bacaan mereka.

Sungguhpun mereka berkongsi perbuatan yang sama iaitu ‘membaca’, namun jurang besar yang menjadi pemisah antara dua kelompok tadi ialah:

Golongan kaya membaca untuk kemajuan diri (self-improvement), sedangkan golongan kurang kaya membaca sekadar untuk hiburan atau suka-suka (entertainment).

[Baca sini]

Nah, rupa-rupanya, tabiat pembacaan juga sedikit sebanyak memainkan peranan dalam menentukan tahap kewangan seseorang!

Paling penting, biarlah pembacaan kita itu pada akhirnya adalah supaya kita kenal benar akan Maha Pencipta. Bukankah itu seruan wahyu pertama?

Ayuh, tajdid niat dan lakukan perubahan!

4️⃣ Orang kaya sanggup berhabis wang semata-mata demi ilmu.

Saya langsung teringat kata-kata seorang penulis terkenal dari negara tetangga Indonesia, Mas Kurniawan Gunadi (Masgun) yang begitu memanah hati:

“Selagi masih muda, jangan ragu untuk menghabiskan uangmu buat menuntut ilmu, itu adalah investasi jangka panjang yang tak ternilai. Kamu memang tak bisa memegangnya seperti memegang emas, tapi ilmu adalah mata uang yang berlaku di manapun kamu berada tanpa sekat batas negara.”

Saya rasa terdorong!

Walau bagaimanapun, sungguh, siapa saja yang tidak terasa berat hati apabila terpaksa mengeluarkan sedikit perbelanjaan pada awalnya, namun berkali-kali saya memujuk diri:

“Tak apa, Min. Ini demi masa depan kau dan masa depan generasi kau yang terbaik. Jom, mulakan dengan diri sendiri!”

Lalu, berbekalkan semangat dan juga masa lapang yang sudah luas terbentang, saya terus gigih mencari dan melaburkan sedikit simpanan kewangan peribadi demi setitis ilmu dan kemahiran diri.

Pencarian ini juga ialah hasil bantuan dan sokongan daripada ramaaai kenalan dan sahabat saya di luar sana. Pada detik ini saya sedar, betapa pentingnya untuk memiliki lingkungan (circle) yang baik.

Kalian yang sedang membaca hantaran ini; kalian tahu siapa diri kalian. Terima kasih banyak saya ucapkan dan semoga Allah senantiasa mengurniai kalian balasan yang terbaik!

Hendak tahu apa sebahagian atur cara yang telah saya sertai dan sangat memberikan dampak besar terhadap diri saya sepanjang PKP? Nanti rujuk ruangan komen di bawah ya.

Benar, peluang sudah banyak terhidang di hadapan mata. Kini, segala-galanya terletak atas diri kita; MAHU atau sebaliknya!


Begitulah sahabat-sahabat.

Mana mungkin seseorang itu bisa kaya secara tiba-tiba. Tentu di sebalik kekayaan itu, ada jerih lelah dan susah payah yang harus dikorbankan terlebih dahulu.

Kita selalu nampak akan hakikat yang terzahir sahaja, namun cerita di sebalik tabir, siapa saja yang tahu?

Paling utama, beringatlah kita senantiasa untuk berdamai dengan Yang Maha Kaya. Jangan lupa untuk kekal bersyukur dan berterima kasih atas segala nikmat kurniaan-Nya, ya. 😇

Jom teman-teman, kita sama-sama sematkan azam untuk kaya di dunia dan kaya di akhirat!

👓
Muhaimin Safaruddin.
https://t.me/MuhaiminSafaruddin

2 thoughts on “Rutin Orang Kaya Berjaya yang Tidak Ramai Orang Tahu

  1. Kemahiran penulisan (copywriting) merupakan salah satu kemahiran yang sangat ditagih oleh mana-mana majikan atau industri pada masa ini.

    Faktor ini yang mendorong saya untuk menyertai ‘Virtual Summit: Sekolah Penulisan Ramadan’. Terima kasih banyak Tuan Zamri Mohamad dan tim Persatuan Gerakan Penulis Malaysia (MyMove) atas inisiatifnya!

    https://bit.ly/SPRamadan

    Like

  2. Pengurusan dan perancangan kewangan merupakan antara kemahiran yang sangat penting untuk kita miliki dan bergelumang dengannya sehari-hari sehingga saat kita bertemu Tuhan nanti.

    Faktor ini yang mendorong saya untuk mendapatkan kombo ‘Seminar Bijak Merancang Wang (BMW)’. Terima kasih banyak Tuan Afyan Mat Rawi dan tim INFAQ Consultancy atas inisiatifnya!

    https://bit.ly/BukuKerjaBMW

    Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.