Kejujuran yang Mengharukan

Rabu, Disember 7, 2016.

Lebih kurang jam 4.40 petang, aku bersama-sama dengan salah seorang sahabatku melangkah ke dormitori dengan hati yang girang setelah berjaya mengadakan janji temu dengan seonsaengnim (선생님: guru) Bahasa Koreaku di bangunan Global & Research (G&R) Hub bermula jam 3.20 petang tadi.

Pada asalnya, kami hanya sekadar mahu bertemu dan berbual-bual santai bersama beliau buat kali terakhir (disebabkan kelas Bahasa Korea telah pun tamat secara rasmi pada 1 Disember yang lalu), namun rupa-rupanya, pertemuan itu belum berakhir di situ. Seonsaengnim dengan senang hati menjemput kami pula untuk ke rumahnya dan membawa kami berjalan-jalan di sekitar Suncheon (순천) yang terletak kira-kira 92 km dari bandar Gwangju pada 20 Disember ini. Wah, bukan mudah untuk mendapat peluang keemasan sebegini!

Sebaik tiba di kamar 10 minit kemudian, aku langsung menunaikan solat fardu Asar dan menunggu masuknya waktu Maghrib yang akan berpencak beberapa minit selepas itu. Sedang aku berkhayal mengenai kehidupan dunia yang fana, aku mendapati ada sesuatu yang kurang pada diriku, tapi aku tidak pasti apakah kekurangan itu.

Sehinggalah tibanya waktu Maghrib kurang lebih jam 5.22 malam, aku berasa hairan. Selalunya aku pasti akan mendengar laungan azan yang berkumandang dari corong pembesar suara gajet kesayangan aku, namun hari itu aku tidak mendengarnya. Takkan pula telinga aku terhijab?

Setelah diselidiki di dalam beg, baru kusedar bahawasanya tablet aku telah tertinggal di tempat pertemuan tadi di G&R Hub! Ah, pertama kali aku cuai menjaga engkau, wahai tablet! Namun begitu, aku cuba bertenang dan berkata kepada diri “all is well” dengan nada suara ibarat Ranchoddas Shamaldas Chanchad (atau sebenarnya Phunsukh Wangdu lakonan Aamir Khan), seorang watak daripada filem 3 Idiots.

Jadi, seusai menunaikan solat fardu Maghrib, aku lantas bergegas semula ke bangunan G&R Hub dan menuju ke arah tempat pertemuan tadi. Malang tidak berbau. Aku mendapati sofa hijau yang menjadi tempat duduk aku sebentar tadi segalanya kelihatan seperti biasa, kecuali hanya satu perkara: tablet aku yang jenamanya dirahsiakan telah LESAP daripada pandangan mata hakiki!

Langit sudah mulai gelap. Matahari sudah mulai segan hendak memunculkan jasadnya lagi. Syukur pandangan aku masih belum gelap dan aku masih belum segan untuk menampakkan wajah yang kacak bergaya (tapi hati sudah kecut) bagi mendapatkan semula tablet yang ‘nakal’ itu.

Alhamdulillah, Allah telah memberi aku satu ilham. Dari lokasi aku berdiri, aku melihat ada barisan tangga di sebelah kanan hadapan dan juga lif di sebelah kiri. Aku memilih untuk menaiki tangga bagi menuju ke Pejabat Urusan Antarabangsa (Office of International Affairs – OIA) yang terletak di tingkat dua.

Walaupun aku boleh membuat pilihan untuk menjimatkan tenaga zahir dan batin dengan menaiki lif, namun aku yakin bahawa aku telah membuat suatu keputusan yang tepat dalam hidup, iaitu dengan mendaki tangga. Hal ini secara tidak langsung dapat membakar kandungan kalori yang berada di dalam badan, seterusnya membuktikan bahawa aku masih berjiwa muda dan tidak perlu kepada penggunaan lif untuk hanya ke tingkat dua sahaja. Bangga dalam kegelapan.

Dalam larian aku mendaki ke puncak susunan tangga itu, aku berharap semoga OIA masih beroperasi walaupun mega merah telah kelihatan di ufuk langit. Alhamdulillah, harapan aku terlunas. Bilik OIA masih diterangi cahaya lampu dan beberapa staf OIA masih giat menjalankan tugas masing-masing.

Aku memerhati dari luar pintu kaca sambil mencampakkan pandangan aku ke dalam. Mataku liar mencari-cari siapakah gerangan yang boleh aku pohon bantuan dan pertolongan daripadanya. Pusing punya pusing, ya, sasaran sudah mengena!

Aku terlihat kelibat saudara Baha Komilov, seorang staf OIA warganegara Uzbekistan yang juga pelajar sepenuh masa di Chonnam National University (CNU). Dia berada paling hampir dengan pintu masuk sedang khusyuk menyusun atur sesuatu. Aku lantas berjalan dan berdiri betul-betul di hadapan pintu kaca itu sambil cuba menonjolkan jasad ini dengan melambai-lambaikan tangan ke arahnya.

Syukur, dia perasan akan kehadiran sekujur tubuh dan wajah mulus aku dari luar kaca pintu. Dia pun lalu membalas kembali lambaianku sambil melemparkan senyuman. Ah, dia mengira aku cuma mahu bertegur sapa bertanyakan khabarnya, padahal aku ada hajat besar mahu bertemu dengannya!

Aku pun segera mencapai pemegang besi pintu kaca itu, menariknya keluar, lalu pintu pun terbuka (rasanya bahagian ini tak perlu diceritakan pun tak mengapa kot). Lantas, aku langsung memulakan perbualan:

Muhaimin: Hello, Baha. I’m sorry for disturbing. Just now, I left my tablet on the sofa that is located downstairs. But, when I came back to search for it, my tablet went missing! Do you know where it is?

Baha: Oh, really? Wait, I want to ask others.

Aku pun menunggu sebentar sambil melihat dia bertanyakan kawan-kawannya yang lain. Dari pemerhatian aku, kesemuanya menggelengkan kepala saat diajukan pertanyaan tersebut. Nampaknya, mereka juga tidak mengetahui akan keberadaan gajet yang bernilai itu. Hampa.

Baha pun kembali ke arahku lalu memberikan cadangan:

I think you should go to the Language & Education Office right there and ask the staffs there,” kata Baha sambil menunjukkan jari telunjuknya ke arah lokasi pejabat yang terletak di sebelah hadapan bangunan.

Aku yang sedari tadi berasakan gelapnya dunia seiring dengan kegelapan langit di luar, namun harapan yang kian pudar itu kini menyala semula bak api obor yang dinyalakan di dalam kekelaman gua.

Setelah mengucapkan terima kasih kepada Baha, aku lantas menghayunkan sepasang kaki dengan sepenuh kudrat menuju ke arah pejabat yang dimaksudkan. Aku berdoa semoga biarlah pejabat itu menjadi perhentian terakhir untuk aku berjodoh semula dengan sang tablet yang ‘merajuk’ itu kerana ditinggalkan oleh si tuan yang cuai terhadap tanggungjawab sendiri. Andaikata tablet aku tidak ada di dalam pejabat tersebut pun, aku berharap biarlah tablet itu ada pada tangan seonsaengnim sebagai harapan terakhir, bukan pada tangan sesiapa yang tidak aku kenali atau aku restui.

Pejabat Language and Education Centre sudah bersedia di situ menyambut kehadiranku. Err, pejabatnya sahaja, bukan orangnya. Oh, di sini rupanya tempat para guru bahasa melakukan persediaan sebelum sesi pengajaran dan pembelajaran! Aku lantas teringat akan seonsaengnim yang baru aku ketemu lewat petang tadi.

“Bismillah…” aku menolak pintu kaca itu dengan perlahan sambil mengorak langkah menuju ke dalam pejabat. Kelihatan beberapa orang staf dan mungkin ada sebahagian seonsaengnim sedang sibuk melakukan tugas tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, apatah lagi menyedari kemunculan-tanpa-undangan aku. Ish.

Annyeonghaseyo…” aku memberanikan diri untuk memberi salam, eh menyapa seorang staf wanita yang sedang ralit menaip di hadapan komputernya. Sebaik saja dia mengalihkan pandangannya ke arahku, aku lantas bertanyakan soalan yang sama sepertimana soalan yang telah aku lontarkan kepada Baha tadi. Dalam bahasa Inggerislah, tapi. Mana aku reti lagi hendak bercakap 100% bahasa Korea dengan lancar dan penuh perasaan.

Pertanyaan aku sampai ke penghujung noktah. Aku menunggu respon dengan penuh debaran. Dia memandang tepat ke arah mataku dengan pandangan yang penuh curiga. Aku pula yang berasa tidak menentu. ‘Ah, akak ni faham ka tak soalan aku?’ Bisik aku dalam hati. Aku pun menegaskan semula perkataan “tablet” itu berserta jenamanya sebagai kata kunci dan pembayang supaya dia lebih mengerti.

Biasalah, orang Korea ini tidak boleh kita anggap bahawa kesemua mereka boleh bercakap atau berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik. Kadangkala, mereka boleh saja memahami tutur kata orang dalam bahasa Inggeris, bahkan tatabahasa Inggeris pun mereka mahir, namun anehnya dalam bab percakapan, mereka tidak boleh pula bertutur dengan baik. Seolah-olah mereka hilang keyakinan atau terlampau takut untuk bercakap dengan tatabahasa yang salah atau berterabur. Mungkin sebab dahulu mereka tidak mengambil MUET, sebab itu bisa jadi begitu. Hah, mengarut.

Setelah selesai memproses segala data, kakak staf itu pun segera memanggil salah seorang seonsaengnim yang berada di situ. Aku mengagak bahawa dia sudah berjaya memahami segala butir bicaraku. Lalu, seorang seonsaengnim lelaki yang berada di suatu sudut bangun dari tempat duduknya sambil menghampiri tempat aku berdiri.

Sebaik saja beliau melihat iras wajahku, beliau seolah-olah sudah boleh membaca bahawa aku merupakan pemilik tablet yang tertinggal itu. Tanpa sepatah kata pun yang keluar dari hujung lidah dan bibirnya, beliau segera melangkah ke arah sebuah meja dan mencapai sesuatu.

Ya, sesuatu! Sesuatu yang sangat aku tertunggu-tunggu dan ternanti-nanti sebelum itu. Itulah dia, tablet perak kesayanganku! Alhamdulillah… hanya itu saja yang mampu aku ucapkan saat itu.

Beliau lalu menghulurkan gajet yang bernilai itu kepadaku. “Kamsahabnida…” aku lantas mengucapkan kata-kata itu sambil menundukkan kepala dan badan berulang-ulang kali kepada beliau dan kakak staf tadi. Aku keluar dari pejabat itu dengan perasaan yang maha lega disertai dengan untaian syukur yang tidak terhingga. Hendak sujud syukur di situ nanti terasa pelik pula orang sekeliling.

Sambil melangkah pulang ke dormitori, kepala aku masih terus ligat berpusing dan aku masih belum dapat berhenti daripada berdialog dengan diri sendiri. Ya Allah, siapa sangka tabletku boleh dijaga dengan sebegitu baik sepertimana yang baru aku alami sebentar tadi!

Lantas, fikiranku terus melayang ke arah mesej-mesej WhatsApp yang sering hinggap di dalam telefon burukku. Seringkali aku terbaca atau mendapat berita mengenai keciciran atau kehilangan barangan berharga daripada teman-teman yang berada di Malaysia. Aku tidak dapat bayangkan bagaimana kalau kisah keciciran tablet aku ini berlaku di tanah airku. Entah masih ada harapan lagi atau tidak untuk bertemu semula, aku tidak berani memberikan jawapan yang tuntas.

Namun, apa yang pasti, tanggapan (expectation) aku terhadap orang Korea bahawa mereka merupakan masyarakat yang sangat jujur telah sangat menepati skema pemarkahan dan penilaian hidup aku. Betullah kisah-kisah yang aku dengar dan baca selama ini sama ada melalui media cetak atau elektronik mengenai tahap kejujuran mereka. Buktinya bukan sahaja dapat dilihat, bahkan dapat dirasai sendiri oleh jiwa lemah aku.

Ya Allah, terima kasih atas pengalaman dan peluang ini! Aku berdoa semoga masyarakatku di tanah air juga mampu untuk mempraktikkan tahap kejujuran dalam diri dengan semaksimum mungkin. Semoga, keamanan hidup yang sangat kita idamkan itu bisa diterjemahkan ke alam realiti dan bukan sekadar utopia yang terapung di awang-awangan.

Nyata, kisah kejujuran kali ini telah terukir di dalam diari kehidupan sebagai antara episod kejujuran yang amat mengharukan.

[Tamat]


Soalan bonus: Bagaimana seonsaengnim lelaki itu tadi dapat mengagak dengan tepat bahawa aku merupakan pemilik kepada tablet itu dan terus memulangkannya tanpa langsung bersoal selidik dengan aku terlebih dahulu?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s