Apabila Agamawan Dihentam

Harus diakui, golongan agamawan (ulama, tok guru, mufti, imam, ustaz, dan sebagainya) pada masa ini sesungguhnya menghadapi cabaran yang maha hebat.

Bukan sekadar cabaran dalam usaha membaiki kerosakan yang kian menguncup dalam kalangan masyarakat, bahkan cabaran dalam menangkis tanggapan buruk masyarakat juga terhadap golongan yang membawa atau memakai gelar agama. Masyarakat pula saban hari disuap dan dilemparkan oleh media dengan pelbagai tuduhan dan persepsi jahat yang mesti hendak dikaitkan dengan golongan agamawan itu tadi. Apa saja jenis kesalahan daripada sekecil-kecil perkara, pasti akan diusahakan juga untuk diperbesar-besarkan.

Lihat sajalah ketika musim drama bersiri Nur yang menjadi tular tempoh hari, mahu tak tepuk tangan golongan pembenci agama atau mereka yang pesimis terhadap agamawan atas salah laku yang ditonjolkan dalam babak-babak drama tersebut. “Inilah ustaz-ustaz zaman sekarang, bukan boleh percaya. Dasar penunggang agama!” Demikianlah mafhum kata-kata mereka.

Terkini, filem pecah panggung Munafik 2 sedang hangat dibicarakan. Sepertimana kalam Ustaz Adam dalam filem ini, “golongan yang dibenci oleh Allah ialah ulama yang tidak amanah dengan ilmunya,” seperti itu jualah tema utama perjalanan filem ini; menonjolkan sisi buruk manusia yang bertopengkan agama untuk kepentingan peribadi.

Tidaklah saya menafikan bahawa memang wujud golongan agamawan seperti ini (menjual ayat-ayat Allah) untuk keuntungan dunia, bahkan asbab kemunculan mereka inilah yang telah merosakkan nama baik Islam dan mencemarkan tugas-tugas suci pendukung agama yang lain. Namun begitu, janganlah disebabkan oleh nila setitik, habis rosak susu sebelanga.

Pasukan-pasukan pembenci golongan agamawan ini bukan boleh langsung diberikan peluang. Timbul saja cacat cela dalam kalangan agamawan, hah, apa lagi, satu dunia mahu dicanangkan. Yang penting, reputasi agamawan akan rosak teruk dan keyakinan masyarakat terhadap golongan agamawan akan terhakis. Sedikit demi sedikit jarum-jarum halus untuk memisahkan agama dari kehidupan akan terus dicucuk-cucuk agar masyarakat akan terus memandang hina dan jijik.

Lalu, berterusanlah tuduhan-tuduhan semberono yang sejak dari dahulu entah bila akan menemui penamatnya. Dikatakan, majlis agama Islam hanya pandai mengutip wang zakat, namun menyalahgunakan wang zakat tersebut untuk kepentingan lain. Walhal, mungkin yang menuduh itu bukannya pernah terlibat secara langsung pun dengan institusi zakat dan tidak pernah ambil tahu pun bagaimana institusi zakat melakukan tugas-tugas mereka.

Dikatakan lagi, masjid-masjid yang menerima wang derma dan sedekah daripada jemaah hanya tahu menggunakan wang tersebut untuk membeli televisyen paparan hablur cecair (LCD) bersaiz inci gedabak, menambah bilangan pendingin hawa, dan seumpamanya. Walhal, mungkin mereka tidak terlibat pun dalam menjadi salah seorang jawatankuasa masjid. Entah-entah, masjid pun hanya reti untuk dijejaki semasa solat Jumaat sahaja.

Baiklah, cukuplah saya berleter sampai di sini sahaja dahulu, nanti panjang sangat melalut pula. Cuma, saya sangat berharap agar Tuan Syamsul Yusof selaku sutradara terbaik Asia Pasifik dan penulis skrip filem Munafik, disebabkan Munafik 2 telah banyak ditonjolkan sisi-sisi buruk mereka yang mempergunakan agama untuk kepentingan peribadi, apa kata untuk trilogi Munafik 3 nanti, tuan dapat ketengahkan atau fokuskan pula perjuangan golongan agamawan yang benar-benar ikhlas dan tulus dalam kerja-kerja agama mereka dengan lebih serius.

Harapannya, masyarakat perlu lebih sedar bahawa di luar sana, tanggungjawab untuk meninggikan kalimah tauhid adalah sangat berat lagi sukar, bukan saja dalam menghadapi tentangan dari luar, bahkan musuh dalam selimut juga. Golongan agamawan harus perlu sentiasa diberikan sokongan dan dukungan dalam menggalas amanah yang maha berat ini, bukan terus-menerus diperlekehkan.

Bukankah ada suatu dialog daripada Ustaz Adam yang berbunyi seperti berikut:

“Sesiapa yang tak rasa, tak ‘kan faham dengan perjuangan kita, Azman. Tak ‘kan faham…”

Serius, saya sangat terkesan lagi terharu dengan ucapan sebegitu.

Apa-apa pun, tahniah untuk semua kru dan produksi filem Munafik 2! Semoga Allah sentiasa memberkati dan mempermudah gerak kerja kalian dalam usaha menyebarkan mesej-mesej Islam melalui persembahan lakon layar.

Sīrū ‘alā barakatilLāh!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s