The Shawshank Redemption

The Shawshank Redemption.

Saya telah menonton filem ini beberapa minggu sebelum saya terbang ke Korea Selatan pada penghujung Ogos 2016 dan terdetik sekali lagi untuk menontonnya sepintas lalu selepas melayani filem “Miracle In Cell No. 7” beberapa hari yang lepas (ketika ulasan ini ditulis). Walaupun filem ini ialah filem lama (tahun 1994), namun faktor utama yang mendorong hati saya untuk memuat turun filem ini lalu menontonnya adalah disebabkan tahap penarafannya yang sangat tinggi dalam laman sesawang filem terkenal, IMDb dengan jumlah skor 9.3/10 dan diiktiraf sebagai salah sebuah filem terbaik sepanjang zaman!

Filem yang berlatarkan masa antara tahun 1947–1966 (19 tahun) ini mengisahkan seorang pegawai bank, Andy Dufresne telah disabitkan kesalahan atas jenayah menembak mati isterinya dan kekasih isterinya yang pada ketika itu sedang melakukan hubungan terlarang. Mudah kata, isterinya berlaku curang kepadanya. Disebabkan jenayah itu, Andy dijatuhkan dua hukuman penjara seumur hidup berturut-turut di Shawshank State Penitentiary, sebuah penjara fiksyen yang menjadi latar tempat bagi hampir keseluruhan filem ini.

Namun begitu, hanya Andy seorang sahaja yang mengetahui bahawa dia hakikatnya tidak bersalah dalam melakukan jenayah tersebut. Selama tempoh keberadaannya di dalam Shawshank, Andy telah bersahabat baik dengan seorang banduan bekas penyeludup, Ellis “Red” Redding yang juga menjalani hukuman penjara seumur hidup di situ.

Saya berpesan awal-awal kepada sesiapa yang mahu menonton filem ini, sila bersiap sedia untuk cekal dan tabahkan hati kerana kalian bakal berhadapan dengan banyak dialog yang bersifat kasar, kesat, maki hamun, dan berunsur lucah. Yalah, dah nama pun filem yang berlatarkan penjara, jadi watak-wataknya pun berkisar dalam keliling banduan, warden, pegawai penjara, pegawai polis, dan seumpamanya.

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa bukan semua banduan itu benar-benar jahat. Sejahat mana pun manusia itu, sebenarnya masih ada lagi nilai baik yang wujud di dalam dirinya. Hal ini terbukti melalui kawan-kawan sepenjara Andy, terutamanya Red yang sanggup membantu beliau untuk bebas dari penjara tersebut apabila mereka mengetahui dan memperoleh bukti bahawa Andy sebenarnya tidak bersalah dalam melakukan pembunuhan terhadap isterinya dan kekasih isterinya.

Melalui filem ini, saya mendapat gambaran bahawa penjara merupakan sebuah mimpi ngeri bagi sesiapa yang memasukinya. Setiap hari, para banduan akan dilayan seperti haiwan. Makanan yang disediakan tidak dimasak sepenuhnya dan kadangkala berulat. Bukan setakat banduan, bahkan warden dan polis pun berkelakuan sangat tidak bermoral. Tidak hairanlah jika pada bahagian klimaks filem ini, Andy berjaya meloloskan diri dari Shawshank, membersihkan nama baiknya, lalu membongkar segala salah laku dan korupsi yang berlaku di sana.

Apa yang membuatkan saya begitu terkesan dengan filem ini ialah beberapa mesej kuat yang berjaya dijiwai dengan sangat berkesan, terutamanya oleh watak utama filem ini, Andy dan Red. Nilai persahabatan yang ditonjolkan juga sangat mendalam. Antara kata-kata yang sangat diingati:

“Get busy living or get busy dying.”
“Fear can hold you prisoner, hope can set you free.”

Tontonlah filem ini dengan hati yang terbuka, nescaya kalian bakal melihat perbezaannya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s