Mahasiswa dan Politik

Siapakah Mahasiswa?

Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mahasiswa didefinisikan sebagai “penuntut (pelajar) di universiti”. Mahasiswa merupakan gabungan dua kata kunci, iaitu ‘maha’ yang bermaksud “teramat; sangat; paling” dan ‘siswa’ yang bermaksud “penuntut atau pelajar di pusat pengajian tinggi (universiti)”.[1]

Secara umumnya, mahasiswa merupakan suatu kelompok dalam masyarakat yang memperoleh statusnya kerana ikatan dengan institusi pengajian tinggi. Tambahan pula, mahasiswa juga merupakan calon intelektual atau cendekiawan muda dalam suatu lapisan masyarakat yang terpikul di atas pundaknya suatu tanggungjawab untuk memimpin dan memperbaik masyarakat sekembalinya mahasiswa ke pangkuan mereka.

Jika diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, kalimah ‘mahasiswa’ sangat sesuai digandingkan dengan istilah “ṭālib al-‘ilm” yang bermaksud “penuntut ilmu”. Jiwa dan sifat seorang penuntut itu, apabila mahu menuntut sesuatu yang sungguh mahal harganya, lebih-lebih lagi dalam konteks ini ialah mahu menuntut atau meminta ilmu pengetahuan, maka sudah pasti ia akan berusaha melakukannya secara bersungguh-sungguh lagi benar-benar serius.

Firman Allah SWT dalam al-Quran:

وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةً‌ۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٍ مِّنۡهُمۡ طَآٮِٕفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِى ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ

“Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah).”[2]

Berdasarkan Tafsir Ibn Kathīr, ayat di atas mengisahkan keberangkatan segolongan sahabat Rasulullah SAW ke Peperangan Tabuk bagi menentang pasukan tentera Rom. Pada asalnya, seluruh orang mukminin pada masa itu diwajibkan untuk menuju ke medan peperangan setiap kali seruan jihad timbul sepertimana perintah Allah SWT dalam Surah al-Tawbah ayat ke-41 dan ke-120.

Namun begitu, penurunan ayat ke-122 daripada surah yang sama ini telah memansuhkan arahan daripada kedua-dua ayat sebelumnya, iaitu boleh untuk sebahagian kaum Muslimin berangkat ke medan jihad dan sebahagian lagi tinggal di Madinah dengan izin baginda Nabi, dengan syarat mereka yang tidak berangkat wajib untuk memperdalam ilmu agama bersama dengan Rasulullah SAW.

Selanjutnya, apabila golongan yang pergi berangkat ke medan peperangan itu telah kembali, maka golongan yang menetap di Madinah itu perlu mengajar kembali ilmu-ilmu yang telah diperolehi mereka kepada para sahabat yang berangkat ke medan jihad itu tadi sepanjang ketiadaan mereka.[3]

Di sini menunjukkan peri pentingnya menuntut ilmu yang menjadi suatu kewajipan ke atas setiap orang Islam yang kebaikannya bukan sekadar untuk diri sendiri sahaja, malah tertebar manfaatnya kepada orang lain jua. Tambahan pula, darjat orang yang berjihad dalam menuntut ilmu itu sangat tinggi sehingga disejajarkan dengan orang yang berperang atau berjihad di jalan Allah SWT.

Justeru, jika kita melihat ayat ini dari konteks diri sebagai seorang mahasiswa, kita dapat menyimpulkan secara ringkas mengenai dua peranan besar dan tugas hakiki seorang mahasiswa sejati, lebih-lebih lagi mahasiswa Muslim dalam melaksanakan amanah mereka dengan baik, iaitu untuk ‘tafaqquh’ (menuntut dan mempelajari ilmu secara mendalam) bagi manfaat diri sendiri dan ‘tandhīr’ (memberikan pendidikan, pengajaran, dan peringatan) sebagai faedah kepada masyarakat dan orang di sekeliling.

Namun di sana, terdapat juga pihak tertentu yang melakukan pembahagian yang lebih terperinci mengenai peranan dan fungsi sebenar seorang mahasiswa sebagaimana berikut:[4]

  1. Iron Stock – mahasiswa perlu berkemampuan menjadi pengganti pemimpin pada masa depan, dengan maksud mahasiswa akan menjadi generasi penerus untuk memimpin bangsanya pada masa akan datang.
  2. Agent of Change – mahasiswa mesti menjadi ejen perubahan. Bermaksud, jika ada sesuatu yang terjadi di persekitarannya dan ternyata salah, mahasiswa dituntut untuk mengubahnya sesuai dengan harapan yang diletakkan di atas bahunya.
  3. Social Control – mahasiswa mesti mampu mengawal selia sistem kemasyarakatan yang ada dalam lingkungan hidupnya. Selain cemerlang dalam bidang akademik, mahasiswa perlu juga bijak dan pintar dalam menjalani dan mengurus kehidupan sosial.
  4. Moral Force – mahasiswa wajib memelihara sistem nilai dan moral kehidupan yang sedia ada. Jika suasana masyarakat sekitarnya terjadi hal-hal yang tidak berakhlak, maka mahasiswa dituntut untuk mengubah serta memperbetul kembali keadaan tersebut sesuai dengan ajaran agama yang sebenar.

Sebagai tambahan, tafaqquh dan tandhīr juga memberikan isyarat bahawa kedua-dua istilah ini sangat berkait rapat dengan apa yang selalu disebut oleh kebanyakan orang pada masa ini sebagai ‘intelektualisme’ dan ‘aktivisme’, lebih-lebih lagi dalam alam kemahasiswaan. Walau bagaimanapun, bahagian penulisan saya ini hanya akan membincangkan soal aktivisme yang secara asasinya pun, istilah ini lebih menjurus ke arah lapangan politik.

Antara Mahasiswa dengan Politik

Jika kita merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah politik membawa kepada beberapa makna seperti berikut:[5]

  1. Ilmu politik = ilmu (pengetahuan) berkenaan cara pemerintahan (dasar-dasar pemerintahan dan lain-lain), ilmu siasah, ilmu kenegaraan.
  2. Segala sesuatu berkenaan pemerintahan sesebuah negara atau hubungannya dengan negara lain.
  3. Kelicikan, muslihat, tipu muslihat.

Bercerita mengenai hubung kait antara mahasiswa dengan politik, persoalan pertama yang hendak kita timbulkan di sini ialah; kita mahu memakai definisi ‘politik’ yang mana satu untuk digandingkan dengan ‘mahasiswa’? Adakah di sana kita maksudkan ialah mahasiswa yang berpolitik, mahasiswa yang cakna akan isu politik, mahasiswa yang melengkapi diri dengan ilmu politik, mahasiswa yang licik bermain politik, atau apa?

Hakikatnya, suatu hal yang tidak dapat kita nafikan dalam kisah antara mahasiswa dengan politik ini ialah, kita tidak dapat lari daripada suatu frasa yang selalu kita sebut sebagai “gerakan mahasiswa” atau “aktivisme mahasiswa”.

Menurut Mohamad Ridhwan Alias, gerakan pelajar merupakan suatu gerakan yang dipelopori oleh segolongan anak muda yang menuntut di universiti. Gerakan pelajar muncul apabila ketidakadilan sosial berlaku dalam masyarakat, termasuk tribulasi dalaman yang dilakukan oleh penguasa universiti. Akibat tekanan yang hebat, mahasiswa telah mengambil langkah drastik bagi menonjolkan protes mereka melalui demonstrasi jalanan.[6]

Seorang mantan tokoh mahasiswa Indonesia, Marsilam Simanjuntak memberikan pengertian yang agak fleksibel kepada gerakan mahasiswa iaitu:  “…suatu aksi massa yang didahului oleh sebuah perkumpulan umum yang dihadiri  oleh ribuan orang mahasiswa, demonstrasi mahasiswa yang menggambarkan hati nurani rakyat, yang disokong oleh seluruh lapisan mahasiswa pelajar dalam jiwa dan semangat kesamaan dan persatuan, harus diselaraskan melalui saluran organisasi mahasiswa, bebas daripada vested interest (kepentingan yang diberikan), tidak memiliki tujuan politik (praktikal), tidak dimanfaatkan oleh kepentingan-kepentingan politik tertentu serta berasaskan kepada keadilan dan kebenaran, berisikan seruan moral, bukan untuk merebut kekuasaan, serta bukan untuk kepentingan politik praktis.”[7]

Di samping itu, mahasiswa juga mempunyai falsafah perjuangan yang tersendiri berasaskan kesedaran dan kepekaan dalam permasalahan politik dan isu massa negara. Menurut Mohamad Abu Bakar, falsafah perjuangan mahasiswa ialah manifestasi daripada status mereka sebagai pelajar universiti dengan fungsi mereka sebagai rakyat yang sudah dewasa serta situasi mereka sebagai kumpulan individu yang seringkali terdedah kepada dunia semasa.[8]

Membelek semula sejarah gerakan mahasiswa di seantero dunia secara ringkas, menurut penelitian Adi Usman Musa, gerakan mahasiswa yang pertama dikesan pada tahun 1918 dengan gerakan mahasiswa di Argentina telah mendeklarasikan Manifesto Cordoba.

Mahasiswa Amerika Latin telah memulakan langkah mahasiswa turun ke lapangan demonstrasi. Kebangkitan ini berpunca daripada kelemahan struktur politik masyarakat dan universiti pada ketika itu. Reformasi pendidikan universiti di Amerika Latin lahir daripada Manifesto Cordoba pada saat mahasiswa Cordoba di Argentina mengeluarkan sebuah manifesto yang menuntut autonomi universiti dan keterlibatan mahasiswa dalam pentadbiran universiti yang disebut istilahnya sebagai cogobierno (kawalan bersama).[9]

Walau bagaimanapun, S. M. Lipset menyatakan elemen aktivisme mahasiswa sudah ada semasa revolusi Jerman dan Austria pada tahun 1848. Menurut beliau, aktivis pelajar pada ketika itu dilihat sebagai “Professors of Parliament” dalam usaha mereka menumbangkan rejim monarki.[10] Gambaran ini menjelaskan gerakan pelajar sangat berperanan sebagai jurubicara masyarakat dan sedia menjadi penegak kepada kepentingan masyarakat.

Menyusuri pula sejarah gerakan pelajar atau mahasiswa di Malaysia, gerakan pelajar bermula seiring dengan perkembangan pendidikan di negara ini. Kewujudan golongan mahasiswa di Malaysia dapat ditelusuri jauh sebelum Perang Dunia Kedua, bermula pada awal abad ke-20 ketika pemerintah Inggeris memperkenalkan institusi pendidikan tinggi yang pertama di Tanah Melayu, iaitu King Edward VII College of Medicine pada tahun 1905 dan Raffles College pada tahun 1929.

Kedua-dua buah institusi itu kemudiannya digabungkan menjadi Universiti Malaya pada tahun 1949 yang berpangkalan di Singapura,[11] seterusnya berlaku pembahagian autonomi dengan sebuah di Singapura (kemudiannya menjadi National University of Singapore) dan sebuah lagi di Kuala Lumpur (mengekalkan nama Universiti Malaya) bermula tahun 1959.

Kewujudan kampus Universiti Malaya di Kuala Lumpur telah menggalakkan perkembangan gerakan pelajar. Antara persatuan yang berpengaruh di Universiti Malaya ialah Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM), dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). Kesemua pelajar di Universiti Malaya bernaung di bawah PMUM atau UMSU yang mula ditubuhkan pada 1 Januari 1962 seiring dengan hari penubuhan Universiti Malaya yang ditubuhkan bawah Akta Universiti Malaya.[12]

Ketiga-tiga buah persatuan ini sangat aktif dan lantang dalam menyuarakan dan memperjuangkan pelbagai isu sama ada di peringkat kampus, kebangsaan, mahupun antarabangsa. Beberapa isu penting tersebut antaranya ialah isu tanah di Teluk Gong yang diperjuangkan secara bersama oleh PBMUM dan PMUM pada tahun 1967, isu penglibatan pelajar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1969 oleh PMUM dengan Manifesto Mahasiswa mereka, perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan oleh PBMUM pada tahun 1968, bantahan pencerobohan Rusia ke atas Czechoslovakia oleh PMUM pada tahun 1968, bantahan penindasan Kerajaan Thai terhadap orang Islam di Selatan Thai oleh PMIUM pada tahun 1971, serta banyak lagi isu yang tidak dapat kami nukilkan di sini.[13]

Walau bagaimanapun, peningkatan kesedaran berpolitik, impak peristiwa 13 Mei 1969, dan pengaruh parti luar ke dalam pertubuhan pelajar telah membimbangkan kerajaan pusat pada ketika itu yang pada akhirnya membawa kepada penggubalan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada tahun 1971, seterusnya dipinda pada tahun 1975. Kewujudan AUKU dilihat bagi mengekang keterlibatan pelajar universiti dalam politik nasional.

Selain itu, kemaraan pengaruh komunis dalam gerakan pelajar juga membimbangkan kerajaan. Pada hakikatnya, AUKU mempunyai impak pro dan kontra ke atas gerakan pelajar sama ada di Universiti Malaya mahupun di peringkat nasional. Namun begitu, secara idealnya, AUKU telah benar-benar melesukan gerakan pelajar daripada berbicara mengenai isu kebangsaan. Imej bersama rakyat dan jurubicara masyarakat semakin luntur dalam kalangan pelajar universiti.

Kini, AUKU sekali lagi mengalami beberapa pindaan, yakni pada tahun 2009, 2012, dan terakhir pada tahun lalu, iaitu 2018. Perbincangan mengenai AUKU ini telah sekian lama menjadi perdebatan hangat sejak sekian lama dengan Kerajaan Malaysia yang terkini berhasrat mahu memansuhkan terus akta ini sesuai dengan manifesto mereka semasa kempen PRU-14 terdahulu.

Walau bagaimanapun, sama ada dengan keberadaan AUKU atau pun sebaliknya, persoalan dan kemusykilan yang perlu kita sama-sama jawab ialah, kita mahu melahirkan gerakan mahasiswa dengan corak dan bentuk yang bagaimana sempena era Malaysia Baharu ini?

Setelah sekian lama imej gerakan mahasiswa dilihat ‘mandul’ atau dikongkong aktivisme mereka, dan walau setelah beberapa kali pindaan AUKU dilaksanakan – hatta dipersetujui untuk dimansuhkan juga pada tahun-tahun belakangan ini, wajah gerakan mahasiswa masih dilihat lesu dan tidak mencengkam sepertimana era 1960 hingga 1980-an dahulu. Mungkin sudah tiba masanya untuk sama-sama kita fikirkan solusi bagaimana kita mahu merejuvenasi kembali gerakan mahasiswa pada era generasi alfa dan zaman media baharu ini.

Alhamdulillah, pada tahun 2017, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) sendiri pun telah melancarkan suatu gagasan baharu dengan nama “Budaya Baharu Politik Mahasiswa” (BBPM) dengan fokus utamanya adalah untuk membudayakan politik Islam dalam kerangka mahasiswa dengan menterjemahkan sikap dan tindakan mahasiswa dalam aktivisme di peringkat kampus mahupun nasional.[14]

Tuntasnya, tanggungjawab bagi membawa dan merealisasikan gerakan mahasiswa berwajah baharu ini terletak kembali di atas pundak kita bagi sama-sama menjayakannya. Supaya pada akhirnya, segala kerja buat kita dalam bidang ini tidak dapat tidak perlu kembali semula kepada kerangka asas dan pandangan alam yang sebenar, yakni berpolitik hanya semata-mata mahu menzahirkan kehambaan kepada Tuhan dan melakukan islah dan pembaikan dalam masyarakat agar masing-masing kembali mengesakan Allah sebagai Tuhan Pemilik semesta alam.

Firman Allah SWT:

وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُ ۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ‌ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَـٰلِمِ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ

“Dan katakanlah (wahai Muhammad), ‘beramallah kalian (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kalian kerjakan, dan kalian akan dikembalikan kepada (Allah) yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kalian apa-apa yang telah kalian kerjakan.’”[15]


Catatan:

Nukilan di atas merupakan salah satu topik penulisan yang telah dimuatkan dalam naskhah “30 Tahun GAMIS” terbitan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) sempena ulang tahun ke-30 (Jubli Mutiara) penubuhan dan penapakan GAMIS di Malaysia.

Untuk bacaan lanjut, ayuh tempah naskhah ini sekarang dengan menghubungi pihak GAMIS melalui gamisofficial@gmail.com!


Nota kaki:

[1] “Carian Umum,” Pusat Rujukan Persuratan Melayu, dicapai pada Januari 10, 2019, http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=mahasiswa.

[2] Surah al-Tawbah, 9: 122.

[3] “Tafsir Ibnu Katsir Surah At-Taubah ayat 122,” ALQUR’ANMULIA, terakhir dikemas kini pada November 5, 2017, https://alquranmulia.wordpress.com/2017/11/05/tafsir-ibnu-katsir-surah-at-taubah-ayat-122/.

[4] Sora N, “Kenali Pengertian Mahasiswa Dan Menurut Para Ahli,” PENGERTIAN APAPUN, terakhir dikemas kini pada November 2, 2014, http://www.pengertianku.net/2014/11/kenali-pengertian-mahasiswa-dan-menurut-para-ahli.html.

[5] “Carian Umum,” Pusat Rujukan Persuratan Melayu, dicapai pada Januari 10, 2019, http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=politik.

[6] Mohamad Ridhwan Alias, Gerakan Mahasiswa di Universiti Malaya 1970-1986 (Kuala Lumpur: Jabatan Sejarah Universiti Malaya, 2004), 1, https://www.scribd.com/document/335047386/Gerakan-Mahasiswa-Di-Universiti-Malaya-1970-1984.

[7] Farchan Bulkin, ed., Analisa Kekuatan Politik Indonesia (Jakarta: LP3ES, 1985), 166.

[8] Mohamad Abu Bakar, “Falsafah Perjuangan Mahasiswa,” Majalah Varsiti, 1981/82, 137.

[9] Aku Dalam Chermin, Gerakan Mahasiswa Islam dan Politik Islam (2006), 4, https://www.scribd.com/document/335047430/Gerakan-Mahasiswa-Islam-Dan-Politik-Islam-Malaysia.

[10] Seymour Martin Lipset, “Students and Politic in Comparative Perspective,” dalam Student in Revolt, ed. S. M. Lipset dan P. G. Altbach (Boston: Houghton Mifflin Company, 1969), xv.

[11] Mok Soon Sang, Pendidikan di Malaysia (Subang Jaya: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd., 2003), 61-62.

[12] Buku Panduan PMUM 1974 (Kuala Lumpur: PMUM, 1974), 8.

[13] Sebenarnya, terlalu banyak isu yang diperjuangkan oleh pelajar. Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan sejarah gerakan mahasiswa di Malaysia, sila rujuk Mohamad Abu Bakar, Mahasiswa Menggugat (Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1973) dan Mohamad Ridhwan Alias, Gerakan Mahasiswa di Universiti Malaya 1970-1986 (Kuala Lumpur: Jabatan Sejarah Universiti Malaya, 2004).

[14] Majlis Politik Nasional GAMIS, Budaya Baru Politik Mahasiswa (Bangi: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia, 2007), http://gamismalaysia.com/wp-content/uploads/2017/09/BBPM-GAMIS-2017.pdf.

[15] Surah al-Tawbah, 9: 105

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.