Ramadan, Syawal, dan Liberalisme

Hujan renyai-renyai yang turun pada malam ini seolah-olah menangisi pemergian sang Ramadan yang baru saja berangkat pulang meninggalkan kita.

Ternyata, dalam kelazatan dan kenikmatan kaum Muslimin menjalani amal ibadat sepanjang bulan Ramadan dengan penuh pengabdian, dapat kita perhatikan bahawa masih terselit juga babak-babak kurang enak lagi kurang menyenangkan yang menjentik sanubari kita selaku umat Islam.

Isu-isu seperti kemahuan sesetengah pihak untuk menghapuskan hak Bumiputera, pengagihan zakat oleh mereka yang bukan Muslim, majlis buka puasa di kuil, penunaian solat di gereja, serta pelbagai isu lain berlegar-legar saban hari silih berganti walaupun pada bulan yang penuh keberkatan ini. Itu belum dikira sekalian banyak isu sebelum Ramadan lagi.

Walhasil, hal tersebut sedikit sebanyak merencatkan momentum dan penghayatan ibadat puasa umat Islam di sini yang sewajarnya dilalui dengan penuh keimanan dan pengharapan terhadap keredaan Allah.

Saya tidak mahu mengulas lanjut berkenaan isu-isu tersebut kerana telah sekian banyak para asatizah dan agamawan yang lebih berwibawa layak untuk membahaskannya.

Cuma, saya sekadar ingin berkongsi beberapa intipati penting ketika menghadiri “Kuliah Tafaqquh Fiddin APIUM (KTF) Mega: Isu Akidah dan Pemikiran” anjuran Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM) pada 30 April 2019 yang lalu.

Bahkan, KTF Mega yang menjadi penutup bagi sekalian siri KTF anjuran PMAPIUM sesi 2018/2019 itu menjadi amanah bagi saya untuk menyebarluaskan dapatan kuliah tersebut melalui medium penulisan.

Hal ini juga berikutan daripada permintaan mahaguru saya sendiri yang sangat saya hormati lagi kasihi, al-Fāḍil Dr. Azmil bin Zainal Abidin ḥafiẓahuLlāh ta‘ālā, penyampai bagi KTF Mega tersebut untuk saya berkongsi catatan supaya teman-teman lain bisa memperoleh manfaatnya jua.

Kebetulan pula, isi-isi yang dikemukakan oleh beliau pada petang itu bertepatan pula dengan beberapa permasalahan yang timbul pada era pasca-Malaysia Baharu ini yang berkait dengan soal pemikiran.


Al-Fāḍil Ustaz memulai kuliahnya dengan memetik sebaris ayat al-Quran:

وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِي جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِيّٖ وَلَا نَصِيرٍ

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka), ‘sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar’. Dan demi sesungguhnya, jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.”

[Al-Baqarah, 2: 120]

Ayat ini jelas menjadi penunjuk bahawa musuh-musuh Islam, terutamanya daripada kalangan Yahudi dan Nasrani tidak akan sekali-kali boleh duduk diam dan berpeluk tubuh selagi umat Islam tidak mengikut jejak langkah mereka, baik dari segi luaran mahupun dalaman, termasuk dalam soal pemikiran dan pandangan sarwa.

Tambahan pula, mafhūm mukhālafah (makna tersirat) daripada ayat ini juga menyatakan, sesiapa yang mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang melanda dunia selain daripada petunjuk Allah (Islam) seperti memilih ideologi-ideologi tertentu kerana menurut hawa nafsu atau mengikut pandangan akal mereka yang cetek semata-mata, maka ideologi-ideologi tersebut hakikatnya tidak akan dapat membantu menyelesaikan masalah walau sedikit pun!

Oleh kerana itulah, pada saat mereka sudah tidak mampu untuk mengalahkan umat Islam dari sudut peperangan dan ketenteraan berbentuk fizikal, maka mereka melancarkan suatu bentuk peperangan versi baharu pula yang diberikan jolokan sebagai “peperangan pemikiran” (ghazw al-fikr).

Antara senjata peperangan pemikiran yang diluncurkan termasuklah fahaman liberalisme yang membawa kepercayaan dan penekanan terhadap prinsip kebebasan individu. Untuk itu, perlu bagi kita sebagai orang yang diberikan kefahaman agama menguasai sungguh-sungguh bagaimana kaedah liberalisme bergerak dalam meresapi pemikiran masyarakat.

Hendak menguasai dengan sungguh-sungguh ini, maka kita pun memerlukan kekuatan stamina yang mapan jugalah dalam mengekalkan keaslian al-Dīn Islam. Janganlah stamina yang kita ada itu banyak dibazirkan dalam perkara-perkara yang tidak perlu atau kurang penting seperti bertelingkah soal khilafiah dalam fiqah sehingga mengabaikan soal keracunan dalam bab akidah yang lebih membahayakan ini.

Bercakap soal prinsip kebebasan individu, benarkah manusia itu lebih tahu apa tabiat dirinya?

John Locke (m. 1704), seorang filsuf Inggeris pernah membilang, “secara tabiinya, manusia memiliki kebebasan mutlak untuk berbuat apa-apa saja yang difikirkan sesuai tanpa persetujuan sesiapa.”

Wah, sehebat itu ya manusia memiliki kekuasaan dan pilihan mutlak ke atas dirinya sendiri dalam menjalani kehidupan! Lalu, di manakah peranan Tuhan?

Sebetulnya, kelahiran dan perkembangan pemikiran Barat moden ini juga adalah disebabkan oleh kekecewaan masyarakat terdahulu terhadap agama Kristian. Para paderi dan pendeta Gereja pada masa itu menjadi terlalu berkuasa sehingga memanipulasi agama demi kepentingan peribadi. Sesiapa yang tidak bersetuju atau bersealiran dengan mereka, pasti akan dihukum.

Oleh sebab itu, lahirnya falsafah dengan kemahuan untuk mencabar dan menjadi alternatif kepada agama. Namun begitu, apa yang menjadi isu di sini ialah, falsafah yang timbul akibat daripada konteks sejarah agama Kristian yang penuh dengan penyelewengan ini, cuba dipaksakan juga ke atas agama Islam yang memiliki ciri-ciri dan jalan cerita sejarah yang nyata sangat berbeza daripada agama Kristian.

Kita boleh meneliti kisah Nuh AS dan puteranya. Saat baginda Nuh AS mahu mengajak puteranya untuk sama-sama menaiki bahtera ketika azab Allah yang berupa banjir besar melanda kawasan itu, tahu apa jawapan si anak itu?

“Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air.” Nabi Nuh berkata, “hari ini tidak ada sesuatu pun yang akan dapat melindungi daripada azab Allah, kecuali orang yang dikasihani oleh-Nya.” Dan dengan serta-merta, ombak itu pun memisahkan antara kedua-duanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) daripada orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.

[Hūd, 11: 43]

Nah, lihatlah bagaimana putera Nuh AS menyangka bahawa gunung yang didakinya itu mampu menjadi penyelamat kepadanya daripada ditenggelami banjir, padahal solusi untuk selamat daripada banjir, yakni dengan menaiki bahtera itu dan bersama-sama dengan baginda AS telah ada. Namun begitu, ternyata kedegilannya memakan diri apabila dia turut sama-sama dihanyutkan oleh Allah bersama-sama kaumnya yang derhaka kepada-Nya.

Begitulah sifat falsafah pada hari ini. Ciri yang ada pada falsafah hanyalah bersifat ‘half-truth’ atau separa benar. Mereka fikir falsafah berjaya mengambus lubang lama yang dilihat bermasalah, walhal pada masa yang sama, falsafah menggali pula lubang baharu yang mendatangkan masalah lain.

Cara fikir falsafah yang mengetepikan akidah yang benar ini hanyalah sekadar bersifat partikular atau juz’ī. Cuba untuk menyelesaikan masalah sekian-sekian, namun menjemput pula masalah baharu yang sekian-sekian. Malangnya, ada orang yang tersihir dengan falsafah sehingga sanggup pula ‘mewakafkan’ dirinya untuk memperjuangkan perkara yang juz’ī ini!


Berbalik kepada soal liberalisme, sebenarnya mudah sahaja bagaimana untuk kita mengenali pembawaan para pendukung fahaman ini melalui prinsip liberalisme berikut yang menjadi asas dalam setiap tindak-tanduk mereka berserta penghujahan ringkas daripada Islam sebagai solusi.

Prinsip-prinsip tersebut ialah:

1. Bebas dalam ‘ruang’ individu

John Stuart Mill (m. 1873), ahli falsafah British pernah berkata, “seorang individu memiliki kuasa mutlak ke atas dirinya sendiri tanpa ada kuasa di dunia yang berhak mencampuri urusan peribadinya selagi ia tidak menyakiti atau mencederakan orang lain.”

Kita boleh saksikan bukan bagaimana boleh timbulnya istilah seperti “dosa peribadi” dan “dosa awam” melalui idea yang dibawa olehnya?

Pendapat ini telah disanggah oleh Islam dengan memperlihatkan bahawa syariat dan kuasa agama ini amat penting sebagai langkah pencegahan sebelum hal-hal yang bebas menjadi ‘terbabas’.

Oleh hal yang demikian, amat penting sekali institusi agama memainkan peranan masing-masing dalam menjalankan misi “al-amr bi al-ma‘rūf wa al-nahy ‘an al-munkar” di negara kita. Sayang sekali, kewujudan mereka telah dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu atas alasan mengganggu privasi kehidupan mereka.

2. Bebas dalam ‘neraca’ individu

Friedrich August von Hayek (m. 1992), ahli ekonomi dan filsuf dari Austria pernah menyebut, “seseorang itu memiliki neraca nilainya sendiri yang harus dihormati sekalipun kita tidak menyetujuinya. Cara menilai orang lain bergantung kepada nilai yang dipegangnya.”

Daripada idea ini, maka timbullah istilah “don’t judge” seperti yang disebut oleh kebanyakan orang. ‘Biarlah aku dengan hal aku, kenapa kau sibuk-sibuk mahu menjadi hakim aku.’ Begitu, ya? Bagi dia, selagi dia rasa apa-apa yang dibuat olehnya adalah baik, maka orang lain tidak berhak untuk mempersoalkannya.

Hakikatnya, Islam ada jawapan terhadap hujah ini. Bagi Islam, piawaian nilai baik dan buruk ialah berdasarkan perkhabaran Nabi Muhammad SAW yang bersifat ilmiah lagi hakiki.

Kita lihat dalam sebuah kisah daripada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah ibn ‘Abbas RHMA:

مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ قَبْرَيْنِ فَقَالَ إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لَا يَسْتَتِرُ مِنْ الْبَوْلِ وَأَمَّا الْآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ ثُمَّ أَخَذَ جَرِيدَةً رَطْبَةً فَشَقَّهَا نِصْفَيْنِ فَغَرَزَ فِي كُلِّ قَبْرٍ وَاحِدَةً قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَ فَعَلْتَ هَذَا قَالَ لَعَلَّهُ يُخَفِّفُ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا

Nabi SAW melewati dua kuburan, lalu baginda bersabda: “sesungguhnya, kedua-duanya ini diseksa, dan tidaklah kedua-duanya diseksa dalam perkara yang berat (untuk ditinggalkan). Yang pertama, dia dahulu tidak menutupi dari buang air kecil. Adapun yang lain, dia dahulu berjalan melakukan namīmah (adu domba)”. Kemudian, baginda SAW mengambil sebuah pelepah kurma yang basah, lalu membahaginya menjadi dua, kemudian baginda SAW menancapkan satu pelepah pada setiap kubur itu. Para sahabat bertanya, “wahai Rasul Allah, mengapa tuan melakukan demikian?” Baginda SAW menjawab, “semoga Allah meringankan seksa kedua-duanya selama (pelepah kurma ini) belum kering.”

[HR Bukhari no. 218; Muslim no. 292]

Hadis di atas menunjuki kita beberapa isyarat, antaranya:

  1. Nabi SAW sebagai orang yang membawa naba’ (berita).
  2. Ahli kubur yang pertama diseksa kerana tidak buang air kecil dengan sempurna -> berkait dengan isu peribadi.
  3. Ahli kubur yang kedua diseksa kerana menjadi pengadu domba -> berkait dengan isu awam.

Nah, kalau bukan kerana Islam yang bersumberkan wahyu melalui perantaraan Rasulullah SAW sebagai pembawa berita, bagaimana kita bisa menanggapi sesuatu hal itu sebagai baik atau buruk, termasuk dalam isu peribadi seperti dalam soal buang air kecil pun?

Inilah hebatnya epistemologi Islam yang berasaskan akidah Islam itu sendiri, bukan berasaskan tanggapan atau andaian daripada mana-mana pihak!

3. Polisi awam yang bebas agama

John Rawls (m. 2002), ahli falsafah Amerika dalam hal ini menjelaskan, maksud frasa di atas adalah dengan “menganjurkan polisi awam yang sama rata dan bebas daripada doktrin agama, moral, nilai, dan budaya. Polisi awam yang bersumberkan pengaruh agama akan menimbulkan pertelingkahan, lantas menghalang keadilan dan kesatuan.”

Perasan atau tidak bahawa polisi antarabangsa pada masa ini, rata-ratanya didukung oleh idea sebegini? Polisi seperti Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), dan lain-lain – hendaklah pengaplikasiannya jangan dibawa atau diangkat langsung hal ehwal berkaitan dengan keistimewaan agama atau budaya tertentu dalam perkara-perkara sebegini. Tidak membawa keadilan, katanya.

Idea ini telah dibidas sendiri oleh Islam dengan menyatakan bahawa, nilai moral universal sebetulnya berasal daripada ajaran para Nabi dan Rasul terdahulu yang membawa ajaran Tauhid, manakala syariat Islam pula adalah sebagai pelengkap melalui ajaran Rasul yang terakhir.

Mana mungkin tafsiran moral dan nilai-nilai murni boleh mengesampingkan ajaran-ajaran wahyu yang dibawa oleh para Rasul terdahulu, bahkan dilengkapkan menerusi perutusan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul yang terakhir? Jikalau tidak, tafsiran moral dan nilai murni itu berasaskan apa, siapa, dan dari mana?


Hakikatnya, kita membawa suatu wawasan yang sangat berat dalam memulihkan kepercayaan masyarakat bahawa, Islamlah satu-satunya penyelesaian dan penyelamat yang menjadi naungan kepada semua. Inilah “raḥmatan li al-ālamīn” yang sebenar.

Moga-moga, berkat kedatangan Syawal kali ini memberi kita suatu sinar harapan yang baharu – bahawa di sebalik setiap tekanan yang kita hadapi dari segenap sudut dan penjuru, baik dari segi tekanan luaran dan dalaman – Tuhan mengizinkan kita untuk merasai detik kemenangan dan menikmati kemanisan janji-Nya asbab kesabaran kita sepanjang tempoh menjalani ujian-Nya.

Ya Allah, bantulah kami untuk mengikhlaskan diri dalam beramal demi agama-Mu walau dibenci oleh sekalian orang kafir, munafik, fasik, dan musyrik!

« تقبل الله منا ومنكم صالح الأعمال »


Catatan oleh:
AHMAD MUHAIMIN BIN AHMAD SAFARUDDIN
Pengerusi,
Jabatan Kajian dan Intelektual,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia 2019.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s