Pentingnya Manhaj yang Tulen!

Beberapa detik sebelum sepak mula perlawanan pertama Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2018, sempena malam Hari Raya Fitrah yang penuh berbahagia, izinkan saya mengambil sedikit masa sahabat-handai dengan coretan yang serba kekurangan ini.

Alhamdulillah, sore 16 Ramadan 1439 bersamaan 1 Jun 2018 yang hening itu, pihak jawatankuasa (JK) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) telah berhasil menjalankan sebuah pengisian petang hari bertemakan “Iftar @ Conclusion of Discussions (COD)” di surau APIUM.

Majlis ini diadakan khusus sebagai penutupan kepada keseluruhan program diskusi yang telah dianjurkan oleh pihak JK MPP APIUM sendiri sebagai suatu wadah bagi menghidupkan pembudayaan ilmu di APIUM. Diskusi-diskusi yang berlangsung sepanjang minggu kuliah tersebut ialah Diskusi Miṣbāḥ al-Munīr (DMM) pada setiap Isnin malam, Diskusi Metodologi Muḥaddithīn dan Fuqahā’ (DMF) pada setiap Rabu petang, dan Diskusi Kubrā al-Yaqīniyyāt (DKY) pada setiap Khamis malam.

Jemputan pada petang itu merupakan seorang pensyarah yang sangat berwibawa dari Jabatan Syariah dan Ekonomi (JSE) APIUM, iaitu al-Fāḍil Ustaz Dr. Mohd Shahid bin Mohd Noh yang juga merupakan graduan Universiti al-Azhar, Kaherah dalam bidang Qiraat.

Ustaz memulakan taujihat pada waktu yang penuh keberkatan itu, yakni waktu sebelum sungkai dengan menimbulkan persoalan; mengapakah senarai kitab seperti kitab Misbāḥ al-Munīr dan Kubrā al-Yaqīniyyāt dipilih menjadi bahan diskusi? Hal ini demikian kerana kesemua kitab tersebut memiliki manhajnya yang tersendiri – atau lebih tepat lagi – manhaj Ashā‘irah yang tulen.

Manhaj atau metodologi dalam erti kata yang mudah ialah suatu disiplin ilmu atau kaedah ilmiah yang digunakan untuk menghasilkan kesimpulan atau untuk membuktikan kebenaran suatu maklumat. Contoh yang dibawa oleh ustaz adalah seperti kisah al-Imām al-Rāzī. Bagi melawan (radd) kebatilan ilmu sihir, beliau bukanlah mempelajari ilmu sihir tersebut, tetapi mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan dengan sihir terlebih dahulu semata-mata untuk memastikan manhaj atau disiplin ilmu dipatuhi.

Nah, kalaulah bagi melawan ilmu yang salah di sisi Islam pun memerlukan manhaj yang tepat, apatah lagi dalam bidang pengajian agama Islam, tentulah lebih-lebih lagi memerlukan penuntutnya untuk mengikuti manhaj yang benar lagi sahih! Jangan pernah sesekali bermain-main dengan terma “rasa-rasa” atau “agak-agak” sahaja, terutamanya dalam bab akidah atau usul agama.

Antara kupasan umum ustaz berkaitan kitab Kubrā al-Yaqīniyyāt yang dikarang oleh al-Shaykh Dr. Muḥammad Sa‘īd Ramaḍān al-Būṭī ialah, kitab tersebut mengandungi manhaj yang sangat besar nilainya di sisi agama, iaitu:

إِنْ كُنْتَ نَاقِلًا فَالصِّحَّةُ أَوْ مُدْعِيًا فَالدَّلِيْلُ
“Kalau kamu memindahkan perkataan, cari yang sahih. Kalau kamu mendakwa, datangkan bukti.”

Inilah adab yang diajar oleh ulama kita apabila berbahas atau berdebat dalam sesuatu perkara.

Kedua-dua perkara inilah jikalau diperhatikan, semakin terhakis nilai-nilainya pada zaman ini. Kebanyakan orang suka berkata-kata, menulis, atau berkongsi perkara yang dia sendiri tidak pasti status kebenarannya. Tambahan pula, dewasa ini, semakin ramai pula yang menuduh atau mendakwa seseorang itu bersalah dengan melakukan sekian-sekian, namun orang yang didakwa itu pula yang diminta untuk mendatangkan bukti jika mahu mempertahankan dirinya sebagai tidak bersalah.

Inilah akibatnya apabila manhaj yang sahih telah diketepikan daripada menjadi pengamalan masyarakat kini. Dialog atau perdebatan (munāẓarah) masa ini pula hanya berlegar di sekitar perbalahan atau pergaduhan, bukan lagi kembali kepada tujuan yang hakiki, yakni mencari kebenaran.

Maka, menjadi tugas yang berat dan besar di atas setiap pundak kita untuk konsisten dalam jalan dakwah secara ilmiah kepada segenap lapisan masyarakat, hatta kepada pemimpin negara atau kerajaan sekalipun. Hal inilah yang dididik oleh ulama seperti Shaykh Ramaḍān al-Būṭī kepada kita untuk mengamalkannya. Sentiasalah sematkan cita-cita dalam diri untuk mati sama ada sebagai pengajar mahupun penuntut ilmu, Insya-Allah.

Di samping itu, al-Fāḍil ustaz juga menyebut bahawa bidang fiqah atau perundangan terbahagi kepada tiga buah manhaj, iaitu:

  • Manhaj al-Madhhabī. Antara pembawanya ialah Imam Mazhab yang empat – al-Imām Abū Ḥanīfah, Mālik bin Anas, al-Shāfi‘ī, dan Aḥmad ibn Ḥanbal.
  • Manhaj al-Salafī. Antara perintisnya ialah al-Imām Taqī al-Dīn ibn Taymiyyah.
  • Manhaj al-Taysīrī. Antara pendukungnya ialah al-Shaykh Dr. Yūsuf al-Qaraḍāwī.

Daripada ketiga-tiga buah manhaj ini, manhaj al-Madhhabī ialah manhaj yang dianggap paling stabil. Hal ini demikian kerana, mazhab telah terbina melalui istinbāṭ hukum dengan penuh parameter perundangan serta berasaskan kaedah-kaedah uṣūl al-fiqh.

Maka, janganlah mendabik dada dengan mengatakan bahawa kita hanya perlu mengikuti al-Qur’ān dan al-Ḥadīth sahaja tanpa perlu merujuk kepada mazhab. Walhal sebetulnya, andalah yang perlu membetulkan akal anda terlebih dahulu kerana tidak memahami fungsi sebenar manhaj dan mazhab dalam memandu umat Islam agar sentiasa teratur dan benar dalam menghambakan diri kepada Allah serta menjalani setiap urusan kehidupan.

Sebagai penutup bicara pada petang itu, Ustaz Dr. Shahid membawakan kalam seorang ulama dari Qatar, Shaykh ‘Alī al-Qaradāghī, “dengan memahami manhaj para ulama terdahulu, 80% masalah moden pada hari ini dapat diselesaikan.”

Tahniah dan terima kasih banyak kepada pihak JK MPP APIUM atas penganjuran majlis ilmu sebegini. Insya-Allah, moga-moga program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa mendatang. Semoga kita juga terus bersemangat dalam mendalami ilmu Islam dan ilmu-ilmu selainnya berasaskan manhaj yang benar lagi sahih!

« تقبل الله منا ومنكم صالح الأعمال »


Catatan oleh:
Ahmad Muhaimin bin Ahmad Safaruddin

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s