Naneun Noereul Saranghaeyo!

Sudah seminggu lebih sejak kelas Bahasa Korea (한국어) berakhir secara rasmi pada 1 Disember 2016 yang lalu.

Masih terbayang dalam kotak memori semasa mula-mula saya memasuki kelas tambahan Bahasa Korea pada setiap malam Selasa dan Khamis di sini. Walaupun kelas ini cuma kelas tambahan dan bukan kelas formal yang mengguna pakai sistem jam kredit, namun bak kata sahabat-sahabat, “rugilah kalau duduk Korea satu semester tapi tak belajar langsung bahasa Korea.”


Saya menikmati permulaan semester yang baharu di tanah asing pada awal September yang lalu, namun kelas tambahan Bahasa Korea hanya dijadualkan bermula pada minggu ketiga September, atau lebih tepatnya pada Selasa malam, 20 September 2016.

Sejujurnya, pengetahuan saya dalam bahasa Korea sebelum hadir ke sini sememangnya bermula dengan angka kosong. Saya pula bukan peminat Hallyu, K-Pop, K-Drama, atau seangkatan dengannya. Manalah saya hendak ambil pusing dengan istilah dan aksara Korea ini. Yang saya selalu dengar daripada mulut para peminat Hallyu ini: annyeonghaseyo (안녕하세요: hello), kamsahabnida (감사합니다: thank you), daebak (대박: super cool), arasseo (알았어: okay), saranghaeyo (사랑해요: I love you), dan pelbagai lagi “yo-yo” yang lain. Lel.

— isi borang —

“Have you learned Korean before?”
Yes [ ] No [✅]

Mestilah, dah tahu kita ini jahil, takkan hendak berlagak alim pula, hoho. Jadi, berbekalkan semangat umpama anak kecil yang riang memasuki alam tadika, saya pun menghadiri kelas pertama “Bahasa Korea Asas” pada malam itu dengan perasaan yang bercampur-baur.


Pabila melihat semula halaman-halaman awal dalam buku nota Bahasa Korea saya, ya Tuhan, buruk yang amat gaya penulisan saya! Malu betul dengan diri sendiri asbab selama ini, tulisan tangan saya sentiasa kemas dan lawa sama ada tulisan Jawi mahupun Rumi. Tapi, lain pula halnya dengan tulisan Hangul (한글: Korean alphabet).

Walau bagaimanapun, malu macam mana pun saya dengan diri saya yang dahulu, saya tetap berbangga dengan apa-apa yang telah saya capai dan lalui kini. Tulisan saya saban hari semakin mantap dan kembali seperti tulisan seorang Muhaimin yang dulu. Penguasaan bahasa Korea saya juga mula meningkat sedikit demi sedikit. Kadar kelajuan pembacaan pun walau tidak sepantas seekor cheetah, namun tidaklah merangkak-rangkak lagi ibarat seekor kura-kura.


Alhamdulillah, saya tidak berhasil menggapai kesemua natijah itu tanpa bantuan dan tunjuk ajar seonsaengnim (선생님: teacher) saya yang sangat disayangi. Mrs. Im Chin Ah (임진아) nama diberi, dan namanya indah seindah tuannya. Beruntung saya dapat memiliki seonsaengnim seperti beliau.

Antara kegemaran beliau setiap malam sebelum mengakhiri kelas ialah memberi kami bekalan sukje (숙제: homework) sama ada meminta kami untuk sseugi (쓰기: writing), nogeum (녹음: recording), atau kedua-duanya sekali.

Walaupun pada minggu-minggu awal, saya agak bergelut sedikit mencari prestasi diri kerana masih belum menghafal Hangul secara keseluruhan, namun saya berjaya mengatasi kelemahan tersebut dengan izin Allah. Saya paksa diri untuk menghafal setiap huruf Hangul itu dan cuba membacanya setiap kali melihatnya sama ada di kain-kain rentang, kedai-kedai makan, papan-papan tanda, notis-notis, dan sebagainya yang ada di sekitar universiti.

Saya kira, sukje yang diberikan oleh seonsaengnim kepada saya adalah sangat bernilai, dan saya amat menghargainya. Latihan menulisnya macam biasalah, berlatih untuk menulis setiap aksara Hangul ibarat kita berlatih menulis A B C dan alif ba ta sewaktu zaman prasekolah dahulu. Naik tahap sikit, berlatih menulis perkataan dan ayat pula. Walhasil, tulisan tangan saya mendapat pujian daripada beliau.

Hal ini membuatkan saya terfikir, bagaimanalah agaknya pengorbanan dan kesungguhan para guru tadika saya dahulu dalam melatih dan mendidik saya untuk membaca dan menulis dengan baik. Hasilnya adalah seperti yang dapat dilihat pada batang tubuh badan saya hari ini. Besar sungguh jasa mereka. Kalau ada peluang untuk saya bertemu semula dengan mereka, pasti akan saya ucapkan seinfiniti terima kasih atas sumbangan dan asuhan yang telah mereka curahkan kepada saya.

Tulisan tangan saya yang cantik mengalahkan perempuan ini pun asbab tunjuk ajar mereka juga, bukan? Hehe. Terima kasih banyak-banyak, cikgu!


Bak kata seorang lagi sahabat saya, “antara penyebab aku kurang berasa rindu kepada keluarga di Malaysia adalah disebabkan rindu aku terubat dengan seonsaengnim.”

Benar, saya dapat merasakan jiwa seorang ibu yang mendidik anaknya dengan penuh kasih sayang dalam diri seonsaengnim. Mungkin atas faktor itu, hatta sekelumit perasaan bosan pun tidak pernah hinggap dalam kamus hidup ketika menghadiri kelas malamnya, walaupun kadang-kadang badan terasa letih dan kepala terasa pening.

Begitulah besarnya peranan seorang guru dalam mendidik anak muridnya. Hinggakan kawan-kawan saya dari kelas yang lain pun berasa cemburu mendengar cerita saya mengenai seonsaengnim dan seisi kelasnya. Bertabahlah, nak.

Apa-apa pun, kalau orang bertanya kepada saya, apa antara perkara yang paling menarik yang boleh saya dapat dari Korea selepas saya pulang ke Malaysia? Pasti saya akan menjawab “kelas Bahasa Korea” sambil tersenyum. 🙂

Andai seonsaengnim baca penulisan saya (kalau seonsaengnim bacalah 😅), ini ayat terakhir saya untuk seonsaengnim:

“고맙습니다, 선생님. 나는 너를 그리워요 ~ ”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s