Tuah dalam Ranah Sains Islam?

Minggu pertama semester kedua sesi 2018/2019 di alma mater, fikiran saya segera melayang kembali terhadap atur cara Diskusi Sains Islam (DSI) anjuran kepemimpinan lajnah jabatan saya sendiri, Program Sains Gunaan dengan Pengajian Islam (SGPI), Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (API UM) yang dilaksanakan secara bersiri pada semester lalu.

Alhamdulillah, saya diizinkan oleh Allah untuk bisa menghadiri kelima-lima siri DSI tersebut walau dijalankan pada lewat petang dan kadang-kadang disulami dengan atmosfera yang seolah-olah ditemani sang cengkerik. Ok, lupakan.

Sebenarnya, tujuan penulisan ini dilakukan pun adalah bagi menunaikan janji saya kepada Presiden Lajnah SGPI, saudari Noor Areefa Ameera pada semester pertama yang lalu bagi menghasilkan penulisan terhadap dapatan daripada program ini. Entah apa yang menyibukkan diri saya sangat semester lepas sehingga tidak tertulis langsung dalam media sosial ini. Orang acah busy kan, ada sajalah alasannya. Uhuk.

Tambahan pula, semangat untuk menulis berkenaan hal ini kembali meletus setelah perasaan yang lain semacam itu hadir usai saya kembali dari atur cara “International Conference on Religion and Science (ICORS) Round Table Discussion: The Ethics of Artificial Intelligence (AI)” anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) semalam (20 Februari 2019).

Berada di celah-celah individu-individu hebat yang berstatus profesor, pensyarah, penyelidik, malah orang-orang kuat IKIM sendiri, ditambah pula dengan syarahan yang mind-blown membuatkan saya berasa seperti salah masuk tempat pula dan tidak layak sepatutnya untuk hadir ke sana. Haha.

(Senarai kertas kerja diskusi meja bulat tersebut boleh dirujuk di sini.)

Apa yang boleh saya simpulkan daripada kedua-dua wacana itu tadi, betapa sebenarnya, keperluan saya dan teman-teman lain yang berada dalam bidang ‘dua alam’ ini, yakni bidang pengajian Islam dan Sains / Teknologi Maklumat (SnT) – dalam konteks UM ialah program SGPI itu sendiri – untuk benar-benar menguasai kedua-dua ranah ini adalah begitu mendesak dan amat perlu dipandang secara serius sekali.

Hal ini demikian kerana, perbincangan yang melibatkan seputar perkembangan SnT di dunia yang begitu drastik sehingga melibatkan persoalan agama dan etika adalah sangat memerlukan khidmat golongan yang boleh kita gelarkan sebagai para agamawan–saintis untuk menerjunkan diri ke dalam lembah perbincangan ini.

Pentingnya perkara ini adalah supaya segala perbincangan yang digerakkan itu benar-benar berada dalam kerangka faham Islam yang sebenar serta menepati pula pandangan alam Islam yang hakiki, ditambah pula dengan keadaan kebanyakan anggota masyarakat zaman ini yang kontang sistem kepercayaan dan nilai kehidupan yang berpaksikan roh Ilahiah, termasuk dalam menanggapi isu-isu SnT.

Contoh yang boleh saya bawa dalam isu AI atau bahasa Melayunya “kecerdasan buatan” yang bertindak balas dan mempunyai kepintaran seperti manusia ini ialah; apakah AI atau mesin boleh menggantikan peranan manusia pada masa akan datang?

Adakah AI boleh dipertanggungjawabkan atau dikenakan tindakan undang-undang untuk setiap perbuatan yang dilakukan?

Adakah AI bisa memahami agama dan boleh menjadi bahan rujukan dalam hal-hal keagamaan seperti para mufti?

Apakah sebenarnya falsafah di sebalik pembikinan AI ini? Adakah kerana sudah tidak percaya lagi kepada Tuhan, atau tiada lagi keyakinan kepada manusia sehingga hendak digantikan dengan mesin, atau bagaimana?

Beberapa misal persoalan seperti di atas itu sepatutnya menyedarkan kita bahawa tanggungjawab fardu kifayah yang maha berat ini, hakikatnya, perlu digalas dengan penuh amanah lagi proaktif bagi membuktikan bahawa Islam sememangnya bersifat syumul serta mempunyai penyelesaian terhadap apa-apa jua permasalahan yang timbul tidak kira masa, tempat, dan ketika.

Untuk hal ini, saya sungguh-sungguh berterima kasih, terutama sekali kepada Pengarah Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS) IKIM, Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen, para pensyarah SGPI yang lain (Dr. Madiha, Dr. Abdul Halim, dan Dr. Asmawati), serta semua pihak berkaitan yang tidak jemu-jemu dalam usaha mereka mengangkat martabat jurusan yang menjambatankan Islam dan Sains serta konsisten mengingatkan kami para pelajar SGPI agar sentiasa tekun mendalami bidang ini.

Insya-Allah, cita-cita untuk membantu agama Allah melalui usaha Sains Islam ini berhasil menjadi kenyataan andai setiap daripada kita berperanan dalam posisi masing-masing dan saling mengingati antara satu sama lain akan matlamat akhir pengajian ilmu, yakni kembali mentauhidkan Allah sebagai Pentadbir sekalian alam dan mengakui kelemahan kita selaku hamba yang sentiasa terikat dengan syariat-Nya.


قَالَ ٱلَّذِى عِندَهُ ۥ عِلۡمٌ۬ مِّنَ ٱلۡكِتَـٰبِ أَنَا۟ ءَاتِيكَ بِهِۦ قَبۡلَ أَن يَرۡتَدَّ إِلَيۡكَ طَرۡفُكَ‌ۚ فَلَمَّا رَءَاهُ مُسۡتَقِرًّا عِندَهُ ۥ قَالَ هَـٰذَا مِن فَضۡلِ رَبِّى لِيَبۡلُوَنِىٓ ءَأَشۡكُرُ أَمۡ أَكۡفُرُ‌ۖ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشۡكُرُ لِنَفۡسِهِۦ‌ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّى غَنِىٌّ۬ كَرِيمٌ۬

“Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan daripada Kitab Allah, ‘aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!’ Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah baginda, ‘ini ialah daripada limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya, dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur, maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur, (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah.’”

[Al-Naml, 27: 40]


Catatan oleh:
AHMAD MUHAIMIN BIN AHMAD SAFARUDDIN
Mahasiswa Tahun Akhir,
Pengajian Islam dan Teknologi Maklumat,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s