Coretan #AkuDanPMA

Bercakap mengenai Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM), aku mula mengenali persatuan fakulti ini ketika aku berada dalam tahun pertama Asasi Pengajian Islam dan Sains (APIdS) sekitar tahun 2013 di APIUM Nilam Puri, Kelantan Darul Naim.

Ketika itu, aku berhasil menemui akaun Facebook peribadi milik Yang Dipertua (YDP) PMAPIUM pada masa itu, iaitu saudara Muhammad Syakirin Yuslan selepas perbualan bersama salah seorang pensyarah APIUM Nilam Puri pada suatu malam yang berbicara perihal keperibadian beliau.

Disebabkan aku sungguh berkeinginan untuk lebih mengenali susuk tubuh peneraju kepemimpinan persatuan yang menjadi denyut nadi APIUM itu, maka aku pun berbesar hati bagi menambah beliau sebagai salah seorang yang bertuah untuk berada dalam senarai kenalan Facebook aku walaupun aku sedar, beliau tidak pun mengetahui siapa diri aku. Entah mamat mana yang tiba-tiba add beliau di Facebook ini, heh.


Hari demi hari berlalu.

Aku pun memasuki tahun kedua pengajian APIdS di Pusat Asasi Sains UM (PASUM) pada pertengahan tahun 2014. Sekitar tempoh itu juga, PMAPIUM menyaksikan perubahan tampuk kepemimpinan yang baharu dengan saudara Sulaiman Arsad terpilih sebagai YDP PMAPIUM bagi sesi 2014/2015. Lantas, jari saya terus saja bersemangat menekan butang ‘add friend‘ pada akaun Facebook beliau agar beliau juga berjaya dijadikan sebagai salah seorang ‘mangsa’ yang berada dalam senarai kenalan Facebook aku.

Maafkan daku wahai tuan mantan YDP, aku ini memang jenis seorang yang gemar menambah figura-figura terkenal dalam laman sosial ini. Pandangan aku, kalau kita berjaya menambah para figura yang hebat dan mengikuti setiap butir kata atau idea yang dilontarkan oleh mereka dalam Facebook ini, maka kita sebagai salah seorang pengikut atau follower juga secara tidak langsung bakal terkena tempias pengetahuan dan ilmu-ilmu mereka yang hebat jua. Allahu.

Pada tahun kedua APIdS itu juga, aku mula dijodohkan dengan Kuliah Tafaqquh Fiddin (KTF) buat pertama kali selepas mata aku tertancap pada sehelai poster yang tertampal pada sebuah papan kenyataan di dinding batu bangunan APIUM. Aku masih ingat lagi pada suatu petang yang hening itu, aku bersama-sama sahabat baik zaman asasi, saudara Muhammad Rofiq yang tidak pasti hendak melakukan aktiviti apa pada waktu itu, memasuki KTF di Bilik Seminar (BS) 24 dengan pensyarah yang memberikan pengisian berkaitan hadith pada hari itu ialah al-Fadil Ustaz Dzulkhairi Mohd Noor.

Berada di dalam bilik seminar dengan dikelilingi oleh pelajar-pelajar sarjana muda APIUM yang mantap belaka, termasuk mantan naqib aku yang tercinta, saudara Mohd Saifuddin membuatkan aku berasa sungguh hina dan rendah diri. Yalah, aku budak asasi, tapi masuk kelas yang penuntutnya ialah pelajar-pelajar degree. Ditambah pula dengan perkongsian ustaz yang sungguh mengagumkan membuatkan aku terasa begitu dahaga untuk terus mencedok ilmu agama buat bekalan kehidupan yang fana ini.


Masa terus pantas berlalu.

Tahun 2015, aku kini bergelar seorang mahasiswa tahun pertama Sarjana Muda Pengajian Islam dan Teknologi Maklumat (SMPITM) UM. Kali ini, perasaan teruja aku begitu membuak-buak kerana aku akhirnya dapat mengikuti secara rapat setiap aktiviti dan program yang telah diaturkan oleh PMAPIUM buat faedah warga APIUM secara keseluruhannya.

Kalau dahulu semasa zaman asasi, pergerakan aku untuk ke APIUM agak terhad asbab terikat dengan komitmen dan jadual sebagai salah seorang pelajar asasi, kali ini aku perlu memanfaatkan peluang sebagai pelajar sarjana muda di APIUM ini sebaik mungkin.

Kepemimpinan PMAPIUM sesi 2015/2016 yang dinakhodai oleh saudara Erfan Razeeq Ahmad Mohni menyaksikan aku buat pertama kali terlibat secara tidak langsung dalam agenda merancakkan pembudayaan ilmu di APIUM, khususnya bawah Exco Multimedia & Publisiti yang dikepalai oleh saudara Ali Mukhtar pada ketika itu. Bersama-sama PMAPIUM, aku banyak belajar perkara baharu, terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan kepemimpinan, pengurusan organisasi, dan peningkatan daya keintelektualan aku sebagai seorang mahasiswa APIUM.

Jauh di sudut hati, aku melahirkan kekaguman yang sungguh tidak berbelah bahagi terhadap setiap anggota yang menerajui kepemimpinan PMAPIUM ini. Aku pun tidak pasti adakah aku mampu melakukan kegiatan-kegiatan semantap mereka seandainya aku berada dalam saf kepemimpinan PMAPIUM yang utama.


Sesi 2016/2017.

Usia aku sebagai mahasiswa tahun kedua SMPITM UM sudah hampir tiba ke penghujung. Bahtera pemerintahan PMAPIUM sesi 2016/2017 yang diterajui oleh saudara Amir Muzaffar Abdul Halim juga kian berlabuh ke destinasinya.

Sejujurnya, aku sebenarnya berasa agak sedih dan terkilan memandangkan aku hanya sempat merasai kepemimpinan saudara Amir selama satu semester sahaja disebabkan pada semester lepas, aku mengikuti program pertukaran pelajar ke Chonnam National University, Gwangju, Korea Selatan. Namun begitu, tahap penghormatan dan kekaguman aku terhadap sahabat-sahabat yang menjadi penggerak terhadap persatuan ini tetap tidak berkurang, malah makin meningkat pula.

Sesungguhnya aku tahu, setiap daripada mereka, kesemuanya telah melakukan yang terbaik demi penerusan agenda pembudayaan ilmu dan pembangunan sahsiah yang hakiki, khususnya dalam kalangan mahasiswa APIUM. Aku sedar, aku tidak mampu melakukan hal sebaik itu seperti mereka. Oleh kerana itulah, aku tidak berani untuk menjalani sesi temu duga pencarian ahli-ahli jawatankuasa baharu PMAPIUM bagi sesi 2017/2018. Aku sedar akan kekurangan aku. Mohon maaf ya wahai sahabat-sahabatku yang budiman, huhu.

Terima kasih daripadaku untukmu wahai PMAPIUM! Insya-Allah, moga-moga kalian terus berobor dalam memberikan sinar inspirasi dan pencerahan buat warga APIUM secara khasnya dan seluruh warga UM secara amnya.


Catatan oleh:
AHMAD MUHAIMIN BIN AHMAD SAFARUDDIN
Mahasiswa Biasa,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

#AkuDanPMA
#30thAnniversary
#KeranaKitaSatuKeluarga

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s