Syeikh Abdullah bin Bayyah

Mengakhiri malam Jumaat semalam dengan bersulamkan sedikit penghayatan yang mendalam terhadap beberapa gagasan fikrah Syeikh Abdullah bin Mahfuz bin Bayyah.

Sambil itu, sempat juga menghirup secangkir teh usai program buat pengubat jasad yang letih, namun minda seakan masih kekar asbab disirami dengan pemikiran segar melalui saudara penyampai yang juga merupakan penterjemah himpunan makalah ini sendiri; Ustaz Ahmad Naqiuddin bin Awaludin.

Mula mengenali susuk tubuh mulia ini melalui media sosial setelah dikhabarkan oleh seorang sahabat yang senantiasa mengikuti rapat idea dan pemikiran beliau. Syeikh Abdullah, sebuah nama yang bukan sahaja terkenal dalam dunia Islam, bahkan mungkin seantero dunia. Menjadi tumpuan ramai atas manhaj beliau yang sederhana serta seruan beliau yang sering mengajak ke arah keamanan dan keharmonian.


Sedikit catatan yang sempat ditumpahkan ke atas naskhah kecil peribadi semalam ketika Diskusi 5.0 anjuran The Thinkers Universiti Malaya (UM); kita hendaklah sentiasa mengalah kerana Allah (انهزموا لوجه الله) apabila berdepan dengan sesuatu pertelingkahan. Mengalah bukan bermakna kita kalah, tetapi lebih ke arah supaya keamanan dan keharmonian dapat sentiasa dikekalkan.

Selain itu, kata Syeikh, politik diibaratkan seperti sejenis dadah kerana sekali kita terlibat dalam bidang politik, seakan-akan kita mahukan lagi dan lagi dan lagi. Politik juga bukan manhaj islah (pembaikan) yang sebenar walaupun Syeikh sendiri pernah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri Mauritania.

Sebab itu, penting untuk kita sentiasa mencintai para ulama dan orang-orang soleh walaupun kita bukan dalam kalangan mereka. Hal ini demikian kerana, amanah seorang ulama adalah sangat berat bagi merawat masalah umat yang terbeban di atas pundak tengkuknya.

Di samping itu, antara tema yang menjadi pegangan Syeikh ialah sebaris ayat Allah lewat firman-Nya dalam Surah al-Baqarah, ayat ke-83: “berkata baiklah kepada manusia (وقولوا للناس حسنا).”

Allah menyuruh hamba-Nya agar berkata baik kepada semua manusia (Muslim dan bukan Muslim) tanpa melihat kepada sifat-sifat lain yang wujud pada dirinya. Sifat kemanusiaan itu sudah memadai bagi melayakkan seseorang memperoleh penghormatan.

Maka, menjadi tugas ke atas kita untuk sentiasa menyebar luas dan mempromosi keamanan, terutamanya dalam kalangan masyarakat Muslim kita kerana pertikaian yang berterusan hanya akan membawa kepada kebinasaan (تنازع البقاء يؤدي إلى الفناء).

Biarlah peristiwa seperti ‘Arab Spring’ senantiasa menjadi iktibar kepada kita untuk kekal beringat dan bermuhasabah agar tidak menggadaikan nikmat kesejahteraan yang sudah kita sedia peroleh ini ke arah kehancuran dan malapetaka.

Kerana pada akhirnya, peluang menggapai keadilan pada masa keamanan lebih utama daripada mencarinya saat peperangan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s