Rahmat Turun Pagi Tadi, Ya Allah!

Ramai pula sahabat yang meminta saya berkongsi penulisan ekoran daripada ‘sepucuk’ status WhatsApp saya pagi tadi. Tak ada apa-apa pun status tersebut, cuma temanya berkisarkan perubahan emosi daripada keresahan kepada kelegaan. Insya-Allah, saya tulislah sedikit sebanyak bagi memenuhi hajat mereka.

Malam semalam (10 Oktober 2018), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) telah berjaya menganjurkan “Dialog Menteri 1.0: Rahmatan Lil ‘Alamin di Malaysia” bersama Yang Berhormat (YB) Dato’ Dr. Mujahid bin Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) di Auditorium Kompleks Perdanasiswa (KPS), Universiti Malaya (UM) yang telah dihadiri oleh sekitar 300 orang mahasiswa.

Saya tidak mahu menukilkan intipati-intipati dialog tersebut di sini. Mungkin lebih baik untuk sahabat-sahabat menonton sendiri video penuh dialog tersebut di sini untuk lebih memperoleh maklumat yang mendalam (dibawakan secara khas oleh Media Oren, boh).

Sesi soal jawab seperti dijangka akan berlangsung dengan agak hangat di sebalik kedinginan Auditorium KPS. Sayang sekali, pensyarah yang berkelayakan dari Akademi Pengajian Islam UM (APIUM) tiada pada malam kejadian. Kalau tidak, nescaya soalan-soalan yang ditanyakan pasti akan lebih padu sesuai dengan kearifan dan kepakaran yang dimiliki. Tidak mengapalah.

Selesai program tersebut, timbul kegeraman dan keresahan dalam diri yang saya sendiri tidak mampu untuk ceritakan secara jelas apa sebabnya. Geram dengan jawapan Menterikah, resah dengan pemikirannyakah; semuanya seakan-akan bercampur-baur. Beradu aku malam itu bersulamkan segala perasaan tadi. Aduhai, tak sempat hendak maafkan semua orang sebelum tidur!

Alhamdulillah, pagi tadi, Allah hadirkan sedikit kelegaan dan peleraian kepada kegelisahan yang wujud setelah saya mendengar sendiri ulasan mantap daripada salah seorang pensyarah yang sangat saya kagumi keilmuannya melalui kelas “al-‘Urf wa al-Maṣlaḥah“. Beliau ialah Dr. Ridzwan bin Ahmad, Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, APIUM. Boleh rujuk sini untuk melihat sendiri bidang kepakaran beliau, terutamanya dalam bab Maqāṣid al-Sharī‘ah.

Antara komentar yang dikemukakan oleh beliau adalah seperti yang berikut:

Rahmat Sekalian Alam

Memang betul, kita wajib beriman dengan ayat ke-107 daripada Surah al-Anbiyā’ yang berbunyi: « وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةً۬ لِّلۡعَـٰلَمِينَ » dengan maksudnya, “dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” Sesiapa yang menolak ayat ini, bermakna dia kufurlah sebab telah menolak isi al-Quran.

Walau bagaimanapun, hendak memastikan bahawa rahmat itu benar-benar dapat tersebar ke seluruh pelusuk alam, kena ikut betul-betullah apa yang telah diajarkan oleh Nabi SAW. Bagaimana hendak beroleh rahmat kalau apa yang disuruh oleh Nabi dan apa yang ditegah oleh baginda tidak dilaksanakan sepenuhnya – atau dengan erti kata yang mudah – tidak berusaha menjalankan Sharī‘ah Islāmiyyah yang sebenar?

Kepentingan Umum vs Kepentingan Khusus

Kes serbu khalwat oleh penguat kuasa agama. Antara hujah yang selalu dikemukakan oleh golongan antiserbu ini adalah dengan membawakan kisah Saidina ‘Umar RA dan peminum arak serta kaitannya dengan petikan ayat al-Quran [al-Ḥujurāt, 49: 12] yang berbunyi: « …وَلَا تَجَسَّسُوا… » dengan maksudnya, “…dan janganlah kalian mengintip (mencari-cari) keburukan orang…

Menurut Dr., kisah Saidina ‘Umar seperti yang disebutkan tadi ialah kes-kes terpencil. Orang kita suka benar mengambil kes-kes yang terpencil untuk diaplikasikan ke dalam konsep kemasyarakatan yang besar dan luas. Contoh kes terpencil yang lain adalah seperti pendapat Ibn Taymiyyah berkaitan dengan menasabkan anak tidak sah taraf kepada bapa kandungnya. Malangnya, ada dalam kalangan agamawan kita yang mengambil pendapat kes terpencil tersebut tetapi mengabaikan pendapat jumhur lain yang lebih kuat.

Selain itu, kesilapan kita juga ialah suka sangat memberikan fokus terhadap maṣlaḥah khāṣṣah (kepentingan khusus) berbanding maṣlaḥah ‘āmmah (kepentingan umum). Dalam isu ops khalwat ini, pihak berkuasa agama tentunya sudah menilai dari setiap sudut kenapa operasi ini sangat perlu dijalankan (dapat laporan daripada pihak yang dipercayai dan sebagainya), dan antara yang sangat diberikan perhatian adalah untuk “ḥifẓ al-nasl” (memelihara keturunan), salah satu komponen Maqāṣid al-Sharī‘ah itu sendiri. Bukannya semberono boleh intip dan serbu premis orang sesuka hati kerana hal tersebut memang berdosa pun.

Dosa zina adalah berbeza daripada dosa meminum arak, kerana dosa zina melibatkan kepentingan umum masyarakat Islam di Malaysia, iaitu dari sudut hendak memelihara institusi kekeluargaan, menjaga kesucian keturunan, dan sebagainya; sedangkan dosa arak pula skopnya lebih ke atas diri sendiri sahaja dan tidak melibatkan orang awam secara keseluruhan.

Tidak semua hal yang berkaitan pencegahan kemungkaran perlu dilaksanakan melalui pendidikan sahaja. Ada dalam kalangan manusia ini perlu dicegah dan dikawal dengan undang-undang supaya tidak menjadi ancaman kepada keselamatan orang lain. Justeru, pendekatan undang-undang juga perlu dalam membendung dan menyekat kemungkaran daripada terus menjadi virus kepada masyarakat.

Persoalannya, sejauh mana keseriusan kerajaan dalam menjalankan nahi mungkar melalui proses undang-undang? Ini tak habis-habis berbicara soal Tatacara Pengendalian Piawai (SOP), kemudian SOP lagi dan lagi… Tak mengapalah kalau hendak kaji semula SOP itu, tetapi jangan sampai SOP yang sehingga satu tahap, tidak membenarkan langsung penyerbuan dibuat!

Sila Amanah dengan Ilmu!

Al-Fāḍil Dr. ada bertanya kami, siapa tokoh Mujtahid Muṭlaq yang boleh mengasaskan mazhab sendiri daripada kalangan muḥaddithīn? Tiada, bukan? Kalau kita lihat tokoh-tokoh Hadith seperti al-Imām al-Bukhārī, Muslim, Abū Dāwūd, dan lain-lain; kesemuanya bermazhab. Kenapa?

Hal ini demikian kerana, walaupun seseorang itu memang benar-benar berkepakaran dalam bidang Hadith, namun bukan sewenang-wenangnya dia boleh menghasilkan sendiri hukum melalui hadith-hadith yang dimilikinya tadi. Kena belajar metode pula bagaimana ingin mengistinbat hukum, dan perkara ini tidak dapat tidak kena kuasai dahulu Uṣūl al-Fiqh.

Sebab itu kalau kita lihat, ulama fuqahā’ secara automatik akan boleh menguasai juga bidang lain seperti Hadith kerana mereka sudah mengenali metodologi atau manhaj dalam penentuan sesuatu hukum. Mereka yang sekarang ini suka sangat bercakap dalam soal hukum dan Maqāṣid al-Sharī‘ah kebanyakannya bukan reti pun bab maqasid ini, kata Doktorlah.

Tidak kiralah menterikah, muftikah; kalau tidak pakar dalam bidang Fiqah, terutamanya fiqah yang bersesuaian dengan wāqi‘ (realiti) Malaysia dan bukan negara luar, sila amanah dengan ilmu dan sila rujuk mereka yang berautoriti lagi berkepakaran dalam bidang tersebut seperti Ustaz Dr. sendiri. Ustaz bukan mahu ego, tapi memang bidang kajian Ustaz, termasuk ijazah kedoktoran falsafah (PhD) beliau sendiri adalah berkaitan dengan Maqāṣid al-Sharī‘ah.

Tetapi, hendak buat macam mana, bukan? Orang-orang yang pakar tidak dirujuk, tak boleh nak buat apalah…

(Saya lantas teringat akan soalan saudara Ahmad Azizi bin Aziz semalam kepada YB Menteri, ulama manalah yang dirujuk oleh YB Menteri untuk menjalankan gagasan “Raḥmatan li al-‘Ālamīn” ini sehingga menampakkan rahmat hanya kepada pihak minoriti atau khusus, bukan rahmat kepada majoriti atau umum.)


WaLlāhu a‘lam. Semoga Allah sentiasa memberikan hidayah-Nya kepada kita, amin.


Catatan oleh:
AHMAD MUHAIMIN BIN AHMAD SAFARUDDIN
Mahasiswa Tahun Akhir,
Pengajian Islam dan Teknologi Maklumat,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s