Aku dan Pilihan Raya Kampus

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Jumaat. 8 Mac 2019. 2 Rejab 1440.

Malam kelmarin (6 Mac 2019), aku telah diberikan kesempatan oleh Allah untuk menghadiri kenduri kesyukuran Neo-Siswa Universiti Malaya pasca-Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Malaya (UM) 2019 di Institut Pengajian Siswazah (IPS) bagi menghargai segala keringat dan penat lelah para penyokong dan pendukung Neo-Siswa sepanjang fasa berkempen PRK UM yang lalu.

Alhamdulillah, Allah telah mengizinkan tiga orang calon fakulti Neo-Siswa (dua orang di Akademi Pengajian Islam (API) dan seorang di Fakulti Sains) untuk memperoleh kemenangan serta menduduki carta kedua tertinggi pula di belakang Suara Siswa UM dari segi jumlah keseluruhan bilangan undian yang diperoleh di peringkat umum; sesuatu yang boleh dibanggakan oleh para penyokong dan pengundi Neo-Siswa.

Walaupun pada malam tersebut sebenarnya, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) telah merancang suatu pertemuan untuk menjalinkan perhubungan (engagement) dengan pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, namun aku memohon keizinan sahabat-sahabat GAMIS untuk tidak menghadiri pertemuan tersebut kerana hatiku kuat mengatakan bahawa aku perlu menghabiskan sisa-sisa masa dan baki waktu yang ada sebaik mungkin dengan para sahabat dan jentera Neo-Siswa yang lain dalam kenduri kesyukuran itu.

Aku kira, mungkin inilah kali terakhir aku bakal terlibat secara langsung dengan mereka kerana aku sedar, selepas ini, masa aku sudah tidak lama bersama-sama mereka memandangkan aku sudah pun berada dalam semester akhir pengajian dan bakal juga menamatkan gelaran aku sebagai seorang mahasiswa.

Jadi, penulisan ini akan aku kongsikan sedikit sebanyak perihal pengalaman aku selama kurang lebih lima tahun keterlibatan aku dengan PRK UM sejak dari zaman asasi sehinggalah aku meniti detik-detik akhir pengajian sarjana muda, sama ada secara langsung mahupun sebaliknya. Aku berharap dengan penulisan yang serba daif ini, dapatlah kiranya memberikan sedikit suntikan azam, semangat, keinsafan, dan iltizam baharu buat adik-adik yang sangat aku cintai untuk meneruskan legasi keizzahan Islam di bumi Malaya.

Perkenalan Aku dengan Pro-Mahasiswa UM

Pro-Mahasiswa Universiti Malaya.

Tahun 2014.

Aku terimbau kembali saat aku berada dalam tahun kedua pengajian Asasi Pengajian Islam dan Sains (APIdS) aku di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM). Aku yang sedari tahun pertama APIdS ketika di APIUM Nilam Puri, Kelantan dahulu (sekitar tahun 2013–2014) telah pun mengikuti secara agak rapat perihal politik kampus di UM Kuala Lumpur (KL) melalui media sosial. Dari Nilam Puri jugalah, aku mula mengenali nama gerakan mahasiswa seperti Pro-Mahasiswa dan Penggerak Mahasiswa di KL sana. Sesuatu yang menarik untuk aku ambil tahu perihal gerakan mahasiswa yang sentiasa ‘bergocoh’ ini.

Tahun kedua APIdS di PASUM, berkebetulan pula dengan kembalinya para sahabat dan senior ijazah sarjana muda ke kampus induk UM, aku berasa sangat beruntung kerana lebih berpeluang untuk menjejaki pergerakan mereka secara lebih dekat. Aku yang ketika itu memilih untuk menjadi penyokong Pro-Mahasiswa yang terkenal dengan cogan kata “Kebajikan, Keilmuan, Keharmonian” mula menghadiri “Speaker’s Corner” atau Sudut Pidato anjuran Pro-Mahasiswa pada suatu petang di UM Sentral bersama-sama dengan sahabat saya, Muhammad Rofiq yang juga berkongsi minat yang sama seperti aku.

Alang-alang musim PRK UM tahun 2014 sudah bermula, jadi kita ambillah aura sedikit sebanyak. Ya, itulah pengalaman Sudut Pidato kali pertama dalam sejarah hidup seorang insan bernama Ahmad Muhaimin. Apa lagi yang boleh dikatakan selain berasa teruja dan “wow”, ditambah pula dengan konvoi Pro-Mahasiswa selepas itu. Pergh, seronok jadi budak degree celup.

Semangat mengambil gambar sebagai tanda sokongan terhadap Pro-Mahasiswa.

Antara perkara yang paling aku ingat adalah pada saat aku menghadiri “Debat Perdana Presiden 2014: Ke Mana Hala Tuju Mahasiswa Selepas Pilihan Raya Kampus” anjuran UM Economics Student’s Secretariat (UMESS) pada malam 27 November 2014 di Dewan Kuliah 3, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran (FEP). Debat yang mempertemukan dua seteru gerakan mahasiswa itu dengan diwakili oleh saudara Safwan Shamsuddin selaku Pengerusi Pro-Mahasiswa dan saudara Wan Muhd Suhail selaku Pengerusi Penggerak Mahasiswa berjaya membuatkan dewan kuliah tersebut dibanjiri oleh hadirin di samping menghangatkan lagi pesta demokrasi kampus.

Debat Perdana Presiden 2014.

Seingat aku, itulah kali terakhir debat seumpama itu diadakan sebelum berlaku kesuraman politik kampus pada tahun-tahun berikutnya asbab perpecahan dalaman dan penarikan diri Pro-Mahasiswa dari PRK UM, seterusnya membolehkan Penggerak Mahasiswa memperoleh semula kemenangan dalam pemilihan MPPUM (akan diceritakan secara lebih lanjut selepas ini).

Di samping itu, zaman asasi aku juga sempat diwarnai dengan penyertaan aku dalam jelajah kempen Pro-Mahasiswa ke beberapa buah fakulti dan kolej sekitar UM, juga bersama dengan Rofiq. Almaklumlah, dia memiliki motosikal sendiri untuk mudah aku menjadi pemboncengnya dan bergerak ke mana-mana saja di dalam UM, padahal kalau mengikut peraturan, pelajar asasi tidak boleh membawa kenderaan sendiri. Kira aku bersubahatlah dalam bab melanggar peraturan ini. Astaghfirullah.

Pada masa itulah, aku mula belajar, merasai, dan menyaksikan sendiri bagaimana para calon Pro-Mahasiswa berpidato dan menyampaikan manifesto mereka di khalayak. Kalau para calon menyebut nama mereka, maka para penyokong akan mengulang kembali nama calon tersebut. Oh, begitu rupanya!

Dan, setelah berlalu beberapa hari berkempen, hari pengundian pun tiba. 4 Disember 2014 menjadi tarikh keramat apabila Pro-Mahasiswa sekali lagi berjaya mengekalkan kemenangan MPPUM walaupun pada awalnya, Pro-Mahasiswa dijangka kalah oleh beberapa orang penganalisis dan pemerhati atas faktor-faktor tertentu. Pro-Mahasiswa memenangi pemilihan MPPUM dengan kelebihan 21 buah kerusi, manakala Penggerak dengan 16 buah kerusi, Bebas (2), dan Progresif (1).

Kemenangan itu diumumkan sendiri oleh Naib Canselor UM pada ketika itu, Profesor Dato’ Dr. Mohd Amin Jalaludin di Akademi Pengajian Melayu (APM). Seingat aku, itulah juga kali terakhir pengumuman keputusan PRK dibuat di APM sebelum berpindah ke Dewan Tunku Canselor (DTC) pada tahun berikutnya. Laungan doa wehdah bergema. Sujud syukur dilaksanakan sebagai tanda kesyukuran atas kemenangan yang tidak disangka-sangka itu.

(Tonton video kemenangan Pro-Mahasiswa 2014 di bawah. Naik bulu roma, syeikh!)

Para penyokong dan pendukung Pro-Mahasiswa meraikan kemenangan dengan sujud syukur. Allahu akbar!

Malam itu, sekali lagi Pro-Mahasiswa mengadakan konvoi bagi meraikan kemenangan mereka, sekaligus mengucapkan terima kasih kepada para mahasiswa yang sekali lagi memberikan mandat dan kepercayaan kepada mereka untuk terus menerajui MPPUM. Aku dan Rofiq turut serta dalam konvoi tersebut. Yang paling tak tahannya, boleh pula aku berbisik kepada Rofiq bahawa begini rasanya nikmat memperoleh kemenangan ya, seolah-olah nikmat menyambut kemenangan “Isley” (Islam) pula. Kah!

Nampak motosikal bernombor plat WRT 9391 ini? Ya, inilah motosikal milik Rofiq, dan akulah pemboncengnya sepertimana dalam gambar ini, hoho.

Maka, MPPUM atau nama kegemaran Pro-Mahasiswa, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) pun dipimpin oleh bekas naqib usrah saya, saudara Mohd Ammar Atan selaku Presiden PMUM 14/15, dan itulah juga tahun terakhir Pro-Mahasiswa mengepalai MPPUM sebelum berlaku krisis pada tahun yang berikutnya…

Pemboikotan Pro-Mahasiswa dan Kemenangan Penggerak Mahasiswa

Aku memulai tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dan Teknologi Maklumat (SMPITM) pada tahun 2015 dengan bersulamkan perpecahan dan keretakan dalaman terhadap Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), sebuah persatuan yang sangat aku kasihi kerana telah banyak membentuk dan membina perwatakan aku sepertimana aku pada hari ini.

Biasalah pada waktu tersebut, apalah sangat yang aku tahu mengenai krisis dan konflik yang melanda persatuan Islam itu melainkan kebanyakannya hanyalah kekaburan dan ketidakfahaman semata-mata. Jadi, aku terus-terusan hanya mengikut sahaja segala perancangan dan tindakan yang dilakukan oleh pihak pimpinan PMIUM, yang penting kerja dan dakwah harus berjalan, fikir aku pada masa itu.

Sekejap, apa kaitan antara PMIUM dengan Pro-Mahasiswa? Ya, kaitannya, Pro-Mahasiswa merupakan sayap politik bagi PMIUM. Jadi, permasalahan yang melanda PMIUM secara tidak langsung akan turut menggugat atau memberikan kesan kepada jentera Pro-Mahasiswa juga.

Masih segar dalam ingatan aku akan suatu malam yang hening di Tadika Universiti Malaya (TADIKUM) bilamana Pengerusi Pro-Mahasiswa pada waktu itu, saudara Muhammad Syazmee mengemukakan suatu ‘ijtihad’ yang agak mengejutkan kepada ahli mesyuarat; Pro-Mahasiswa akan menarik diri dari bertanding dalam PRK UM sesi 15/16 dengan hujah-hujah tertentu yang sengaja dibuat-buat agar tampak relevan. Padahal, hakikat sebenarnya ialah, jentera Pro-Mahasiswa sudah terlalu lemah pada masa itu, ditambah pula dengan kekurangan persediaan. Maka, kekalahan dalam PRK UM sudah pun boleh dijangka.

Jadi, daripada membuang masa serta membazir tenaga dan wang ringgit semata-mata untuk menghadapi kekalahan, lebih baik menarik diri terus dari PRK UM dengan mengemukakan alasan yang boleh menyalahkan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaya (HEPA UM) pula, tidak begitu? Di samping itu, Pro-Mahasiswa juga berharap agar dengan pemboikotan mereka dalam PRK UM, para mahasiswa UM akan turut mengikuti jejak langkah mereka dengan memboikot PRK UM, yakni dengan tidak turun mengundi, sekaligus mengurangkan peratusan turun mengundi pada sesi tersebut dan memberikan isyarat kepada pihak HEPA UM bahawa demokrasi di kampus telah ‘mati’.

Walaupun ramai daripada kalangan sahabat dan senior berhujah sambil mempersoalkan dan mempertikaikan justifikasi tersebut, namun pada akhirnya, semua terpaksa akur dengan keputusan asal mesyuarat itu diadakan walaupun aku tahu, sebenarnya ramai saja daripada kalangan rakan-rakan aku yang masih tidak boleh menerima kenyataan separuh masak tersebut.

Sidang media pilihan raya kampus Pro-Mahasiswa Universiti Malaya 2015.

Jadi, pada pagi Jumaat, 11 September 2015, Pro-Mahasiswa UM pun menjalankan sidang media PRK di hadapan DTC UM. Hasil sidang media oleh Pro-Mahasiswa telah menyatakan bahawa Pro-Mahasiswa tidak akan melibatkan diri, yakni memboikot PRK UM sesi 2015/2016 dengan justifikasi seperti berikut:

  1. Pihak HEPA secara terus-menerus mempermainkan sistem pilihan raya kampus.
  2. Hilangnya autonomi kepemimpinan mahasiswa.
  3. Sistem pilihan raya kampus yang tidak telus.

Rujuk kenyataan media yang penuh seperti di bawah:

Keputusan ini telah memberikan bola tanggung kepada jentera Penggerak Mahasiswa untuk terus membantai Pro-Mahasiswa sebagai “bacul” dan memberikan kelebihan kepada mereka untuk memenangi PRK UM dengan sangat mudah. Walhasil, Penggerak Mahasiswa menang besar dengan jumlah 33 daripada 40 buah kerusi, selebihnya dimenangi oleh calon daripada University of Malaya Association of New Youth (UMANY – 马大新青年) (salah satu rakan komponen dalam Pro-Mahasiswa), calon Bebas, dan calon daripada gerakan mahasiswa yang baharu ditubuhkan oleh IKRAMSiswa Universiti Malaya (kini dikenali sebagai Belia Harmoni Pantai Dalam), iaitu HARMONI (kini Mahasiswa Harmoni).

Untuk rekod, buat pertama kalinya dalam sejarah UM, MPPUM sesi 15/16 telah dinakhodai oleh seorang Yang Dipertua (YDP) daripada kalangan mahasiswi yang juga bukan berbangsa Melayu, iaitu saudari Fanitsyara Kam Phon.

Sebagai tambahan, salah seorang daripada calon Bebas yang berjaya menempatkan diri dalam MPPUM sesi 15/16 dengan kemenangan di kerusi umum zon A1 merupakan sahabat aku sendiri yang sangat aku kagumi; saudara Muhammad Shahrulanwar. Pada saat pimpinan Pro-Mahasiswa memutuskan untuk memboikot PRK UM, Shahrulanwar dan teman-teman seperjuangannya dalam kalangan penggerak utama The Thinkers UM – salah sebuah gerakan pembudayaan ilmu di UM – dengan kebanyakan mereka juga merupakan bekas pendukung kuat jentera Pro-Mahasiswa, memilih untuk tidak berbuat demikian. Bahkan, mereka melawan arus dengan masuk bertanding pula. Bukan di peringkat fakulti, malah di kerusi umum terus!

Alhamdulillah, jentera Shahrulanwar berhasil memperoleh kemenangan dengan mencatatkan kutipan undian tertinggi di kerusi umum zon A1 yang merangkumi API, APM, FEP, dan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS), iaitu sebanyak 766 undian, suatu jumlah yang agak tinggi untuk seorang calon yang bertanding atas tiket Bebas. Angka ini juga menunjukkan bahawa seruan Pro-Mahasiswa untuk memobilisasi mahasiswa UM agar tidak turun mengundi bagi mencapai hasrat mereka adalah gagal.

Kemenangan Shahrulanwar diraikan oleh para penyokong dan pendukungnya selepas pengumuman keputusan PRK UM 2015 di DTC.

Walaupun aku tidak bersama-sama dengan jentera beliau secara langsung, tetapi aku cukup berbangga dapat menjadi salah seorang pengundi beliau sehingga memungkinkan kemenangan ini terjadi. Detik kemenangan Shahrulanwar yang amat bermakna ini juga hakikatnya telah menjadi salah satu bibit daripada bibit-bibit tercetusnya kelahiran sebuah gerakan mahasiswa bernafas baharu oleh beliau dan para pendukung pada tahun berikutnya; Neo-Siswa Universiti Malaya.

Percambahan Pelbagai Gerakan Mahasiswa UM Baharu

September 2016.

Pro-Mahasiswa UM secara rasminya dibubarkan setelah hampir sedekad berpencak di arena politik kampus. Itulah kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap Pro-Mahasiswa, saudara Erfan Razeeq yang antara lainnya mengatakan “kini sudah tiba masanya Pro-Mahasiswa dibubarkan atas justifikasi memberikan laluan kepada dinamika politik baru dalam arena politik kampus.”

Aku yang ketika itu sedang berada di Chonnam National University (CNU – 전남대학교), Gwangju, Korea Selatan kerana mengikuti program pertukaran pelajar selama satu semester ke sana memerhatikan dari kejauhan fenomena percambahan pelbagai gerakan mahasiswa UM yang baharu pascapembubaran Pro-Mahasiswa ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Gerakan mahasiswa yang dimaksudkan ialah Mahasiswa Hybrid (kemudian dijenamakan semula sebagai “Neo-Siswa Universiti Malaya”), Angkatan Mahasiswa, dan Demokrat UM.

Neo-Siswa Universiti Malaya.

Antara ketiga-tiga buah gerakan baharu tersebut, Neo-Siswa ternyata telah berjaya menambat hati saya untuk bersama-sama menjadi salah seorang penyokongnya walaupun berada nun jauh di Korea sana. Gagasan “Intelek | Dakwah | Islam sebagai Solusi” yang dibawa oleh Neo-Siswa benar-benar membuatkan aku teruja bahawa inilah gerakan mahasiswa yang paling aku idam-idam dan dambakan untuk aku bergiat aktif sejak pertama kali aku bergelar mahasiswa UM. Hal ini sejajar dengan nama “Neo-Siswa” itu sendiri yang bermatlamatkan pemurnian dan pembaharuan imej mahasiswa agar kembali kepada tugas hakiki seorang mahasiswa itu sendiri, iaitu menuntut ilmu berpaksikan manhaj dan disiplin yang sebenar.

Carta Organisasi Neo-Siswa Universiti Malaya 2016/2017.

Neo-Siswa menembusi medan PRK UM 2016 dengan menghantar seramai empat orang calon sulung; dua orang sebagai calon API iaitu saudara Mohd. Nurhisyam dan saudari Najihah Ismail, manakala dua orang lagi sebagai calon umum zon A1 iaitu saudara Muhammad Shahrulanwar dan saudari Musfirah Norazli.

Penyertaan pertama Neo-Siswa dalam PRK ini memperlihatkan keputusan yang amat memberangsangkan; tiga daripada empat orang calon Neo-Siswa berjaya mendapat tempat dalam MPPUM sesi 16/17, iaitu dengan kemenangan besar Nurhisyam dan Najihah di kerusi API mengalahkan kesemua calon lain daripada HARMONI dan Penggerak Mahasiswa di sana serta kekalnya kemenangan Shahrulanwar di kerusi umum zon A1 dengan jumlah undian yang lebih tinggi berbanding PRK UM 2015.

Walau bagaimanapun, Penggerak Mahasiswa masih berjaya mengekalkan kemenangan sebagai peneraju MPPUM dengan jumlah kerusi yang dimenangi sebanyak 29 buah, diikuti oleh UMANY (5), Neo-Siswa (3), Angkatan Mahasiswa (2), dan Bebas (1).

Kemenangan Hatrik Penggerak

September 2017.

Tahun kedua Neo-Siswa dalam arena PRK UM, Neo-Siswa turun dengan misi untuk mempertahankan kerusi yang telah dimenangi pada sesi lalu di samping ingin menambah dan memperkasakan bilangan ahli Neo-Siswa dalam kabinet MPPUM. Untuk itu, pihak jentera Neo-Siswa telah berkenan menghantar seramai 10 orang calon; lima orang di kerusi umum dan lima orang lagi di peringkat fakulti.

10 orang calon umum dan calon fakulti Neo-Siswa pada PRK UM 2017.

Pada PRK UM 2017 juga, suatu kerjasama baharu telah dibentuk antara Angkatan Mahasiswa, Demokrat, dan UMANY. Orang kata, kerjasama ini dikenali sebagai “PADU” – Pakatan Angkatan, Demokrat, dan UMANY. Wallahu a‘lam, betul atau tidak nama itu, aku tidak pasti. Namun begitu, apa yang pasti ialah, kerjasama antara ketiga-tiga buah gerakan mahasiswa ini telah membentuk suatu persepakatan bersama pada PRK UM tahun tersebut yang dikenali sebagai “Agenda Mahasiswa” dengan sembilan buah agenda bersama.

Agenda Mahasiswa.

Walaupun kerjasama ini dimulakan agak lambat, yakni pada ketika semboyan PRK UM 2017 sudah pun dimulakan, namun harus diakui bahawa langkah ini merupakan bibit-bibit awal kepada pembentukan kerjasama yang lebih tersusun pada tahun berikutnya, yakni dengan penubuhan “Suara Siswa” secara rasmi, dengan hasrat untuk menyambung semula dan meneruskan legasi perjuangan Pro-Mahasiswa terdahulu yang telah berkubur.

Memang semangat Pro-Mahasiswa betul ini!

Di samping itu, PRK UM 2017 juga memperlihatkan jenama HARMONI yang diwujudkan pada tahun 2015 tidak digunakan pada sesi kali ini, bahkan kalau perasan, calon-calon daripada Belia Harmoni ini sama ada bertanding atas tiket Bebas seperti saudari Nur Shazleen di API ataupun bertanding atas tiket gerakan mahasiswa yang lain seperti yang dilakukan oleh saudara Fikri Salmi dalam Demokrat UM (beliau juga pernah bertanding atas tiket Penggerak Mahasiswa sebelum itu) dan saudari Sopiyah Abdul Basith dalam Angkatan Mahasiswa. Cuma, Neo-Siswa sahaja yang belum pernah ditandingi oleh calon Belia Harmoni bak kata Usaid Asmadi pada masa itu, hoho.

Apa yang aku faham daripada kalam Usaid semasa sembang-sembang di UM Sentral pada suatu hari yang agak terik itu ialah, bukan soal gerakan mana yang dianggotai, namun yang penting ialah bagaimana ahli Harmoni berhasil memperoleh pendidikan politik melalui penglibatan dalam gerakan politik mahasiswa yang pelbagai.

Walau apa pun jalan ceritanya, namun pada pengakhirannya, Penggerak Mahasiswa tetap jua mencatatkan kemenangan buat kali ketiga berturut-turut untuk mereka sekali lagi menerajui MPPUM bagi sesi 2017/2018. Penggerak Mahasiswa menguasai 29 buah kerusi, diikuti oleh Neo-Siswa yang walaupun tidak berjaya menambah bilangan kerusi, namun berhasil untuk mengekalkan kemenangan di ketiga-tiga buah kerusi seperti pada tahun sebelumnya, seterusnya Demokrat (3), UMANY (2), Angkatan Mahasiswa (2), dan Bebas (1).

Kemenangan hatrik oleh Penggerak Mahasiswa (2015–2017). Terus Gerak!

Pilihan Raya Kampus UM Pasca-Malaysia Baharu

9 Mei 2018.

Malaysia mencatat suatu sejarah baharu apabila buat pertama kalinya dalam tempoh 61 tahun, tampuk kepemimpinan Kerajaan Malaysia bertukar tangan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) hasil kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu dengan majoriti mudah 113 buah kerusi (121 buah kerusi bersama Parti Warisan Sabah).

Seiring dengan perubahan kerajaan itu, dasar dan polisi pentadbiran kerajaan pusat juga turut banyak mengalami perubahan, tidak terkecuali dalam sektor pendidikan tinggi. Hal ini termasuklah kenyataan media daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diterajui oleh Yang Berhormat (YB) Dr. Maszlee Malik bertarikh 15 September 2018 telah memberikan kebebasan kepada pelajar untuk mengurus pemilihan MPPUM dan mengendalikan PRK secara telus dan bebas mengikut acuan kepemimpinan mereka.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal. Sebaik sahaja kenyataan media tersebut dikeluarkan, maka pihak pentadbiran UM yang juga banyak diterajui oleh muka-muka baharu pun membuka peluang seluas-luasnya kepada para pelajar untuk menganggotai jawatankuasa dan mengendalikan sendiri PRK UM mengikut citarasa pelajar.

Untuk itu, sebuah jawatankuasa yang diberi nama “Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus Universiti Malaya” (University of Malaya Campus Election Committee – UMCEC) pun dibentuk dengan keanggotaan seramai 19 orang ahli jawatankuasa. Bagi melicinkan urusan, maka PRK UM pada semester itu pun ditangguhkan ke semester kedua sesi 2018/2019. Jadi, pihak pengurusan UM telah melantik 11 orang mahasiswa daripada kabinet MPPUM 2017/2018 sebagai “Executive Caretaker” bagi mengambil alih tugas pentadbiran MPPUM 2018/2019 buat sementara waktu.

Executive Caretaker MPPUM 2018/2019.
Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus Universiti Malaya 2019.

Banyak perubahan yang telah dilakukan oleh UMCEC untuk perjalanan PRK UM sesi kali ini. Antaranya ialah tiada lagi undian mengikut zon bagi calon kerusi umum (setiap orang mahasiswa dari setiap fakulti berhak mengundi lapan orang calon umum pilihan masing-masing), kepemimpinan MPPUM berdasarkan penguasaan di kerusi umum dan bukan lagi mengikut jumlah kerusi yang dimenangi, sistem undian diubah daripada e-undi kepada kertas undi, tempat mengundi dipindahkan dari DTC ke fakulti masing-masing, bilangan hari kempen bertambah sehingga seminggu, serta pelbagai lagi perubahan dan pembaharuan lain.

Siapa yang tidak teruja dengan perubahan dan pembaharuan sistem ini, bukan?

Perpecahan Penggerak, Kembalinya Harmoni, dan Kemenangan Suara Siswa

Semester kedua sesi 2018/2019.

Semboyan PRK UM 2019 telah pun berbunyi. Setiap gerakan mahasiswa telah pun bersedia dengan perancangan, gerak kerja, dan misi masing-masing. Namun begitu, apa yang paling menarik perhatian sudah tentulah kisah krisis dan perpecahan dalaman yang melanda Penggerak Mahasiswa sehingga melahirkan gerakan baharu; Pewaris Universiti Malaya.

Perpecahan ini tidak lain dan tidak bukan sudah tentulah dibayangi oleh faktor politik di luar kampus juga, yakni perpecahan Parti Pribumi BERSATU Malaysia (PPBM) daripada induknya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Apatah lagi dengan persepsi yang selalu dimainkan oleh pihak Pro-Mahasiswa sebelum ini iaitu Penggerak sebagai “UMNO Kampus”, ditambah pula dengan pengakuan secara terang-terangan oleh pihak Pewaris sendiri bahawa mereka merupakan gerakan mahasiswa yang prokerajaan – atau lebih spesifiknya – pro-PPBM; seolah-olah mengesahkan bahawa dakwaan tersebut adalah benar.

Kenyataan Media: Penubuhan dan Pengisytiharan Parti Pewaris sebagai Parti Prokerajaan di Universiti Malaya bertarikh 17 Februari 2019.

Atas perpecahan ini, maka Penggerak Mahasiswa dilihat agak lumpuh dalam PRK UM edisi baharu ini. Mereka hanya mampu menurunkan seramai tiga orang calon di peringkat umum daripada lapan kerusi yang dipertandingkan, walhal Pewaris yang baru berpecah dari Penggerak pula mampu menyenaraikan bilangan calon yang lebih ramai, iaitu sebanyak enam orang calon di peringkat umum.

Di samping itu, Suara Siswa sebagai koalisi gerakan mahasiswa baharu di UM dengan membawa gagasan dan semangat perjuangan Pro-Mahasiswa yang dahulu pula dilihat mampu menguasai tampuk kepemimpinan MPPUM pada sesi kali ini. Mereka mempertaruhkan seramai lapan orang calon umum yang lengkap berserta dengan 15 kriteria “Agenda Mahasiswa” mereka; pertambahan sebanyak enam buah lagi agenda berbanding sembilan pada sesi lalu.

Agenda Mahasiswa Suara Siswa.

Bagi pihak Neo-Siswa pula, seramai lima orang calon umum diperkenalkan bagi merebut kerusi umum dan tiga orang calon fakulti dipersembahkan; dua orang di API dan seorang di Fakulti Sains. Apa yang menarik ialah, calon umum daripada Neo-Siswa ini kesemuanya adalah lelaki dan lahir dari rahim API dengan misi utama mereka adalah untuk meneruskan penyuburan dan pembudayaan ilmu di samping meneruskan perjuangan pelaksanaan sistem wakaf di UM.

Selain itu, Mahasiswa Harmoni telah kembali sekali lagi ke arena politik kampus dengan membawa wawasan utama mereka, iaitu “Menuju Kampus Harmoni” serta berusaha membudayakan penerapan “Politik Nilai” dalam pengamalan politik kampus. Mereka menawarkan seramai tiga orang calon umum dan dua orang calon fakulti. Ya, kedua-dua orang calon fakulti tersebut ialah calon di API bagi ‘menawan’ kerusi tersebut daripada Neo-Siswa. Kali terakhir mereka memenangi kerusi di API adalah pada zaman pemboikotan Pro-Mahasiswa dahulu, iaitu pada tahun 2015.

Situasi ini memperlihatkan pertembungan sebanyak lima buah gerakan mahasiswa dalam PRK UM 2019. Walau bagaimanapun, suatu lagi sejarah baharu tercipta apabila buat pertama kalinya dalam tempoh lima tahun, para pengerusi atau perwakilan daripada setiap gerakan mahasiswa ini bisa bertembung dan melakukan silang idea di atas suatu pentas yang sama bagi berbalas hujah dan merancakkan lagi kehangatan musim PRK UM.

Bukan sekali, bahkan dua kali! Kali pertama adalah dalam atur cara “Debat Presiden” anjuran SiswaKini di hadapan DTC pada 27 Februari 2019, manakala kali kedua adalah dalam atur cara “Debat Manifesto” anjuran Kolej Kediaman Tun Ahmad Zaidi (KKTAZ) di Lobi KKTAZ sendiri pada 1 Mac 2019. Atur cara sebeginilah yang perlu lebih diperluas pada masa-masa akan datang agar dakwah dan mesej Islam terutamanya lebih berpeluang untuk disampaikan dan disebarluaskan lagi dengan lebih berkesan.

Debat Presiden: MPPUM Peneraju Perubahan.
Debat Manifesto: Hala Tuju Gerakan Mahasiswa Era Malaysia Baharu.

4 Mac 2019.

Hari pengundian pun tiba. Setiap orang mahasiswa UM sudah pun digalakkan untuk turun menunaikan tanggungjawab dengan mengundi calon pilihan di fakulti masing-masing. Namun begitu, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh UMCEC, peratusan turun mengundi pada PRK UM kali ini dilihat agak kecil berbanding PRK UM pada sesi-sesi yang lalu; hanya sekitar 60% sahaja. Padahal pusat pengundian telah pun diubah ke fakulti masing-masing dan bukan lagi di DTC.

Faktornya? Antara yang dapat aku perhatikan ialah, banyak dalam kalangan rakan-rakanku sedang menjalani latihan industri (LI) atau praktikal pada semester kedua ini. Jadi, menjadi suatu kesukaran bagi mereka yang menjalani LI di tempat yang jauh dari UM untuk hadir ke kampus dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pengundi.

Selain itu, ketika proses pengiraan jumlah pengundian, ada beberapa buah fakulti yang dilihat memakan masa terlalu lama dalam menjalankan proses pengiraan tersebut, bahkan sehingga ada yang terpaksa dilakukan ulang kira. Sudahnya, pengumuman keputusan PRK UM melarat pula sehingga ke waktu sahur. Kasihan kepada para pelajar, pegawai, dan staf kita yang terpaksa bekerja sehingga ke waktu tersebut. Justeru, mungkin UMCEC boleh menjadikan hal ini sebagai sesuatu yang boleh difikirkan dan diambil pengajaran untuk menambah baik mekanisme pengundian pada tahun-tahun yang akan datang.

Walau bagaimanapun, setiap yang bermula pasti ada penamatnya.

Akhirnya, pada awal pagi 5 Mac 2019, UMCEC telah pun selesai mengumumkan keputusan yang amat bersejarah bagi sesi pengendalian PRK sistem baharu ini. Suara Siswa cemerlang dengan membolot kelapan-lapan buah kerusi umum serta memenangi 15 buah lagi kerusi fakulti sama ada menang tanpa bertanding mahupun sebaliknya; menjadikan jumlah kemenangan mereka sebanyak 23 buah kerusi. Penggerak Mahasiswa pula menang di sembilan buah kerusi fakulti, diikuti oleh Neo-Siswa (3) dan Pewaris (3).

Neo-Siswa Terus Unggul di Persada UM

Sebahagian pendukung dan penyokong Neo-Siswa Universiti Malaya 2019.

Walaupun Neo-Siswa tidak berjaya memperoleh sebuah pun kerusi umum pada sesi kali ini, namun keputusan PRK UM 2019 bagi Neo-Siswa tetap boleh dianggap sebagai memberangsangkan; berhasil mencipta kemenangan hatrik di API, berjaya menembusi Fakulti Sains buat pertama kali, seorang calon umum Neo-Siswa berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 teratas, serta empat orang lagi calon umum Neo-Siswa berada dalam kelompok 16 terbaik daripada keseluruhan 25 orang calon umum.

Hal ini menunjukkan bahawa setelah tiga tahun semenjak penubuhan Neo-Siswa di relung API, warga kampus UM secara perlahan-lahan sudah mula boleh merasai kehadiran dan menginginkan gagasan pembaharuan yang konsisten dibawa oleh Neo-Siswa pada setiap tahun. Walau masih banyak lagi tugas keilmuan dan lompong dakwah yang perlu dilangsaikan agar isinya sampai dan bisa dicernakan kepada seluruh masyarakat kampus, hakikatnya, hal ini yang sepatutnya menjadi tonik dan penguat semangat kepada kami agar sentiasa serius dan bersungguh-sungguh bekerja demi meraih keredaan-Nya yang abadi.

Tuntasnya, konsep “Islam sebagai Solusi” yang dijunjung tinggi oleh Neo-Siswa sememangnya merupakan suatu cabaran buat kami para pendukung Neo-Siswa dalam hendak menterjemahkan realitinya ke dalam kehidupan warga kampus, terutama sekali kepada para mahasiswa. Banyak yang akan mempersoalkan. Tidak kurang juga yang berasa syak atau ragu dengan pembawaan ini. “Di mana promahasiswanya? Apa kebajikan yang ingin kau bawa sebenarnya?”

Ya, cabaran inilah yang menjadi ujian kepada kami Neo-Siswa tentang sejauh mana kami yakin dan teguh dalam membawa nama “Islam” itu sendiri. Kami tidak menafikan nilai-nilai Islam dalam mana-mana nama yang lain, namun apa yang ingin Neo-Siswa tonjolkan dan zahirkan ialah perasaan ‘izzah atau bangga itu sendiri terhadap Islam yang menjadi suatu sistem dan cara hidup yang amat lengkap lagi sempurna.

Paksa diri untuk betul-betul belajar dan merealisasikannya. Susah? Ya, tiada apa yang mudah di dunia ini. Namun, tetaplah yakin dan percaya bahawa dalam setiap kesukaran itu pasti ada kemudahan. Allah akan sentiasa bersama-sama dengan hamba-hamba-Nya yang sentiasa beriltizam dalam membantu agama-Nya.

Akhirulkalam, aku tidak putus-putus mahu ungkapkan rasa syukurku ke hadrat Ilahi atas usia yang telah diberikan oleh-Nya kepadaku dalam menggeluti dunia kemahasiswaan ini. Aku sedar, bukan semua orang berpeluang untuk merasai pengalaman dalam empat fasa yang berbeza sepertimana yang aku lalui kini. Maka, pengalaman yang telah aku nikmati ini perlu aku manfaatkan sebaik mungkin dalam proses penambahbaikan nilai diri serta orang-orang di sekeliling yang telah banyak sekali mengajar aku pelbagai perkara. Seinfiniti penghargaan dan terima kasih aku ungkapkan untuk hal itu.

Buat teman-teman dan adik-adik yang aku kasihi di luar sana, ketahuilah, perubahan itu sememangnya memakan masa yang panjang dan perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat. Maka, teruskanlah bersabar dan tetaplah perteguhkan keyakinan kalian. Sentiasalah jadikan azimat dan nasihat orang-orang tua serta para guru sebagai panduan dalam mencorakkan perjalanan dan perancangan kalian.

Benar, mungkin bukan pada zaman aku untuk sempat merasai pembaharuan menyeluruh yang dibawa oleh Neo-Siswa, namun aku sangat yakin dan percaya, Insya-Allah, pada suatu hari nanti, Neo-Siswa pasti akan memegang tampuk kepemimpinan MPPUM dan berhasil menebarkan kerahmatan Islam kepada seluruh warganya. Ya Allah, perkenankanlah!

Yang bakal merindui kalian,
AHMAD MUHAIMIN BIN AHMAD SAFARUDDIN
Mahasiswa Tahun Akhir,
Pengajian Islam dan Teknologi Maklumat,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Sk: Para pendukung dan penyokong Neo-Siswa Universiti Malaya sejak dahulu hingga kini. Maafkan saya, doakan saya, semoga Allah reda.


JazākumuLlāh al-khayr!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s