Matang?

Kadang-kadang… Eh, bukan kadang-kadang! Selalu jugalah.

Seringkali, apabila saya meneroka dan membelek semula status-status dan hantaran-hantaran lama yang pernah dinukilkan dahulu dalam laman media sosial, seringkali saya berasa malu terhadap ketidakmatangan diri sendiri, bahkan seringkali juga saya bermonolog sendiri antara percaya dengan tidak. “Eh, betulkah aku pernah tulis benda alah ini dahulu?”

Masakan tidak? Betapa ada antara butir ayat, bahasa, pegangan, pendapat, dan pemikiran yang pernah dilontarkan serta dipersembahkan dahulu, saya sifatkan sebagai agak emosional dan kurang rasional. Biasalah, orang kata darah orang-orang muda ini lain macam sedikit. Mudah menggelegak. Setiap masa, ingin saja meledak.

Tetapi, sejak belakangan ini, apabila saya mula banyak didedahkan dengan kepentingan adab dan peribadi dalam menuntut ilmu serta perlu bijak dalam menilai dan menentukan prioriti hidup, barulah saya sedar bahawa saya sebenarnya banyak tersilap. Dahulu, saya terlalu ghairah dalam mencari sesuatu yang baharu – sesuatu yang orang kata “wow”, semua perkara hendak diterokai dan diceburi (semangat inkuiri kononnya) – sehingga melupakan soal adab dan keutamaan dalam kehidupan.

Lantas, setiap idea yang dirasakan benar pada ketika itu terus saja dicoretkan pada dinding media sosial dengan kurang penekanan terhadap penggunaan ayat dan susunan bahasa yang sesuai. Tanpa disedari, perbuatan tersebut hakikatnya hanya menunjukkan kedangkalan serta ketidakmatangan diri sendiri. Mungkin juga, perasaan pengguna-pengguna media sosial yang lain ada yang terguris dan terhiris.

Walau bagaimanapun, saya menganggap peristiwa yang telah berlalu itu sebagai pengajaran kepada diri sendiri bahawa akhlak dan keperibadian kita tetap perlu diutamakan dan menjadi kepentingan. Kalau tidak, masakan para ulama kita sangat teliti dalam bab menjaga akhlak dan adab, baik dari segi tatacara, percakapan, mahupun penulisan? Hatta, junjungan Nabi Muhammad SAW sendiri diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak. Mungkin pada masa akan datang, artikel kali ini pula dianggap kurang matang sebagai akibat pertambahan usia dan peningkatan tahap kematangan. Eh.

Ya, saya masih dalam proses pembelajaran dan pembinaan sahsiah diri. Setiap hari ialah hari menuntut ilmu dan menimba pengalaman yang baharu. Kalau saya tersilap, mohon tegurlah saya secara terus dan terhormat. Maafkan saya atas segala keterlanjuran yang pernah dilakukan. Kerana pada akhirnya, saya juga seorang insan biasa seperti kalian. Bukankah begitu? 🙂

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s