Tahukah Anda berkenaan Majlis Raja-Raja Melayu?

Baru-baru ini, kita dihangatkan dengan isu berkenaan Statut Rom yang ditolak kerana Majlis Raja-Raja tidak bersetuju dengan sebahagian daripada Statut tersebut yang dianggap menjadi pintu belakang untuk melemahkan kedudukan Majlis Raja-Raja.

Majlis Raja-Raja membuat kesimpulan tersebut berdasarkan dua perkara, iaitu keengganan Kerajaan Persekutuan membawa usul tersebut kepada Majlis Raja-Raja sebelum menerima pakai peruntukan tersebut dan hasil daripada rumusan empat orang ahli akademik tempatan.

Baik, kita tolak tepi dahulu isu Statut Rom. Apa yang lebih penting untuk kita persoalkan dahulu di sini ialah; adakah kita sudah benar-benar jelas dan maklum mengenai sejarah, fungsi, dan peranan Majlis Raja-Raja Melayu di negara kita?

Sejarah Majlis Raja-Raja Melayu bermula semenjak penubuhan Durbar oleh British ketika membentuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB). Perkataan ‘Durbar’ yang bermaksud ‘Istana Raja’ merupakan institusi tradisi raja yang berasal dari India.

Berbanding dengan institusi Durbar di NNMB, institusi Durbar di India tidak berpusat di peringkat persekutuan. Institusi Durbar di India lebih bersifat regional atau provinsi. Antara kerajaan tradisi India yang menggunakan ‘Durbar’ sebagai ketua kerajaan ialah kerajaan bagi Provinsi Kathiawar.

Durbar Raja-Raja Melayu bagi NNMB telah ditubuhkan pada tahun 1896 bagi membolehkan British merasmikan pembentukan ‘Federation of the Protected Malay States’ atau lebih dikenali sebagai NNMB (Federated Malay States).

Sebagai sebahagian nadi dalam sistem pentadbiran persekutuan British di NNMB, Durbar berperanan sebagai sebuah majlis persidangan bagi Raja-Raja Melayu negeri Perak, Selangor, Pahang, dan Negeri Sembilan untuk membincangkan hal ehwal pentadbiran kerajaan persekutuan dengan Residen-Residen British, Residen Jeneral, dan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu dalam bahasa Melayu.

British menganggap persetujuan Raja-Raja Melayu membentuk Durbar sebagai satu bentuk perkenan dan penerimaan Raja-Raja Melayu terhadap pembentukan NNMB serta kesetiaan mereka kepada Baginda Ratu England. Oleh sebab itu, Residen Jeneral dan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu turut terlibat dalam persidangan Durbar NNMB sebagai ejen dan wakil bagi kerajaan Baginda Ratu England yang menaungi NNMB.

Persidangan Durbar NNMB telah berlangsung pada 13 Julai 1897 di Astana Negara, Kuala Kangsar, Perak. Persidangan ini dihadiri oleh Sultan Selangor, Sultan Pahang, Yamtuan Negeri Sembilan, Sultan Perak, Residen-Residen British, ahli Majlis Mesyuarat Negeri, dan Pesuruhjaya Tinggi British. Setiap Raja Melayu dan Pesuruhjaya Tinggi British menerima penghormatan 17 das tembakan senapang dan kawalan terhormat oleh 50 orang ‘Malay States Guides’.

Isu penting yang menjadi tumpuan dalam persidangan Durbar ini ialah berkaitan hal ehwal pengurusan kewangan, masalah beban hutang negeri Pahang, penetapan cukai timah dan candu, pembinaan landasan kereta api, pentadbiran tanah, peraturan buruh, dan hal ehwal pentadbiran Islam yang melibatan pelantikan kadi, pembinaan masjid, serta pendaftaran perkahwinan dan penceraian.

Pascapembubaran Malayan Union dan kesan daripada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, Majlis Raja-Raja telah ditubuhkan secara formal pada tahun 1948 yang dikenali sebagai Majlis Raja-Raja atau Durbar. Keahlian bagi badan pentadbiran tertinggi Tanah Melayu itu telah bertambah dengan kemasukan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu (NNMTB) iaitu negeri Johor, Kedah, Perlis, Kelantan, dan Terengganu.

Persidangan pertama Majlis Raja-Raja diadakan di Kuala Lumpur pada 18 Februari 1948. Persidangan ini telah dipengerusikan oleh Sultan Johor, DYMM Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar dan buat pertama kalinya dihadiri oleh kesembilan-sembilan orang Raja-Raja Melayu. Pihak Inggeris diwakili oleh Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu, Sir Gerard Edward James Gent.

Penubuhan Majlis Raja-Raja sangat penting dalam pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu dan antara Februari 1948 sehingga Ogos 1957, Majlis Raja-Raja telah bersidang sebanyak 50 kali. Antara sumbangan yang dibuat untuk kebajikan orang Melayu adalah seperti yang berikut:

  1. Penubuhan Kumpulan Wang Biasiswa Pengajian Tinggi Majlis Raja-Raja (Mesyuarat ke-8, 1949).
  2. Mengehadkan kemasukan tenaga buruh dari negeri China dan India.
  3. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi walaupun bukan sebagai bahasa kebangsaan.

Selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Melaka dan Pulau Pinang turut menjadi ahli Majlis Raja-Raja. Negeri Sabah, Sarawak dan Singapura (1963–1965) menyertai Majlis Raja-Raja selepas Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963. Persidangan Majlis Raja-Raja yang pertama diadakan selepas merdeka adalah pada 30 dan 31 Oktober 1957. Persidangan tersebut dipengerusikan oleh Sultan Perlis, DYMM Sultan Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.

Selepas merdeka, Majlis Raja-Raja telah menjalankan peranannya dengan baik melalui sistem Raja Berperlembagaan. Melalui sistem ini, Raja-Raja Melayu dan Majlis Raja-Raja Melayu telah membantu pentadbiran Malaysia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Majlis Raja-Raja masih berpengaruh dan mempunyai keistimewaan tertentu dalam pentadbiran Malaysia. Walaupun terdapatnya Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang berperanan menggubal dan melaksanakan undang-undang, namun terdapat beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang telah memberikan kuasa kepada Majlis Raja-Raja.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Majlis Raja- Raja hendaklah ditubuhkan mengikut Jadual Kelima. Kuasa Majlis Raja-Raja turut dinyatakan dalam Perkara 38 (2) iaitu:

  1. Memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Jadual Ketiga.
  2. Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh.
  3. Memperkenankan atau tidak memperkenankan apa-apa undang-undang dan membuat atau memberikan nasihat mengenai apa-apa pelantikan yang di bawah Perlembagaan ini dikehendaki diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja atau dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
  4. Melantik anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182.
  5. Memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42.

Di samping itu, Majlis Raja-Raja Melayu juga berperanan penting dalam melindungi kepentingan orang Melayu. Selain menjadi ketua bagi masyarakat Islam di setiap negeri, Majlis Raja-Raja juga perlu menjaga kepentingan dan hak-hak istimewa orang Melayu seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan tersebut dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia iaitu:

  1. Perkara 153 mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera dan juga hak kaum yang lain-lain. Perkara 38 (5) juga menyatakan bahawa Majlis Raja-Raja hendaklah dirundingi sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar yang menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153.
  2. Perkara 152 mengenai kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Selain itu, kepentingan Raja-Raja Melayu dan Majlis Raja-Raja turut dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Perkara 38 (4) dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia juga menyatakan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan, atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Perkara 63(5) juga menyatakan bahawa sebarang cadangan, usaha, atau anjuran daripada Parlimen Malaysia untuk memansuhkan institusi raja adalah kesalahan yang bertentangan dengan perlembagaan negara. Jelasnya, sejak zaman Perang Dunia Pertama, institusi Raja-Raja Melayu masih kekal dan dipelihara dalam sistem pentabiran negara.

Maka, disebabkan hakikat inilah, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus memelihara, mempertahankan, dan mendaulatkan keutuhan institusi Raja-Raja Melayu ini atas dasar dan prinsip Rukun Negara yang kedua; Kesetiaan kepada Raja dan Negara!


Catatan oleh:
AHMAD MUHAIMIN BIN AHMAD SAFARUDDIN
Pengerusi,
Jabatan Kajian dan Intelektual,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia 2019.


Rujukan:

Mokhtar, Mohd Syazwan, Muhammad Aslah Akmal Azmi, dan Suffian Mansor. “Sejarah Perkembangan Majlis Raja-Raja Melayu.” Prosiding Seminar 120 Tahun Majlis Raja-Raja Melayu. Universiti Kebangsaan Malaysia. https://www.researchgate.net/publication/330359860_Sejarah_Perkembangan_Majlis_Raja-Raja_Melayu.

Patriots, The. “Benarkah Tuduhan Raja-Raja Melayu Mahu Melakukan Kudeta?.” Terakhir dikemas kini pada April 10, 2019. https://www.thepatriots.asia/benarkah-tuduhan-raja-raja-melayu-mahu-melakukan-kudeta/.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. “Asal-usul Majlis Raja-raja.” Diakses pada April 17, 2019.  http://www.majlisraja-raja.gov.my/index.php/bm/sejarah/asal-usul-majlis-raja-raja.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s