Sinergi Dai: Kekuatan Menghadapi Cabaran

Pertemuan siri keempat bagi Madrasah Gen-Q kali ini bukan seperti pertemuan biasa-biasa. Pertemuan seperti itu dianggap oleh Dr. Azmil bin Zainal Abidin, Pensyarah di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (API UM) sebagai sebuah ‘usrah.’

Usrah, seperti yang disebut oleh Dr. Azmil, terkandung padanya sebuah keperluan untuk melengkap atau menyempurnakan pembelajaran yang mungkin tidak boleh didapati di dalam kelas mahupun kuliah formal.

Pertemuan-pertemuan usrah seperti ini sepatutnya jua melahirkan bukan seorang yang biasa-biasa, bahkan mampu melahirkan seorang yang matang, baik dari segi keilmuan mahupun cara fikirnya.

Untuk itu, Dr. Azmil telah mengemukakan dua buah tuntutan kepada kami selaku seorang pelajar Muslim terhadap agama Islam yang tercinta bersumberkan kitab “Mādhā Ya‘nī Intimā’ī li al-Islām” (Apa Ertinya Saya Menganut Islam) karangan Shaykh Dr. Fatḥī Yakan:

1- الحياة بالإسلام (Hidup dengan Islam)

Hidup dengan Islam dengan maksud, kita mesti benar-benar menyerahkan diri dan hidup kita sepenuhnya kepada agama Islam. Firman Allah SWT dalam al-Quran:

وَمَن يَرْغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبْرَٰهِۦمَ إِلَّا مَن سَفِهَ نَفْسَهُۥ ۚ وَلَقَدِ ٱصْطَفَيْنَٰهُ فِى ٱلدُّنْيَا ۖ وَإِنَّهُۥ فِى ٱلْءَاخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّلِحِينَ ﴿١٣٠﴾ إِذْ قَالَ لَهُۥ رَبُّهُۥٓ أَسْلِمْ ۖ قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ ﴿١٣١﴾؅؅

“Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain daripada orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi Nabi) di dunia ini, dan sesungguhnya baginda pada hari akhirat kelak tetaplah terdiri daripada orang-orang yang soleh (yang tertinggi martabatnya).”

“(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya, ‘berserah dirilah (kepada-Ku wahai Ibrahim)!’ Nabi Ibrahim menjawab, ‘aku berserah diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan Mentadbir sekalian alam.’”

[Al-Baqarah, 2: 130–131]

Oleh hal yang demikian, bagi merealisasikan tuntutan hidup dengan Islam ini, maka sistem kepercayaan, cara fikir, dan pandangan alam kita perlu selaras dengan kehendak Islam. Selain itu, urus tadbir kehidupan kita juga perlu selaras dengan sistem kepercayaan hidup yang telah kita bina tadi, seterusnya membawa kepada pembersihan hati dan penyucian jiwa.

Dengan kelengkapan ketiga-tiga konsep ini, maka akan lahirlah seorang Muslim yang sempurna dengan sejahtera dari sudut akidahnya, sahih dari sudut ibadahnya, serta suci pula dari sudut jiwanya.

2- الحياة للإسلام (Hidup demi dan untuk Islam)

Tidak cukup sekadar memastikan hidup kita menepati landasan Islam yang sebenar, kita juga hendaklah menjadikan hidup ini segala-galanya untuk Islam. Kerana kecintaan kita terhadap Islam dan menjadikan Islam sebagai tujuan hidup, maka segala perbuatan, kelakuan, dan tingkah laku kita semuanya terarah ke arah pemartabatan syiar Islam selaku agama yang tertinggi lagi diredai.

Namun begitu, dalam menjadikan hidup demi Islam ini suatu yang realiti, maka tidak boleh tidak, kita perlulah menjalani kehidupan ini secara berjemaah. Mana mungkin agama Islam ini boleh tertegak secara individu sahaja tanpa ada kesatuan daripada umatnya.

Bukankah dalam jemaah itu, terdapat konsep yang saling berkait, iaitu “qiyādī” (kepemimpinan) dan “jundī” (tentera / anak buah / penggerak)?

Firman Allah SWT dalam al-Quran:

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَ فِى سَبِيلِهِۦ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنْيَٰنٌ مَّرْصُوصٌ ﴿٤﴾؅

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

[Al-Ṣaff, 61: 4]

Namun begitu, perlu diingat bahawa dalam memilih kepercayaan dan pegangan hidup, kita perlu ada sikap cerewet dalam melakukan hal sedemikian. Silap hari bulan, sekali kita tersilap dalam membuat pilihan, maka seumur hiduplah kita akan kekal dalam kegiatan yang sia-sia sebagai akibat terlibat dalam perjuangan hidup yang memiliki sistem kepercayaan yang salah lagi tersasar.

Oleh kerana itulah, menjadi tanggungjawab yang maha berat ke atas kita untuk mencari guru dan jemaah yang benar-benar murshid berpandukan neraca dan pertimbangan ilmu yang ḥaq supaya kelak, hidup kita kekal dan tetap berada di atas jalan yang ḥaq jua.


Siri keempat Madrasah Gen-Q diteruskan lagi dengan Dr. Azmil menyenaraikan lima buah perkara yang perlu diambil cakna dalam memperkemas cara hidup kita untuk Islam:

1. Mesti tahu dan faham akan tujuan hidup

Allah telah menyebut melalui firman-Nya dalam Surah al-Dhāriyāt, surah ke-51 pada ayat ke-56 dan 57 mengenai tujuan penciptaan jin dan manusia di atas dunia ini:

وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ﴿٥٦﴾؅ مَآ أُرِيدُ مِنْهُم مِّن رِّزْقٍ وَمَآ أُرِيدُ أَن يُطْعِمُونِ ﴿٥٧﴾؅

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku.”

Jika kita menelusuri makna ayat di atas, sebenarnya suruhan agar kita menyembah Tuhan ini adalah supaya manfaat daripada pengabdian tersebut kembali kepada kita selaku hamba, bukan kepada Tuhan.

Tuhan tidak memperoleh sebarang manfaat atau mudarat pun jika hamba-hamba-Nya melakukan pengabdian atau tidak melakukan sedemikian. Bahkan, kitalah yang bakal memperoleh manfaat jika kita melakukan ibadah dan menempah mudarat jika kita meninggalkan ibadah.

Oleh kerana itulah, kalau diteliti secara lebih mendalam, banyak sebenarnya ‘hutang’ kita dalam hidup terhadap Allah yang perlu dilangsaikan asbab terlalu melimpah dan banyaknya kenikmatan yang telah kita perolehi daripada-Nya sehingga ke saat ini. Bahkan, semata-mata kita diwujudkan oleh Allah ini pun sudah dikira sebagai suatu hutang.

Justeru, kita patut berasa terhutang budi kepada Allah dengan mencelikkan akal kita akan tujuan dan matlamat sebenar penghidupan di atas muka Bumi berdasarkan ayat tadi. Tidakkah kita berasa malu kepada Allah seandainya kita masih alpa dan leka dalam memaknai hakikat ini?

2. Mesti tahu akan nilai akhirat berbanding nilai dunia

Selaku seorang Mukmin, kita hendaklah memandang dunia sebagai sebuah kesempatan, bukan sebagai suatu matlamat. Jadikan dunia sebagai ladang untuk kita bercucuk tanam agar hasilnya boleh kita tuai pada hari kita dibangkitkan semula nanti. Allah menjelaskan hal ini dalam Surah al-Baqarah, surah kedua pada ayat ke-28:

كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِٱللَّهِ وَكُنتُمْ أَمْوَٰتًا فَأَحْيَٰكُمْ ۖ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ ﴿٢٨﴾؅

“Bagaimana kalian tergamak kufur (mengingkari) Allah, padahal kalian dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kalian; setelah itu Ia mematikan kalian, kemudian Ia menghidupkan kalian pula (pada hari akhirat); akhirnya kalian dikembalikan kepada-Nya (untuk diberi balasan bagi segala yang kalian kerjakan).”

Dunia ini merupakan daerah amal, sedang akhirat pula ialah daerah perhitungan. Maka, gunakan kesempatan yang ada ini sebaik mungkin kerana masa yang kita ada ibarat sebuah kehidupan serta kehidupan yang kita jalani ini juga ibarat masa yang tidak akan mampu kita berpatah balik ke belakang.

Ada sebuah perumpamaan menarik berkaitan dunia daripada sebuah hadis Rasulullah SAW yang telah direkodkan oleh al-Imām al-Tirmidhī dan Ibn Majah:

لَوْ كَانَتِ الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ اللَّهِ جَنَاحَ بَعُوضَةٍ مَا سَقَى كَافِرًا مِنْهَا شَرْبَةَ مَاءٍ

“Kalaulah dunia ini ada nilai di sisi Allah seperti sebelah sayap seekor nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi minum langsung kepada orang-orang kafir walaupun seteguk air.”

Mudah kata, kalaulah dunia ini memang sungguh-sungguh bernilai hatta sebesar sebelah sayap nyamuk pun, nescaya dunia ini pasti akan menjadi ‘rebutan’ antara Allah dengan orang-orang kafir. Pada akhirnya, orang-orang kafir tidak akan berpeluang langsung untuk merasai nikmat dunia ini asbab segala-galanya telah diambil oleh Allah yang Maha Memiliki keseluruhan isi langit dan Bumi.

Tetapi dunia bukan bersifat begitu. Hadis di atas memberi kita isyarat bahawa dunia ini memang tidak ada langsung nilainya pada pandangan Allah sehinggakan Allah tidak mengambil sedikit manfaat pun daripadanya.

Lalu, apakah kita masih mahu ralit dalam mengejar dunia dan segala isinya?

فَلَنَسْـَٔلَنَّ ٱلَّذِينَ أُرْسِلَ إِلَيْهِمْ وَلَنَسْـَٔلَنَّ ٱلْمُرْسَلِينَ ﴿٦﴾؅

“Maka sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang telah diutuskan (Rasul-Rasul) kepada mereka, dan sesungguhnya Kami akan menyoal juga Rasul-Rasul itu.”

[Al-A‘rāf, 7: 6]

3. Mesti sedar tentang kematian dan mengambil pengajaran daripadanya

Kematian merupakan sesuatu yang tidak boleh dielak atau mampu dihalang oleh setiap makhluk yang bernyawa di alam ini kerana kematian itu termasuk dalam kategori qaḍā’ mubram.

Maka, tugas kita untuk sentiasa beringat dan melakukan persiapan diri sebaik mungkin agar pengakhiran kita nanti dinilai sebagai ‘ḥusn al-khātimah‘ (pengakhiran yang baik) kerana setiap amalan itu bergantung kepada pengakhirannya (إنما الأعمال بخواتيمها).

4. Mesti tahu akan hakikat dengan mengkaji prinsip-prinsip Islam

Kita hendaklah sentiasa tetap dan bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, lebih-lebih lagi ilmu-ilmu khusus (ilmu agama) supaya dengan ilmu tersebut mampu membuahkan ‘khashyah‘ (ketakutan) kepada Allah. Firman Allah SWT:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَخْرَجْنَا بِهِۦ ثَمَرَٰتٍ مُّخْتَلِفًا أَلْوَٰنُهَا ۚ وَمِنَ ٱلْجِبَالِ جُدَدٌۢ بِيضٌ وَحُمْرٌ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَٰنُهَا وَغَرَابِيبُ سُودٌ ﴿٢٧﴾؅ وَمِنَ ٱلنَّاسِ وَٱلدَّوَآبِّ وَٱلْأَنْعَٰمِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَٰنُهُۥ كَذَٰلِكَ ۗ إِنَّمَا يَخْشَى ٱللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ ٱلْعُلَمَٰؤُا۟ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ ﴿٢٨﴾؅

“Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam;”

“Dan demikian pula antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.”

[Fāṭir, 35: 27-28]

Ayat di atas ada menyebut mengenai sebahagian ilmu duniawi, seperti hujan yang turun dari langit (biologi), buah-buahan yang berlainan jenis (botani), gunung-ganang yang berjalur-jalur (geografi), serta pelbagai lagi ilmu lain. Dari situlah, lafaz ‘ulama’ (orang-orang yang berilmu) digunakan sebagai merujuk kepada orang-orang yang ahli atau arif dalam satu-satu lapangan ilmu itu.

Apa-apa saja jenis ilmu – sama ada ilmu umum (ilmu duniawi) mahupun ilmu khusus (ilmu ukhrawi) – tidak salah untuk kita mempelajarinya. Asalkan kita menepati dua syarat berikut:

  • Menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh sehingga menjadi ulama, ahli, atau pakar dalam bidang yang diceburi.
  • Menuntut ilmu dengan menepati panduan dan disiplin yang telah digariskan oleh Islam, yakni bertepatan dengan Uṣūl al-Dīn (falsafah / prinsip Islam) dalam mempelajari ilmu-ilmu tersebut.

Kesimpulannya, pelajarilah apa-apa bidang ilmu pun, asalkan kita menepati dua syarat di atas serta berhasil pula membuahkan ketakutan kepada Allah asbab mempelajari ilmu-ilmu tersebut, bukan sebaliknya.

5. Mesti kenal akan jahiliah

Jahiliah ialah apa-apa saja perkara yang bertentangan dengan Islam, tidak kisahlah sama ada dari sudut adat, ibadat, mahupun ideologi. Jahiliah bukan hanya ada pada zaman sebelum Nabi SAW dilantik menjadi Rasul sahaja, malahan kalau dilihat pada konteks zaman sekarang pun, jahiliah itu lebih bahaya sifatnya kerana melibatkan pemikiran.

Ada antara golongan hari ini yang kononnya ingin menghidupkan sunnah, tetapi dalam masa yang sama, golongan itu juga yang menghidupkan jahiliah. Kebanyakan ideologi yang muncul pada hari ini pula sebenarnya hanyalah sebagai ‘kitaran semula’ atau ‘recycle‘ daripada falsafah-falsafah yang pernah muncul pada zaman Yunani dahulu.

Untuk itu, perlu untuk kita benar-benar mengkaji dan membuat penelitian dalam memastikan bahawa kita benar-benar dapat membezakan secara tuntas antara Islam yang tulen dengan Islam yang dibaluti kotoran-kotoran jahiliah. Jangan disebabkan kita mahu keluar dari mulut buaya, namun termasuk pula ke dalam mulut harimau.


Konklusinya, dalam proses untuk kita mencari kekuatan dan melakukan perubahan, perlunya untuk kita sentiasa berada dalam suasana atau persekitaran yang boleh menyokong dan mendukung hasrat hati tersebut. Cari guru dan rakan-rakan yang boleh dijadikan teman pendamping sepertimana para sahabat yang sentiasa berṣuḥbah dengan Rasulullah SAW.

Pada akhirnya, keinginan untuk berubah dan melakukan perubahan itu segala-galanya bermula dari diri sendiri jua. Hal ini sejajar dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Ra‘d, surah ke-13 pada ayat ke-11:

لَهُۥ مُعَقِّبَٰتٌ مِّنۢ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِۦ يَحْفَظُونَهُۥ مِنْ أَمْرِ ٱللَّهِ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا۟ مَا بِأَنفُسِهِمْ ۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوْمٍ سُوٓءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥ ۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ ﴿١١﴾؅

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (daripada sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa-apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri.

Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa-apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”

WaLlāhu a‘lam.


Catatan oleh:
AHMAD MUHAIMIN BIN AHMAD SAFARUDDIN
Kluster Penerangan,
Neo-Siswa Universiti Malaya 2016/2017.


Nota: Catatan di atas dicoretkan sempena atur cara “Madrasah Gen-Q Siri 4” anjuran Neo-Siswa UM pada 14 April 2017.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s