Keju dan Salju Gwangju

Babak 1.

Cuaca dingin sejak belakangan ini menyebabkan aku semakin berat hati untuk ke bilik air. Kalau ya pun melangkah masuk ke tandas itu hanyalah untuk bersugi, melepaskan hajat, atau mengangkat hadas kecil. Mandi mungkin cuma sehari sekali.

Bukan apa, boleh saja kalau hendak mandi dengan air bersuhu panas. Nikmat weh disimbah dengan pancuran air sebegitu berlama-lama. Namun begitu, bahagian yang kurang seronoknya adalah selepas tamat tempoh pemandian itu. Aku terpaksa keluar dari kamar mandi dengan sapaan udara sejuk yang sudah tidak sabar-sabar mahu menerpa tubuh kerdilku. Dia punya menggigil itu semacam pesakit Parkinson dah rasa. Ok, hiperbola.

Sebagai tambahan, cuaca sejuk yang hadir tanpa diundang ini juga acapkali berjaya membuatkan perut aku merengek minta diisi. Aku cuba memujuk dia supaya bersabar buat sementara waktu dengan tegukan air kosong.

Kau tahu bukan, aku dah tekadkan hati untuk hanya keluar ke kedai makan pada waktu cicipan sahaja. Sarapan aku kebiasaannya hanyalah semangkuk bijirin yang aku beli dari stor barangan berhampiran dengan bangunan dormitori. Waktu merarau aku pula ialah waktu cicipan aku. Dua dalam satu. Biasalah, waktu hujung-hujung semester begini, bukan setakat perut sahaja sakit, bahkan poket dan saku pun sakit juga.


Babak 2.

Aku mengerlingkan mata ke luar jendela, terlihat titis-titis hujan masih turun. Satu hal yang dapat aku perhatikan di sini, hujan kalau ditakdirkan turun pada hari itu, pasti akan turun tanpa henti dari siang hingga ke malam. Tapi, hujannya tidak selebat hujan di Malaysia. Hanya sekadar hujan rintik-rintik, air bergelora, emak kasi duit, ayah kasi duit. Eh, nyanyi pula dia!

Sekali lagi, perut aku buat hal. Ya, aku nak turun makanlah ni. Memandangkan jam sudah menunjukkan angka 4.30 petang, lebih kurang sejam sebelum masuk waktu Maghrib, maka aku pun segera bersiap dengan mengenakan pakaian sejuk kegemaran yang aku beli dari pusat bandar (downtown) Gwangju. Aku terpaksa meminjam sekaki payung daripada salah seorang teman serumah (housemate) aku memandangkan payung milik aku telah ‘dipinjam-tanpa-izin’ ketika menghadiri kelas “Sejarah Korea” (History of Korea) pada suatu pagi yang hening.

Maka, aku pun keluar dari bangunan dormitori dengan perasaan riang dan girang ibarat anak kecil yang bermain dengan api.


Babak 3.

‘Masya-Allah, aku sedang berjalan merentasi peti sejuk gergasi!’

Begitulah yang aku fikirkan saat meredah suasana luar bangunan dengan suhu dalam lingkungan 4°C itu. Kalau sebelum ini, saya hanya merasai cuaca sejuk buatan manusia ketika singgah di Rumah Empat Musim, Taman Botani Shah Alam dan juga di i-City Shah Alam, namun kali ini aku benar-benar berpeluang menikmati kesejukan semula jadi. Bila lagi mahu merasa kalau bukan sekarang, bukan?

Sedang dalam perjalanan ke kedai makan, aku melihat ada beberapa orang hyeong sedang enak menghisap puntung rokok. Sedap kau ya panaskan badan dengan cara sebegitu, heh. Namun, yang tak seronoknya, ada juga nuna yang turut berkelakuan serupa. Aduhai, rosak reputasi wanita pada pandangan aku!

Secara tiba-tiba, mulut aku juga berasap. Eh, sejak bila pula aku merokok? Haha, bukan asap, tetapi wap! Wah, hembusan nafas aku sudah mengeluarkan wap! Maaflah aku ‘jakun’ sikit bab-bab ini. Yalah, selama ini, aku hanya mampu menjadi pemerhati mereka yang menghembus nafas berserta dengan wap dari kaca televisyen atau skrin komputer sahaja, namun kali ini aku sendiri yang menjadi aktor pengeluar wap tersebut.

Mohon salji cepat sikit turun ya. Fuh!


Babak 4.

Aku memesan sepinggan nasi goreng (atau dalam bahasa Koreanya: 볶음밥, bokkeumbab) yang dimasak dengan udang berserta sos cili. Tetapi, saat aku menatap hidangan yang berselera di hadapan mata itu, hatiku tiba-tiba berasa sayu.

Perut aku pun berasa hairan. ‘Kenapa dengan awak?’ Hmm, tak adalah, dalam sebulan lebih lagi, aku bakal meninggalkan Bumi Korea dan kembali semula ke tanah air. Selepas tempoh itu, aku pasti akan merindui segala-galanya mengenai Korea.

Aku pandang senarai menu – bibimbap, omurice, tteokpokki, rabokyi, kimchi, dan lain-lain – ya, aku pasti bakal merindui kalian. Aku membaca aksara-aksara hangeul yang melata, aku pasti akan merindui tulisan ini. Aku memerhati sekitar dalaman kedai, aku pasti akan merindui kedai makan ini. Aku melihat ajeossi dan ajumma yang sekian lama melayan dan menyediakan makanan kepada aku, aku pasti bakal merindui ajeossi dan ajumma semua. CNU, buddy, seonsaengnim, …

Ah, mengapa aku tiba-tiba sebak begini? Jadi, bagi mengawal tahap macho aku, aku segera alihkan pandangan ke arah kaca televisyen. Oh ya, seperti biasa, sebahagian besar isi kandungan berita hanya berkisar mengenai perjuangan rakyat Korea Selatan yang berhimpun secara aman dan mega di kota raya Seoul bagi mendesak Presiden mereka untuk meletak jawatan.

Kalau hendak tahu, minggu ini sudah masuk minggu kelima mereka berdemonstrasi. Punyalah kuat semangat rakyat Korea ini. Kalaulah aku mengerti apa yang diperkatakan oleh si pemberita, tentu seronok untuk aku menghayati berita itu. Tak mengapalah, berita atas talian ada, bukan?


Babak 5.

Dalam perjalanan pulang ke dormitori, aku memerhati dan menikmati kawasan sekeliling. Pohon-pohon yang tumbuh di persekitaran kampus ini sudah banyak yang ‘botak’ dan tinggal ranting. Hanya menunggu masa untuk menyambut musim salji.

Betapa kuasa Tuhan yang menjadikan beberapa kawasan di Bumi dalam empat musim begitu mengujakan. Aku bersyukur kerana diberi kesempatan ini walau hanya sesingkat cuma.

Sekali lagi, aku pulang ke kamar dengan perasaan riang dan girang. Namun, girang kali ini bukan lagi seperti girang anak kecil yang bermain api, tetapi girangnya seorang Muhaimin kali ini ibarat seorang dewasa yang girang menyalakan api.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s