Rumah Kita; Bagaimana Suasananya?

Pepatah Arab ada menyebut:

« الجار قبل الدار »
“(Pilihlah) jiran sebelum (memilih) rumah.”

Kelihatannya mudah, namun besar sebenarnya makna kata-kata ini.

Bukan sekadar individu yang bernama jiran itu, bahkan skop yang lebih luas akan hakikat maknanya adalah, bagaimana suasana atau biah di persekitaran rumah kita itu.

Rabu lalu (18 September 2019), saya berkesempatan untuk sembang-sembang santai bersama penyelia latihan industri saya, Encik Zainal Ghani ketika sesi merarau di kafeteria Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Cerita beliau, pernah suatu masa dahulu, ketika beliau tinggal menyewa di Puchong, beliau sudah begitu hampir untuk nekad membeli sebuah lot rumah banglo di sana disebabkan harga yang ditawarkan boleh dikatakan agak murah pada ketika itu. Siapa yang tidak mahu rumah murah, bukan? Ditambah pula ada tanah sendiri.

Namun begitu, setelah berfikir panjang, meneliti setiap pemerhatian, dan melakukan segala pertimbangan, akhirnya beliau membatalkan hasrat tersebut dan memilih untuk membeli rumah di Bandar Baru Bangi pula. Mengapa?

Kata Encik Zainal, hal ini demikian kerana, suasana atau persekitaran di kawasan rumah yang mahu dibeli oleh beliau di Puchong itu tidak berapa baik, bukan sekadar untuk beliau, malah untuk keluarga beliau juga. Kejiranan di situ menurut beliau adalah kebanyakannya terdiri daripada imigran Nigeria yang bekerja dan tinggal menyewa di situ.

Mereka hadir ke sini (Malaysia) bukan sekadar hadir bekerja, bahkan apa yang lebih dikesali ialah, mereka juga hadir bersama membawa pakej budaya yang kurang baik; dengan hingar-bingarnya, botol-botol arak yang bergelimpangannya, dan pelbagai lagi.

Tidaklah mahu dikatakan bahawa kesemua orang Nigeria adalah sebegitu. Mana yang baik itu baiklah. Namun begitu, sayang sekali bahawa mereka yang menetap di situ ialah mereka yang berperangai sedemikian rupa.

Apa akan jadi seandainya Encik Zainal tetap juga mahu memilih untuk tinggal di kawasan sebegitu dengan alasan tidak mahu terlepas peluang memiliki rumah yang ideal? Bagaimana dengan pembentukan sikap, pemikiran, dan pergaulan anak-anaknya hasil daripada suasana atau persekitaran tersebut? Adakah yakin kesemuanya boleh terkawal sebaiknya?

Atas pertimbangan itulah, Encik Zainal terpaksa mengorbankan impian asal tersebut demi kemaslahatan yang lebih utama untuk diri dan keluarganya.

Segala puji bagi Allah, kini, setelah bertahun-tahun menginap di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, beliau tahu bahawa pilihan beliau adalah tidak silap. Jiran-jiran yang tinggal di kanan dan kiri kediamannya; rata-ratanya adalah baik belaka dan berkeperibadian tinggi.

Ada yang bertugas sebagai seorang pensyarah, ada juga yang memakai gelar ustaz, bahkan rumah yang betul-betul berhadapan atau bertentangan dengan rumah Encik Zainal ialah rumah saudara Hilmi Ramli, seorang pelajar ijazah kedoktoran falsafah di Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains, dan Peradaban (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur. Wah, baru tahu!

Bukan sekadar kejiranannya baik, bahkan Bandar Baru Bangi seperti yang dimaklumkan oleh beliau memang dikenali sebagai kawasan yang sangat meriah dengan limpahan majlis ilmu dan sistem persekolahan yang tersusun, komuniti masjid yang aktif, akses pengangkutan yang lengkap, sistem jaringan perhubungan yang efisien, kemudahan hidup yang serba ada, serta pelbagai lagi.

Alhamdulillah, kini, beliau tidak perlu risau lagi akan putera puterinya tentang dengan siapa mereka berkawan. Hujung minggu, beliau dan keluarga boleh pergi ke mana-mana majlis ilmu yang berhampiran atau bersiar-siar dengan penuh kedamaian. Tiba bulan Ramadan pula, beliau boleh membawa anak dan isterinya bersungkai dan beribadat bersama-sama di masjid berdekatan dengan penuh kemeriahan.

Ya, tipulah kalau saya tidak terinspirasi dengan kisah beliau! Apatah lagi sejak belakangan ini, saya seringkali merenung dan berimpian tentang masa depan; di mana agaknya bakal saya menetap untuk dijadikan sebagai kediaman impian. Set-set persoalan yang selalu saja menghujani minda saya ini adakalanya buat saya termenung panjang.

‘Mampukah aku sediakan tempat tinggal yang terbaik buat diri dan keluarga aku nanti?’
‘Bagaimana dengan keadaan kewangan aku ketika itu dengan hambatan ekonomi dan lonjakan harga rumah yang mencengkam masa ini?’
‘Bersediakah aku untuk menghadapi segala macam kemungkinan yang bakal menerjah?’

Hidup ini memang tidak lari daripada pelbagai kemusykilan kehidupan. Oleh kerana itulah, kita dididik untuk senantiasa bertawakal dan bergantung harap kepada-Nya agar setiap pilihan yang sedang dan akan kita tentukan dalam segenap aspek kehidupan itu merupakan keputusan yang seiring dengan rahmat dan kebaikan daripada-Nya.

Hanya kepada Allah jualah kita berserah dan memohon pertolongan.


Muhaimin Safaruddin,
Yang mengimpikan rumah pertama seawal usia 25 tahun.


وَضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلاً۬ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱمۡرَأَتَ فِرۡعَوۡنَ إِذۡ قَالَتۡ رَبِّ ٱبۡنِ لِى عِندَكَ بَيۡتً۬ا فِى ٱلۡجَنَّةِ وَنَجِّنِى مِن فِرۡعَوۡنَ وَعَمَلِهِۦ وَنَجِّنِى مِنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ

“Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika dia berkata, ‘wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu di dalam Syurga dan selamatkanlah daku daripada Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku daripada kaum yang zalim.'”

[Al-Taḥrīm, 66: 11]

مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ الْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ

“Antara (tanda) kebahagiaan seseorang ialah rumah yang luas, jiran yang soleh, dan kenderaan tunggangan yang elok.”

[Hadis Riwayat al-Bukhārī]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s