#Undi18: Sudah Baca dan Hayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan?

Selasa. Julai 16, 2019.

Negara Malaysia telah mencipta suatu sejarah baharu apabila secara rasminya, kesemua anggota Ahli Parlimen Kerajaan dan Blok Pembangkang telah memberikan sokongan majoriti melebihi dua pertiga, iaitu seramai 211 orang (tidak termasuk Ahli Parlimen yang tidak hadir) mengatasi jumlah minimum 148 orang yang diperlukan bagi meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat.

RUU yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada bacaan kali kedua awal 16 Julai itu, bercadang meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur warganegara yang layak untuk menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.

Selain itu, RUU itu juga dibentangkan bertujuan meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, di samping mengandungi cadangan untuk pendaftaran warganegara secara automatik sejurus mereka mencapai umur 18 tahun.[1]

Dengan terumumnya keputusan ini yang dilihat sebagai salah satu catatan penting sepanjang tawarikh peradaban negara pascakemerdekaan, maka desakan daripada pelbagai pihak agar suatu silibus pendidikan politik dan ketatanegaraan berlatarbelakangkan nuansa Malaysia dilihat amat perlu dititikberatkan dan dilaksanakan seunggul mungkin.

Atas faktor ini, saya melihat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang mula digubal pada tahun 1988 dengan nama “Falsafah Pendidikan Negara” (FPN) sebelum diperbaharui kepada FPK pada 1996 menurut Akta Pendidikan 1996 wajib dijadikan dasar dan teras sepanjang proses penggubalan silibus pendidikan tersebut.[2]

Ayuh kita sama-sama hayati matan penuh FPK di bawah:[3]

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”


Perkembangan Potensi Individu Secara Menyeluruh dan Bersepadu

Kita bakal menjadi saksi bahawa, pada masa akan datang, pendidikan di sekolah bukan sekadar menerapkan pengajaran bahasa, sains, matematik, sejarah, geografi, kemahiran hidup, dan selainnya sahaja, malah pendidikan politik juga akan turut diberikan penekanan.

Melalui pendidikan politik secara lebih awal di peringkat sekolah, hal ini diyakini mampu menjadikan perkembangan seseorang murid itu lebih bersepadu dalam usaha membentuk ciri-ciri seorang insan yang berkebolehan dan berkemahiran dalam pelbagai aspek kehidupan, khususnya dalam bidang politik.

Pewujudan Insan yang Seimbang dan Harmonis

Sekolah bukan hanya sekadar tempat untuk belajar perihal bahasa dan kesusasteraan sahaja, ataupun tempat untuk memberikan fokus terhadap bidang sains dan matematik sahaja. Tidak! Bahkan, ilmu-ilmu kemanusiaan seperti sejarah dan peradaban – termasuk juga ilmu politik yang ada dalamnya hal-hal berkaitan kenegaraan dan kepemimpinan – harus jua diberikan penumpuan yang khusus dan teliti.

Tambahan pula, harus diingatkan bahawa pendidikan politik sepatutnya tidak hanya dijuruskan ke arah bagaimana ingin mengelola kehidupan di dunia semata-mata, bahkan apa yang lebih utama adalah bagaimana ilmu ketatanegaraan ini mampu menjadi saham terbaik sebagai bekalan untuk penghidupan yang abadi di akhirat nanti. Inilah ciri-ciri insan seimbang duniawi dan ukhrawi yang kita damba-dambakan.

Pendasaran Kepercayaan dan Kepatuhan kepada Tuhan

Demikian juga, terma inilah yang sungguh-sungguh ingin saya tonjolkan sebagai matlamat dan objektif utama setiap rinci pendidikan; membentuk manusia yang beradab, sedar akan peranannya sebagai hamba kepada Tuhannya, mengagungkan Tuhan sebagai Maha Pemilik segala ilmu pengetahuan, serta memakmurkan alam dan muka Bumi menurut acuan wahyu yang sebenar.

Hal ini jugalah yang saya harapkan dapat diabadikan dalam silibus ketatanegaraan nanti; kesedaran terhadap tugas sebenar seorang manusia itu sebagai khalifah Allah di muka Bumi dengan melihat bahawa bidang politik merupakan salah satu lapangan untuk beramal soleh dan ladang menuai pahala, bukan tempat untuk menjalankan kuasa pentadbiran dan pemerintahan sewenang-wenangnya mengikut hawa nafsu.

Pencapaian Kesejahteraan Diri

Maka, setelah tercapai kesedaran asasi tauhidik tersebut, pendidikan politik akan secara tidak langsung mampu melahirkan seorang murid yang beriman, budiman, lagi bertakwa kepada Tuhannya, seterusnya menatijahkan ketenangan dan kesejahteraan dalam diri.

Semoga dengan itu, tiadalah lagi salah anggap bahawa segala-gala yang berkaitan politik adalah kotor dan nista. Bahkan, seperti yang diungkapkan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam penulisannya baru-baru ini, “politics is a dirty game” ialah suatu kata-kata yang diimport dari Barat yang menjajah ke dalam akal fikiran, mempengaruhi umat Islam sehingga kini disebabkan oleh buta agama yang lebih parah daripada buta huruf, dengan tujuan supaya umat Islam meninggalkan urusan politik kepada mereka sahaja dan agar mereka dapat terus menguasai kita.[4]

Pemberian Sumbangan terhadap Keluarga, Masyarakat, dan Negara

Pada akhirnya, segala ilmu yang telah kita miliki hendaklah dicurahkan kembali manfaatnya kepada segenap lapisan masyarakat di sekeliling kita. Apa guna ilmu jika tiada amal ke arah pembentukan diri menjadi pemimpin masa depan dan pembaikan negara ke arah yang lebih sejahtera?

Bukankah junjungan besar Rasulullah SAW juga pernah bersabda:

خَيْرُ الناسِ أَنْفَعُهُمْ لِلناسِ

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.”

[Hadis Riwayat Ahmad]

Tuntasnya, gabungan bersepadu antara elemen akliah dengan rohaniah dalam silibus pendidikan politik atau ketatanegaraan mestilah diambil secara serius oleh kesemua penggubal dasar dan penyelenggara sistem pendidikan negara.

Cadangan saya yang serba daif ini, ahli akademik dalam bidang sains politik Islam khususnya hendaklah diajak berbincang oleh pihak penggubal dasar bagi memetik buah fikiran mereka. Dengan menjemput mereka, tindakan ini secara tidak langsung juga menunjukkan pengiktirafan kita terhadap kepakaran mereka dalam merangka sistem pendidikan politik yang terbaik di negara ini.

Di samping itu, saya juga menggalakkan pihak penggubal dasar agar mencari dan menggali kembali sumber turath Islam dalam ilmu perihal sains politik Islam atau siyāsah al-shar‘iyyah. Sesungguhnya, saya benar-benar yakin dan percaya bahawa karya dan sumbangan mereka dalam bab ketatanegaraan senantiasa akan menjadi rujukan terbaik zaman-berzaman.

Tidak perlu pergi jauh. Cukuplah kita mendalami karya-karya mereka yang berasal dari alam Melayu atau Nusantara kita sendiri seperti Raja Ali Haji dengan karyanya “Thamaraṯ al-Muhimmah” dan “Muqaddimaṯ fī Intiẓām Waẓā’if al-Malik”, Syeikh Abdul Qadir al-Mandili dengan naskhahnya “Islam: Agama dan Kedaulatan”, serta banyak lagi tokoh Nusantara lain yang boleh diterokai sumbangan mereka dalam bidang ini.

Misalnya, kita boleh lihat kepada ketokohan Syeikh Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin (Tok Syeikh Duyong) yang pernah menjadi guru dan mufti kepada tiga orang Sultan Terengganu (Sultan Omar, Sultan Ahmad Shah II, dan Sultan Zainal Abidin III)[5] serta Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fatani yang pernah dilantik sebagai penasihat bagi Syarif Mekah pada tahun 1889, sekaligus diberikan kerakyatan Turki ‘Uthmaniyyah demi memudahkan urusan pentadbiran dan politik![6]

Masya-Allah, kalau bukan kita anak tempatan yang mahu memanfaatkan jasa dan pemikiran mereka, maka kita hendak mengharapkan siapa lagi?


Untuk itu, tinggilah harapan dan cita-cita saya demi melihat anak watan Malaysia yang sungguh-sungguh menghayati Rukun Negara dengan “Kepercayaan kepada Tuhan” sebagai teras yang terutama, benar-benar menjadi suatu yang realiti, seterusnya menghasilkan pemimpin yang berkarisma lagi berwibawa dalam memacu Malaysia ke arah yang lebih makmur dan sejahtera.

Firman Allah SWT:

قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ ٱسْتَعِينُوا۟ بِٱللَّهِ وَٱصْبِرُوٓا۟ ۖ إِنَّ ٱلْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ ۖ وَٱلْعَٰقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ

“Musa berkata kepada kaumnya, ‘mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah; sesungguhnya Bumi (ini) kepunyaan Allah; dipusakakan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada hamba-hamba-Nya. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.’”

[Al-A‘rāf, 7: 128]

Ya Allah, rahmatilah tanah air kami, Malaysia yang tercinta!


Catatan oleh:
AHMAD MUHAIMIN BIN AHMAD SAFARUDDIN
Pengerusi,
Jabatan Kajian dan Intelektual,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia 2019.


Rujukan:

[1] Firdaus Azil, “Undi 18: RUU lulus, Ahli Parlimen beri sokongan majoriti lebih dua pertiga,” Astro Awani, Julai 16, 2019, http://www.astroawani.com/berita-malaysia/undi-18-ruu-lulus-ahli-parlimen-beri-sokongan-majoriti-lebih-dua-pertiga-212815.

[2] “Sejarah Falsafah Pendidikan Negara (FPN),” Salam Sejarah, Mei 11, 2009, http://sejarah2u.blogspot.com/2009/05/sejarah-falsafah-pendidikan-kebangsaan.html.

[3] “FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN,” Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia, dicapai pada Julai 26, 2019, https://www.moe.gov.my/index.php/dasarmenu/falsafah-pendidikan-kebangsaan.

[4] Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, “Minda Presiden PAS: MENGAPA KOTORKAN POLITIK?,” Facebook, Julai 24, 2019, https://www.facebook.com/abdulhadiawang/posts/2307230186028753.

[5] Farahi Kamaruddin, “Tok Syeikh Duyung (1802 – 1889M): Guru Kesayangan Sultan,” The Patriots, dikemas kini pada Oktober 20, 2018, https://www.thepatriots.asia/tok-syeikh-duyung-1802m-1889m-guru-kesayangan-sultan/.

[6] Helmi Effendy, “Sheikh Wan Ahmad Al-Fatani: Ulama Dan Saintis Agung Orang Melayu,” The Patriots, dikemas kini pada Julai 29, 2019, https://www.thepatriots.asia/sheikh-wan-ahmad-al-fatani-ulama-dan-saintis-agung-orang-melayu/.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s