Seketika, PASUM Berdoa

Segala puji bagi Allah. Sudah seminggu nampaknya saya melalui bulan Ramadan pada tahun ini. Tinggal tiga minggu lagi berbaki dalam misi memburu takwa dan mencapai reda-Nya.

Tahun 2015 menjadi saksi bahawa saya sekali lagi akan menyambut bulan Ramadan secara penuh di rumah kerana sedang menikmati cuti setelah menamatkan zaman asasi dan sementara menunggu kemasukan ke ijazah sarjana muda. Jadi, seperti kebiasaan, sekitar waktu Duha, saya akan log masuk ke dalam laman sosial Facebook melalui komputer riba pembelian ayah bagi mendapatkan informasi atau berita terkini daripada keluarga, guru, sahabat, mahupun seluruh dunia di alam maya.

Ucap selamat hari lahir, tatal suapan berita, like, like, dan like. Kalau diri terasa rajin mahu komen, saya akan komen. Selebihnya, saya hanya akan menjadi pemerhati bisu, pembaca setia, dan tukang suka (liker) sahaja. Seolah-olah segala aktiviti tersebut sudah menjadi rutin harian. Hmm, budak zaman sekarang…

Selesai menjalani semua proses di atas, barulah saya mula menekan simbol ‘Bumi’ yang berada di sudut kanan atas Facebook. Ya, butang notifikasi atau dalam bahasa bakunya, pemberitahuan. Selalunya, butang atau ikon itulah yang paling akhir akan saya klik daripada ikon-ikon lain seperti permintaan menjadi rakan dan peti mesej. Jangan tanyalah sebab apa. Dah perangai saya macam itu.

Baik, dalam sekian banyak notifikasi Facebook yang ada pula, saya gemar untuk melihat aplikasi ‘On This Day‘ terlebih dahulu. Menariknya, aplikasi ini membolehkan saya melihat kembali setiap hantaran lama yang telah saya muat naik ke dalam Facebook bagi tahun-tahun kebelakang pada tarikh tersebut. Misalnya, jika tarikh hari ini ialah 25 Jun 2015, maka kita dapat melihat setiap hantaran – status, gambar, video, dan lain-lain – yang telah kita kirimkan pada tarikh 25 Jun tersebut bagi tahun-tahun sebelumnya sejak hari pertama kita bertapak di Facebook. Lebih kurang macam arkib sejarah gitu.

Jadi, saya mula menekan notifikasi ‘On This Day‘ untuk hari ini. Seketika, terpacul ‘seketul’ status yang telah saya kemas kini pada setahun yang lalu, 25 Jun 2014. Zaman ketika saya berada dalam tahun kedua Asasi Pengajian Islam dan Sains (APIdS) di Universiti Malaya.

Saya terpana seketika. Allahu akbar. Tidak kusangka, tidak kuduga, ini doa yang pernah saya nukilkan dahulu. Pabila saya terbaca semula doa ini, teringat kenangan dahulu sewaktu saya berasa agak tertekan dengan kehidupan di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM). Kehidupan yang serba akademik dan seolah-olah ‘tiada life‘ orang kata. Bangun pagi, pergi kuliah, balik, buat tutorial, tidur. Esoknya pun begitu.

Allah, dah jadi macam robot rasanya! Lalu, saya cuba pujuk hati ini agar kuat dan tabah dengan segala dugaan dan kesukaran yang mendatang. Mana ada benda senang di dunia ini, bukan? Yang penting tabah. Ya, tabah!

Allah dah hantar saya ke sini. Allah dah takdirkan saya untuk berada di sini. Masakan Dia hendak membiarkan saya di sini secara sia-sia? Dia tidak akan pernah meninggalkan saya. Tidak sekali-kali!


Alhamdulillah, kini saya telah menamatkan dua tahun zaman asasi dengan jayanya (*tepuk tangan). Insya-Allah, jika ada rezeki, nafas masih panjang, saya akan menyambung pengajian sarjana muda dalam bidang Pengajian Islam dan Teknologi Maklumat, juga di Universiti Malaya. Moga-moga apabila ada ketika saya berasa lemah dan lelah, saya akan cuba hayati semula doa ini. Semoga Allah sentiasa memandu niat saya agar sentiasa menuntut ilmu kerana-Nya dan demi ummah yang tercinta. Amin.

Buat adik-adik APIdS dan adik-adik PASUM yang mungkin sedang membaca penulisan ini, doa saya untuk kalian, moga-moga kalian sentiasa kuat, dipermudahkan segala urusan, dan sentiasa diluruskan niat dalam musafir ilmu ini. Amin sekali lagi.

Salam Ramadan al-Mubarak!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s