Farewell, My Beloved Games!

Masih saya ingat…

Saya merupakan salah seorang pemain tegar permainan komputer pada suatu masa dahulu. Orang sekarang panggil golongan seperti ini sebagai “gamers“. Anda mungkin tertanya, bagaimana bisa saya menjadi salah seorang golongan ini dan bagaimana saya boleh terjebak ke dalamnya, walhal saya ini budak baik, bukan? Lol.

Masih saya ingat…

Semasa saya berada di alam tadika, saya telah mula belajar menggunakan komputer dengan panduan ayahanda yang tercinta. Komputer rumah ketika itu hanya dikuasai oleh saya, abang, dan adik perempuan saya yang pertama. Tiada istilah berebut komputer lagi pada masa itu (memanglah, dah baru ada tiga orang adik-beradik sahaja waktu itu). Biasalah, ketika itu pun, zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Malaysia baru nak up orang kata.

Maka, saya banyak mempelajari ilmu baharu melalui medium komputer yang dipasang cakera padat video (VCD) padanya seperti ilmu al-Quran, sirah para Nabi, bahasa Arab, bahasa Inggeris, tulisan jawi, sains, matematik, dan lain-lain. Tambahan pula, kebanyakan VCD tersebut banyak diselitkan unsur interaktif dan permainan yang sesuai dimainkan oleh kanak-kanak seperti saya pada waktu itu. Jadi, kemungkinan pada masa itulah bermulanya era permainan komputer dalam jiwa maskulin ini, eh.

Masih saya ingat…

Antara permainan komputer bersifat pendidikan yang menjadi kegemaran saya ketika di bangku tadika dan sekolah rendah ialah Game Jawi, Siri Sahabat Rimba, Science Blaster Jr., Chessmaster 5000, dan lain-lain. Tetapi, lumrah alam mungkin, benda-benda yang bersifat pendidikan ini mana tahan lama minatnya kalau dah ada unsur-unsur lain yang lebih ‘lagha’ dan menyeronokkan muncul, heh. Bagaimana mungkin tidak?

Masih saya ingat…

Bermain permainan komputer telah menjadi salah satu hobi saya ketika di alam sekolah rendah di samping membaca buku dan menonton televisyen. VCD permainan komputer telah muncul dengan berlambaknya bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Ayah saya juga turut menambah koleksi VCD permainan komputer kepada kami adik-beradik yang telah berjumlah lima atau enam orang pada masa itu. Saya juga pernah membuat pertukaran pinjaman VCD permainan komputer daripada rakan sekolah saya. Antara permainan yang menduduki carta tertinggi dalam imaginary ranking ciptaan saya ialah MechWarrior, The House of the Dead, F1 Championship Season 2000, Bionicle, Pac-Man All-Stars, dan lain-lain.

Tambahan pula, bermain permainan seperti MechWarrior dan Formula 1 lebih mengghairahkan dengan adanya penggunaan kayu ria (joystick). Kalau diingatkan semula memang, pergh. Seronok tak terkata! Selalunya budak-budak lelaki sahaja yang selalu duduk di hadapan komputer ini, budak perempuan (baca: adik perempuan) saya bukan minat pun. Pernah sekali saya dan abang meminta ayah saya untuk membelikan PlayStation, tetapi tidak dibenarkan. Nasib baik ayah tidak belikan, kalau tidak, entah apa jadi kepada saya sekarang ini, heh.

Masih saya ingat…

Bukan setakat di rumah saya bermain permainan komputer, bahkan ketika saya di sekolah rendah juga. Entah bagaimana dan siapa yang memasang (install) atau memuat turun (download) perisian permainan dalam makmal komputer sekolah saya itu saya tidak pasti. Kadang-kadang ada satu-satu masa itu, kalau ada kelas Teknologi Maklumat (IT) di sekolah, masuk makmal komputer tetapi cikgu IT-nya tiada dan diganti dengan cikgu lain, apa lagi, aktiviti bebaslah. Antara permainan yang pernah saya main di makmal komputer ialah Zuma Blast, Diner Dash, dan lain-lain. Setakat permainan Pinball, Minesweeper, Spider Solitaire, dan lain-lain Windows Games tak payah ceritalah, semuanya saya sudah pro. Hoho.

Yang paling tak tahannya ialah, saya pernah diizinkan oleh guru saya untuk memasuki makmal komputer sekolah dan bermain permainan komputer di dalamnya beberapa hari selepas tamat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Sebenarnya, hari itu (tak ingat hari apa) merupakan cuti bagi kesemua murid darjah enam sekolah saya, tetapi saya tersilap dengan menghadirkan diri ke sekolah pada hari tersebut. Maka, bagi menghilangkan kebosanan, saya meminta izin untuk memasuki makmal. Tanpa disangka-sangka, diberikan layanan istimewa pula ala-ala orang kenamaan (VIP), haha.

Masih saya ingat…

Saya mula mengenali apa itu kafe siber (CC) ketika saya berada dalam darjah enam (kalau tidak silap). Pada masa itu, ada sebuah CC yang baharu saja ditubuhkan berhampiran rumah saya. Entah macam mana saya boleh ke sana, kemungkinan besar diajak oleh kawan kepada adik lelaki saya yang pertama (anak keempat dalam adik-beradik). Pada masa itu jugalah, saya mengenali permainan Counter-Strike, Fédération Internationale de Football Association (FIFA), dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, saya hanya melayan Counter-Strike sahaja disebabkan pada waktu itu, saya hanya mahu mencuba permainan berunsur tembakan. Saya perhatikan juga, banyak orang ralit bermain permainan ini sahaja di dalam CC tersebut. Tambahan pula, minat terhadap permainan komputer bola sepak masih belum bercambah lagi ketika itu. Jadi, pada saat itulah, saya mula meminati Counter-Strike dan telah dimasukkan dalam senarai permainan kegemaran saya, heh.

Namun begitu, kehadiran saya bersama abang ke CC tersebut telah terkantoi dengan cara yang entah bagaimana. Emak saya memarahi dan menasihati saya agar jangan mudah terpengaruh dengan kawan-kawan, lebih-lebih lagi saya akan bersekolah asrama pada tingkatan satu nanti. Insaf sekejap.

Masih saya ingat…

Saya mula didedahkan dengan alam Internet seawal usia 13 tahun (tingkatan satu), zaman saya sudah mula menginjak alam menengah dan mula bersekolah di salah sebuah sekolah berasrama bawah kerajaan negeri di Perak. Pada mulanya, saya hanya menggunakan Internet untuk saling berkomunikasi dengan keluarga yang berada di kejauhan menggunakan e-mel dengan sambungan Internet dial-up connection di kampung sebelah ayah.

Oh, ya! Kenangan menggunakan sambungan Internet jenis ini pada masa itu memang tidak boleh dilupakan kerana betul-betul menguji kesabaran dan iman serta menghabiskan banyak masa saya di hadapan komputer hanya untuk menunggu sehingga laman sesawang selesai dimuatkan (loading). Walau bagaimanapun, saya masih noob dalam menjadi seorang pengguna Internet, jadi saya tidak berasa terganggu sangatlah dengan kelembapan itu.

Baik, sambung semula cerita. Dengan hanya menggunakan Internet untuk menghantar dan membaca e-mel, saya telah menaik taraf diri saya menjadi seorang pemain permainan komputer secara dalam talian (online) pula. Lebih-lebih lagi apabila rumah saya sudah mula dihinggapi dunia Internet pada fasa itu dengan pada mulanya menggunakan broadband, kemudian bertukar kepada sambungan Internet tanpa wayar (Wi-Fi), hoyeah.

Masih saya ingat…

Antara laman sesawang permainan komputer dalam talian yang sering saya kunjungi pada suatu masa dahulu ialah Miniclip, Nitrome, dan lain-lain. Ok, itu zaman sebelum saya ada Facebook. Pabila era Facebook sudah bercambah dalam diri ini sekitar akhir tahun 2009, saya mula mengenali dan meminati permainan atau aplikasi yang berada dalam Facebook pula. Antara permainan Facebook yang pernah menjadi kegemaran saya ialah CityVille, Yakuza Lords, Footy!, Empires VS Allies, dan banyak lagi.

CityVille itu menjadi kesukaan saya kerana permainan tersebut berkaitan dengan perancangan dan pembinaan bandar. Biasalah, dahulu, saya pernah berangan hendak menjadi seorang Khalifah Islamiah pada suatu hari nanti, siap melantik kawan-kawan lagi dengan jawatan masing-masing. Ada yang menjadi Sultan, Perdana Menteri, Gabenor, Mufti, Menteri Pertahanan, sehinggalah kepada gundik diraja. Kah!

Kadang-kadang, waktu outing hujung minggu di asrama, saya dan kawan-kawan akan pergi ke CC dengan tujuan sama ada berada dalam talian mahupun bermain permainan komputer. Paling seronok mestilah zaman selepas Penilaian Menengah Rendah (PMR). Kami pelajar tingkatan tiga selalu keluar dari sekolah tidak kira siang mahupun malam semata-mata ingin berjalan-jalan, melayari Internet, atau bermain permainan komputer di CC. Ish ish.

Masih saya ingat…

Zaman seusai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan masa lapang yang paling lapang pernah saya ada. Tetapi, saya banyak menghabiskan sisa-sisa masa tersebut dengan, ya apa lagi, mestilah melayari Internet dan bermain permainan komputer sahaja. Lebih-lebih lagi, ayah saya telah menghadiahi saya sebuah komputer riba beroperasikan Windows 8. Lagilah saya seronok ‘berfoya-foya’. Astaghfirullah.

Haha, tapi bukan sepanjang masa saya buat perkara tersebut. Semasa tempoh cuti itu, Alhamdulillah, saya berjaya memperoleh lesen memandu kenderaan. Kebetulan pada masa itu juga ialah musim kehangatan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), jadi dengan komputer riba itu juga, saya berhasil mendapatkan bermacam-macam maklumat sama ada sahih mahupun palsu berkaitan PRU-13. Kusangkakan Pakatan Rakyat (PR) hendak menang sudah, tetapi Allah masih belum mengizinkan kemenangan PR lagi. Eh, tukar topik pula dia!

Selain itu, fasa ini juga sudah bermulanya zaman iPad, jadi rumah saya pun tidak terkecuali daripada menerima tempias tablet tersebut. Ya, iPad keluarga itu juga menjadi ‘mangsa’ dengan pemasangan beberapa buah aplikasi permainan dalamnya. Permainan kegemaran saya sudah semestinya permainan bola sepak bernama Dream League Soccer. Menariknya, saya masih lagi bermain permainan tersebut sehingga ke hari ini.

Masih saya ingat…

Ketika saya sudah menjejakkan kaki ke alam prauniversiti, saya masih lagi bermain permainan komputer. Contohnya, permainan Top Eleven: Be a Football Manager dan UberStrike yang menggunakan platform Facebook untuk bermain sejak selepas SPM lagi. Saya mula meminati permainan bola sepak sejak saya mengambil tahu perkembangan bola sepak tempatan dan antarabangsa secara serius sejak memulakan persekolahan menengah tinggi di salah sebuah sekolah berstatus Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Kedah walaupun saya sendiri kaki bangku. Aneh, bukan?

Pada zaman prauniversiti ini jugalah, saya mula belajar bermain menggunakan pad permainan (gamepad) dan mula terpengaruh dengan permainan Pro Evolution Soccer (PES) yang menjadi kegilaan sahabat-sahabat jejaka saya. Saya turut bermain FIFA Online 3. Saya juga memerhatikan ada sebahagian sahabat saya yang sangat gemar akan permainan Defense of the Ancients (DOTA) atau pun Warcraft. Ada orang gelar DOTA itu “Dunia Orang Tanpa Awek”. Whatever. Saya mendapat tahu mengenai DOTA ini ketika berada di alam menengah tinggi. Nasib saya baik kerana saya tidak gemar akan permainan berstatus strategi sebegini dan saya tidak mahu mengambil serius mahupun belajar cara-cara bermain permainan ini.

Masih saya ingat…

Salah seorang pensyarah merangkap guru penasihat majmu’ah (kelas) saya pernah beberapa kali menasihati agar kami sebagai anak-anak muridnya meninggalkan segala bentuk permainan dan menolaknya 100% kerana beliau tidak mahu kami membuang masa dan melupakan tugas sebenar sebagai khalifah-Nya. Tetapi, saya masih berpegang pada pendapat, “tak apa main game, asalkan jangan leka.” Namun begitu, pada hakikatnya, memang terleka sungguh pun. Allah.

Dan, saya masih meneruskan tabiat bermain permainan sehingga saya menamatkan pengajian setahun Asasi saya, siap beli pad permainan sendiri lagi untuk kemudahan saya bermain PES dalam komputer riba saya. Ahha, zaman sekarang pun era telefon pintar, bukan? Jadi, sejak saya mempunyai telefon pintar sendiri ini, lebih mudahlah hendak bermain permainan yang mempunyai versi mudah alih (mobile), huh.

Sehinggalah pada suatu hari…

Saya mula terasa kebosanan melayan permainan ini.
Saya mula bermuhasabah.
Saya mula merenung.
Berfikir, menghela nafas panjang-panjang.
Menghembuskannya semula.

Apakah yang telah kuperbuat selama ini?
Apakah yang telah kuhabiskan sepanjang masa muda ini?
Apakah yang telah kusumbangkan untuk Islam?

Berapa banyak masaku terbuang untuknya?
Berapa banyak majlis ilmu yang luput kerananya?
Berapa banyak surah yang telah aku hafal?
Berapa banyak bahasa asing yang telah aku kuasai?

Ya Allah, banyaknya masa muda yang telah aku buang selain untuk Islam!

Kesedaran yang mula menyuntik diri ini pun berlaku atas beberapa faktor; pembacaan, rakan, keluarga, pensyarah, pengalaman daripada senior, memerhatikan sendiri isu semasa, globalisasi. Ah, tak tertulis semuanya di sini!

Saya mula berazam. Saya akan mula berhenti bermain permainan komputer mahupun permainan telefon pintar. Sedikit demi sedikit. Peringkat demi peringkat. Saya akan menunaikan azam saya apabila bermulanya cuti semester nanti. Itulah yang saya sematkan dalam minda dan hati kerana saya sendiri pun sudah berazam akan menghabiskan cuti semester ini dengan aktiviti yang bermanfaat buat diri sebagai persediaan menghadapi dunia luar yang lebih mencabar.

Alhamdulillah, saya mula berjaya. Pada awalnya, saya nyahpasang (uninstall) aplikasi permainan dalam telefon pintar saya hanya untuk menjimatkan memori, namun setelah berfikir dua kali, ya, saya perlu buat keputusan.

Saya nyahpasang kesemua permainan dari telefon pintar saya.
Saya hanya tinggalkan permainan yang menguji akal seperi Sudoku dan lain-lain.
Saya padam permainan PES daripada komputer riba saya.
Saya buang permainan yang pernah saya main dalam Facebook.
Saya hanya tinggalkan sedikit memori lama permainan itu seperti album dan lain-lain.
Saya tidak lagi melayan permintaan (request) daripada rakan-rakan Facebook agar saya bermain permainan dalamnya.

Saya sudah nekad! Alhamdulillah, sepanjang cuti semester selama lebih kurang tiga bulan ini, saya sudah tidak lagi bermain permainan komputer sama ada secara dalam talian ataupun sebaliknya.

Sepanjang saya hidup dengan bermain permainan komputer ini…

Saya dapat melihat karakter dan personaliti saya terbentuk hasil daripada tarbiah permainan atau komputer. Haha, ada juga.
Saya meminati sukan Formula 1.
Saya menggemari alatan menembak. Kadang-kadang, saya berangan mahu jadi penembak suatu hari nanti.
Saya menyukai teknologi yang berkaitan dengan pengkomputeran.
Saya kurang gemar akan riadah di luar kerana saya suka duduk di hadapan komputer.
Walaupun hakikatnya, hobi saya dahulu menunggang basikal.
Saya suka berada dalam talian.
Saya suka menonton video dan mendengar lagu di komputer.
Saya suka menaip dan melakukan aktiviti-aktiviti komputer.

Tetapi kini, biarlah sedikit kemahiran saya dalam ilmu pengkomputeran ini boleh saya gunakan untuk ummah.
Boleh saya sumbangkan untuk Islam.
Ummah sedang tenat, bukan? Ya, saya juga sebahagian daripada ummah!
Segala puji bagi Allah atas hidayah-Nya yang indah ini.


Buat anda yang membaca penulisan saya, terima kasih saya ucapkan kerana sudi membacanya dengan tekun. Saya harap para pembaca dapat mendoakan saya agar terus kuat dan istiqamah dalam meniti jalan menuju reda-Nya, Insya-Allah.

Kini, obsesi dan fitnah (ujian) yang sedang menghantui dan saya takuti ialah Internet, muzik, gajet, dan wanita. Huh, dunia akhir zaman. Therefore, please always keep remembering me in your prayers, okay! Farewell, my beloved games! Dush, dush!

“Andai masa yang kita habiskan di hadapan televisyen, Internet, atau permainan video itu dimanfaatkan untuk menghafaz al-Quran, kita telah menjadi hafiz Quran sejak sekian lama. Andai masa-masa itu digunakan untuk mempelajari bahasa Arab atau Inggeris, kita telah fasih berbicara dan menulis dengan bahasa ini sejak dahulu.”

― Seseorang

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s