Ilmu Kalam sebagai Asas dalam Menangani Pemikiran Asing

Seperti biasa, sementara menunggu kehadiran pembentang, saudara Muhammad Shahrulanwar bin Mohd Shukri selaku Pengerusi Neo-Siswa Universiti Malaya (UM) sesi 2016/2017 melontarkan terlebih dahulu empat persoalan utama untuk perhatian para peserta. Supaya pada akhirnya, segala persoalan tersebut berupaya dicerna sebaik mungkin bagi menatijahkan tema yang menjadi teras modul kedua Madrasah Gen-Q pada malam itu.

Empat persoalan yang ditimbulkan oleh beliau ialah:

  1. Bagaimana ilmu Kalām berkemampuan dalam menghadapi dan menjawab cabaran pemikiran semasa?
  2. Bagaimanakah pengenalan dan kemunculan ideologi Barat di peringkat global?
  3. Apakah kesan ideologi Barat tersebut terhadap gerakan Islam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia?
  4. Adakah wujud Falsafah Islam dalam menangkis ideologi Barat? Siapakah tokoh yang berkaitan dan apakah​ aliran mereka?

Untuk segala persoalan di atas, Dr. Wan Adli bin Wan Ramli, Pensyarah di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam (API) UM selaku tuan pembentang pada malam itu memulakan pengisiannya dengan mengungkapkan tiga jenis cabaran pemikiran yang dilihat dominan pada zaman ini, iaitu Shī‘ah, Wahhābī, dan Liberalisme.

Shī‘ah, walaupun pada awal kemunculannya adalah cuma disebabkan oleh faktor politik, namun merebak pula permasalahan mereka sehingga mencakupi bidang akidah. Begitu juga dengan fikrah Wahhābiyyah yang menolak pengajian Kalām, Uṣūl al-Fiqh, Falsafah, dan Taṣawwuf. Walhasil, lahirlah suatu bentuk pemikiran yang lebih cenderung ke arah radikalisme dan terorisme.

Walau bagaimanapun, bagi siri kali ini, Dr. Wan Adli akan lebih memberikan penumpuan secara umum terhadap fahaman Liberalisme sahaja yang juga merupakan bidang pengkhususan beliau dalam bab pemikiran semasa.

Secara asasnya, Liberalisme yang boleh diistilahkan sebagai “Mu‘tazilah Moden” merupakan suatu fahaman yang memperjuangkan kebebasan individu dan kesamarataan. Liberalisme yang berpandukan Sekularisme ini menuju suatu matlamat akhir, iaitu bukan sekadar menyamaratakan antara seorang manusia biasa dengan para ulama, bahkan antara seorang manusia dengan Nabi ṣallaLlāh ‘alayh wa sallam (SAW)!

Bagi mencapai hasrat dalam membawa ajaran baharu dalam agama, para pendukung Liberalisme perlulah terlebih dahulu menimbulkan keraguan dalam kalangan Muslim terhadap ajaran agama mereka. Antara strategi yang dibawa oleh mereka ialah, mereka mendakwa bahawa sebenarnya, keseluruhan ajaran agama masih boleh dipertikaikan dan belum mencapai kebenaran hakiki, termasuklah hukum qaṭ‘ī (muktamad) dalam Islam.

Hal ini demikian kerana, mereka mengatakan bahawa manusia adalah suatu ejen yang sentiasa terdedah kepada silap dan salah dalam mentafsirkan Sharī‘ah yang sakral dan sempurna. Oleh sebab itu, kefahaman manusia akan sentiasa tidak sempurna dan semestinya boleh dipertikai asbab kefahaman atau keyakinan yang tidak akan pernah mencapai kesempurnaan tersebut.

Lihatlah, para liberalis bukan sekadar menyerang tindakan, bahkan jua kefahaman!

Atas faktor inilah, ilmu Kalām atau Falsafah Islam hadir dengan pakej yang berwibawa bagi menangkis segala dakwaan tersebut. Kitab-kitab Kalām karangan ulama silam telah lama mengandungi jawapan terhadap segala kekeliruan atau kecelaruan yang timbul daripada fahaman Liberalisme ini.

Dalam Kalām, prinsip epistemologi atau faham ilmu merupakan perkara paling utama yang dibahaskan oleh para ulama akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamā‘ah sebelum membincangkan dasar-dasar akidah Islam yang lain.

Ya, memang benar bahawa tujuan asas mempelajari ilmu Kalām ialah mengenali Tuhan sepertimana ungkapan “أول الدين معرفة الله” (awal agama ialah mengenali Allah). Namun begitu, sebelum mengenali Tuhan, kita perlu mengetahui terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan perkataan “kenal” itu sendiri.

Karya “al-Farq bayn al-Firaq” yang merupakan salah sebuah kitab Kalām karangan Imām ‘Abd al-Qāhir bin Ṭāhir al-Baghdādi telah menyenaraikan sebanyak 15 buah prinsip akidah yang telah dipersetujui bersama oleh para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamā‘ah. Daripada kesemua 15 buah prinsip tersebut, empat prinsip yang teratas dinyatakan sebagaimana yang berikut:

  1. Mengisbatkan (membuktikan) hakikat dan ilmu.
  2. Menyatakan bahawa alam ini ialah segala yang selain Allah serta kesemuanya adalah baharu dan merupakan makhluk yang diciptakan.
  3. Menyatakan bahawa alam ini mempunyai Pencipta yang sifat zat-Nya dapat dikenali.
  4. Menyatakan bahawa Allah mempunyai sifat yang azali.

Mengapa dalam senarai ringkas di atas, alam dinyatakan terlebih dahulu untuk dikenali sebelum Tuhan? Hal ini demikian kerana, pancaindera seperti penglihatan dan pendengaran merupakan sumber paling hampir yang memang sudah sedia ada pada diri manusia itu sendiri.

Maka, disebabkan itu, manusia perlu mengenali alam terlebih dahulu melalui medium pancainderanya. Dengan mengenali dan memerhati alamlah, manusia dapat mengenali Tuhannya.

Jadi, kembali kepada prinsip pertama akidah, apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan “ma‘rifah” (kenal–tahu–ilmu) itu?

Menjawab persoalan ini, Syeikh Dāwūd bin ‘AbduLlāh al-Faṭānī, salah seorang ulama Nusantara telah menukilkan dalam kitabnya yang berjudul “Durr al-Thamīn”, juga sebuah kitab Kalām tentang hakikat makrifah, iaitu:

«الجزم الموافق للحق عن دليل»

“Keyakinan yang bertepatan dengan yang sebenar berdasarkan dalil.”

Yakni, secara mudahnya, ilmu itu mestilah terdiri daripada dua unsur, iaitu keyakinan dan ketepatan. Tidak boleh dinamakan sebagai ilmu sekiranya kita yakin akan sesuatu, namun rupa-rupanya perkara yang diyakini itu adalah tidak tepat (salah). Begitu jua tidak boleh dinamakan ilmu sekiranya sesuatu perkara itu memang tepat, tetapi kita tidak pula meyakininya atau kita meyakini dengan keyakinan yang salah.

Timbul persoalan, benarkah manusia yang serba kekurangan boleh mencapai hakikat ilmu (keyakinan dan ketepatan)? Semestinya! Bukankah Tuhan telah berfirman dalam Sūrah Muḥammad, surah ke-47 pada ayat ke-19:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللَّهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ۗ

“Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuan dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepada-Nya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan…”

Sungguh, ilmu yang benar itu memang wujud dalam hati para ulama yang bersepakat akannya. Juga, ilmu yang benar itu memang wujud dalam hati manusia yang mendalaminya.

Memang benar bahawa manusia itu memang tidak boleh terlepas daripada salah dan silap. Namun begitu, dari situlah bergunanya penelitian dan pengkajian daripada sekumpulan manusia yang memang benar-benar berada khusus dalam bidang tersebut (dalam konteks ini: syariat Islam) sehingga melahirkan konsep “Ijmā‘”.

Dari dahulu hingga kini, syariat Islam memang seperti itulah yang difahami dan diyakini oleh sekalian ulama yang bermuafakat akannya. Tiba-tiba pada zaman ini, muncul pula segolongan yang berani mempertikaikan bahawa syariat Islam seperti yang difahami oleh ijmak ulama itu adalah masih belum lengkap dan sempurna serta kekal dalam ketidaksempurnaan.

Kalaulah semua ilmu itu tidak boleh mencapai hakikat kebenaran, jadi adakah dakwaan golongan liberalis bahawa kefahaman manusia itu tiada yang benar dan tidak akan pernah sempurna itu adalah cukup benar dan cukup sempurna? Kalau begitu, ibu kandung kita yang selama ini kita yakini bahawa beliaulah ibu kandung kita yang sebenar, sebenarnya bukanlah ibu kandung yang hakiki disebabkan kefahaman kita itu tidak benar dan tidak sempurna!

Akhirulkalam, para peserta sekali lagi disuntik dengan bius kesedaran bahawa pentingnya pembelajaran ilmu Kalām dalam mendepani cabaran pemikiran semasa ini melalui analogi pembinaan benteng di tebing sungai.

Benteng yang kita bina di tebing sungai bagi melindungi kediaman kita di situ ialah perumpamaan bagi ilmu Kalām. Sungai yang mengalir pula ibarat pemikiran atau ideologi asing yang saban hari hanya sekadar melewati sahaja sisi benteng itu. Adakala paras air sungai meningkat, maka dari situ, kita perlu senantiasa meninggikan atau memperkukuh benteng tersebut agar kekal teguh dan tidak roboh dek tekanan yang dihamburkan oleh arus deras sungai ‘ideologi’ tersebut.

WaLlāhu a‘lām.


Catatan oleh:
AHMAD MUHAIMIN BIN AHMAD SAFARUDDIN
Kluster Penerangan,
Neo-Siswa Universiti Malaya 2016/2017.


Nota: Catatan di atas dicoretkan sempena atur cara “Madrasah Gen-Q Siri 2” anjuran Neo-Siswa UM pada 17 Mac 2017.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s